Pages

Thursday 28 September 2006

Pergi dan kembali

Masanya dah tiba untuk mengucapkan selamat pergi kepada Bulan Berbahasa. Sekarang saya benar-benar faham kenapa masa SPM dulu saya tak dapat A untuk BM. Tapi tak mengapa, yang penting saya dah belajar banyak perkara dalam masa lebih kurang sebulan ni. Sebenarnya, saya ingat saya tak akan mampu melakukannnya, ditambah pula dengan kerja sekolah yang bertimbum-timbum. Idea pun kering, tak tau apa nak tulis. Alhamdullillah, segalanya tak seteruk yang saya duga. Terima kasih kepada semua yang menyokong serta memberi pandangan.

Adakah saya akan menulis dalam BM pada masa akan datang? Entahlah. Saya akui saya kurang membaca dalam BM. Rasa nak beli atau pinjam buku baru, tapi buku -buku yang dah saya pinjam dan beli masih banyak yang belum dibaca. Saya juga rasa kurang senang selagi saya tak habiskan buku-buku tadi. Dah habis kebanyakannnya, barulah boleh fikir pasal buku lain.


Alhamdullillah, bulan termulia di sisi Allah SWT, sudah pun tiba. Saya ingin mengajak diri saya serta semua di sini untuk sama-sama menambahkan amalan kita demi keampunan serta keredha dariNya. Kita sebenarnya sangat bertuah kerana dapat berada di kalangan umat Nabi Muhammad SAW, yang mendapat keistimewaan mengecapi nikmat malam seribu bulan, Laitul Qadr. Sangat-sangat beruntung kita jika terpilih untuk menjadi kalangan mereka yang menghidupkan malam mulia ini.

Namun, kita kena ingat, taufik serta hidayah untuk berbuat baik datang dari Allah SWT. Sebab itulah kita kena berdoa dengan penuh hati agar diberikan kedua-dua perkara ini serta kekuatan dan keikhlasan untuk memenuhi setiap saat dalam Ramadhan dalam ketaatan terhadapNya.

Untuk mendapatkan perkara-perkara baik, kita kena usaha. Kita masih di awal Ramadhan, ada banyak lagi peluang untuk kita baiki amalan kita di mana yang kurang. Semoga kita semua mendapat keberkatan daripada Ramadhan ini, amin.

Tolonglah ingat saya dalam doa-doa kalian, sekiranya tak keberatan. Ramadhan Karim, semua.

Thursday 21 September 2006

Inovasi: beberapa pandangan

Inovasi adalah antara topik atau isu yang sering menarik perhatian saya. Ramai yang telah membicarakannya secara panjang lebar dalam pelbagai forum, seminar, buku dan sebagainya. Dari sudut keusahawanan, inovasi merupakan salah satu kualiti yang penting untuk menjayakan sesuatu perusahaan.

Inovasi secara asasnya adalah mengenai bagaimana kita menggunakan daya kreativiti, daya persepsi serta sifat ingin tahu untuk mereka serta membawakan sesuatu yang baru atau unik dan tidak pernah dilihat, difikir atau dilakukan sebelum ini. Inovasi juga menuntut beberapa kualiti penting dalam diri inovator itu sendiri seperti berani mencuba, mempunyai keyakinan terhadap apa yang diusahakan, mampu mencorakkan wawasan, serta bersifat sabar, tawakal dan cekal.

Mitos inovasi

Dalam artikel The Myths of Innovation, penulisnya telah menggariskan beberapa mitos mengenai inovasi. Mitos-mitos, yang menurut beliau, merupakan punca mengapa ramai pihak berasa bahawa inovasi itu tidak penting.
  1. Inovasi adalah untuk "industri-industri lain" ("bukan kita")
  2. Inovasi adalah penciptaan produk-produk baru
  3. Inovasi adalah RnD
  4. Inovasi adalah untuk syarikat-syarikat besar (gergasi-gergasi)
  5. Inovasi adalah satu pilihan
Kebanyakan mitos-mitos yang disenaraikan boleh diatasi dengan melihat inovasi sesuatu yang boleh membawa kebaikan jangka panjang. Misalnya, inovasi sentiasa melibatkan usaha yang lebih, dan seperti yang kita dapat lihat di sekeliling kita, usaha yang lebih sering kali akan membawa seseorang atau sesebuah syarikat itu lebih jauh ke hadapan.

Dilema golongan inovator

Jika inovasi dianggap sesuatu yang baik dan sangat bermanfaat, dan telah ramai yang telah menempa kejayaan melaluinya, mengapa pembangunan inovasi masih berada pada kadar yang mengecewakan?

Di sini satu pandangan kedua telah diajukan, tentang kenapa inovasi sering kali gagal. Menurut apa yang dialami oleh penulis kedua, melalui pengalaman beliau sebagai seorang perunding, inovasi selalunya menemui kegagalan kerana:
  1. Kebanyakan usahawan tidak bersikap inovatif
  2. Kebanyakan pelanggan tidak mahukan inovasi
  3. Mereka yang memerlukan inovasi selalunya tidak mampu memilikinya
Pandangan kedua ini mungkin nampak agak pesimitik. Tetapi, ia lebih berdasarkan apa yang berlaku dalam dunia sebenar hari ini. Penulisnya telah mengembangkan beberapa idea daripada buku The Innovator's Dilemma yang turut cuba untuk mencari penyelesaian kepada masalah kekurangan pemikiran inovatif. Dan menurut beliau, ketiga-tiga hujah yang beliau kemukakan di sini tidak mempunyai sebarang jalan penyelesaian. Jika ada pun, ianya merupakan sesuatu yang tidak mungkin dicapai dengan mudah.

Misalnya, inovasi sering dilihat sebagai sesuatu yang kritikal dan salah satu sumber daya saing bagi sesebuah syarikat. Namun hakikatnya, inovasi membabitkan sumber serta masa yang agak banyak untuk mengkaji pelbagai faktor dan kemungkinan. Tak ramai pengurus dan usahawan yang mahu membuat semua ini, kerana ianya rumit. Mereka juga enggan melibatkan diri dalam penyelidikan kerana banyak sebab yang lain termasuk, tiada jaminan ianya akan berjaya atau menghasilkan sesuatu yang menguntungkan secara ekonomi. Lebih senang untuk mereka untuk menumpukan perhatian terhadap apa yang sudah ada atau terbukti keberkesanannya.


[ Atul Mathur: The Myths About Innovation ]
[ Dave Pollard: The Real Innovator's Dilemma ]
[ Petikan dari buku The Innovator's Dilemma, oleh Clayton M. Christensen ]

Friday 15 September 2006

Cakap pasal wang (2)

Ada sekali saya terdengar dalam satu majlis tazkirah.

"Orang Islam sekarang kalau disuruh sembah berhala, dia akan marah sebab katanya, ini syirik. Tapi kalau berhala tadi diperbuat daripada emas, dan ianya dileburkan menjadi jongkong-jongkong. Dan apabila orang tadi lihat jongkong-jongkong tadi, lalu berbisik, kalau aku dapat emas ini aku boleh jadi kaya dan aku boleh buat itu dan ini. Sebenarnya, inipun adalah syirik."

Syirik yang dimaksudkan di sini ialah keyakinan terhadap wang, yakni ianya mampu memberi kesenangan serta faedah (dan begitu juga sebaliknya). Syirik jenis ini adalah satu ancaman terhadap iman kita, sebab dalam kehidupan masa sekarang, wang adalah sesuatu yang dikejar dan diagung-agungkan.

Kesempurnaan iman mengkehendaki kita mempunyai keyakinan penuh terhadap Allah SWT. Dalam Al-Quran Allah SWT memperingatkan kita berkali-kali tentang rezeki kurnianNya untuk sekian hamba-hambaNya termasuk manusia seperti kita. Hanya pada Allah terletak segala kesenangan serta kesusahan.

Di kalangan mereka yang tidak beriman, ada yang lansung tidak mempunyai keyakinan sebegini. Mereka kata semua duit mereka adala hasil usaha titik peluh mereka 100%. Atau mungkin nasib mereka baik. Tuhan tak ada kena mengena dalam perkara ini. Pemikiran sebegini telah membuahkan fahaman 'masa itu wang', yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Tidak dinafikan, masa merupakan sesuatu yang sangat berharga. Bahkan dalam Islam, ada ulama yang berkata masa itu nyawa, yang bermaksud orang yang mensia-siakan masanya sesungguhnya mensia-siakan nyawanya atau hidupnya. Surah Al-Asr, surah yang terpendek dalam Al-Quran, turut mengandungi peringatan tentang masa dan golongan-golongan memperolehi keuntungan atau kerugian daripadanya.

Tetapi doktrin 'masa itu wang' merujuk kepada kehalobaan terhadap usaha mencari wang dan bahawa masa adalah modal untuk mencari dan membuat sebanyak mungkin kekayaan. Bagi mereka, setiap saat mesin tidak bergerak atau pekerja tidak membuat kerja adalah kerugian buat syarikat tersebut. Hasil daripada pemikiran sebegini adalah kilang-kilang serta kedai-kedai yang dibuka sepanjang hari dan malam, pekerja-pekerja yang dipecat jika bekerja tidak cukup pantas dan sikap tidak bertolak ansur terhadap sebarang kesilapan di tempat kerja. Segala-galanya untuk memastikankan keuntungan maksima mampu diraih.

Kebimbangan terhadap fahaman yang membahayakan ini bukan setakat mengancam akidah umat Islam, malah turut menimbulkan kebimbangan dalam penganut agama-agama lain. Ada yang menamakan fenomena ini sebagai 'agama wang', di mana wang dijadikan tempat pengabdian serta penyembahan. Segala saat berjaga mereka adalah mencari dan menambah wang yang ada. Dominasi sistem kewangan berasaskan faedah serta kapitalisme adalah dua sahaja contoh yang lahir daripada amalan 'agama wang'.

Islam tidak melihat harta sebagai sesuatu yang buruk. Harta adalah keperluan manusia untuk hidup. Mencari harta juga tidak ditegah, selagi ianya melalui cara yang halal. Apa yang ditegah ialah ketamakan dalam mencari harta, hingga melampaui apa yang digariskan oleh syarak. Menurut sebuah hadis riwayat Muslim, Baginda Rasulullah SAW bersaba yang bermaksud, "Apabila kamu diberi sesuatu harta tanpa kamu minta maka pergunakanlah (makanlah) dan sedekahlah sebahagiannya."

Para sahabat RA telah menunjukkan kepada kita bagaimana cara untuk kita mencari harta dengan cara yang diredhai Allah. Abdul Rahman bin Auf RA, ketika berhijrah ke Madinah, tidak mahu lansung menerima bantuan kewangan daripada kaum Ansar. Beliau sebaliknya meminta panduan untuk ke pasar Bani Qainuqa' dan berusaha sendiri untuk rezekinya melalui ikhtiar berniaga. Abdul Rahman bin Auf RA dianggap sebagai antara sahabat yang terkaya dan banyak menghabiskan hartanya di jalan Allah.

Abu Bakar as-Siddiq RA juga seorang peniaga besar. Beliau mempunyai kira-kira 8 buah gedung, tetapi demi untuk meninggikan agama Allah, kesemuanya gedung-gedung tadi dikorbannya tanpa sedikitpun rasa ragu. Demikianlah sifat pengorbanan yang ada pada diri para sahabat, sanggup untuk berpisah dengan harta kesayangan mereka demi untuk mendapatkan redha dan kasih daripada Allah SWT.

Mencari harta bagi orang Islam bukanlah sekadar untuk keselesaan hidup diri dan keluarga semata-mata tetapi untuk memajukan agama Islam serta membantu orang-orang lain yang kurang berkemampuan. Kesemua ini berasaskan iman terhadap Allah SWT sebagai pengurnia rezeki dan pemiliknya yang mutlak. Tugas kita adalah untuk menguruskannya dengan menurut kehendak Allah SWT serta RasulNya SAW. Semoga Allah memberikan kita taufik dan hidayah untuk membelanjakan rezeki pemberianNya ke arah yang diredhai.

Wednesday 13 September 2006

Cakap pasal wang (1)

Kita selalu dengar:
Masa itu wang.

Tapi baru-baru ni saya ada dengar dari satu temubual:
Masa itu lebih bernilai daripada wang.

Apa pendapat anda?

Bersambung (insya-Allah)...

Wednesday 6 September 2006

Kemunculan Animax! Ramai gembira tapi ada yang tidak

Ah, sedih, sedih. Dah berapa pos yang ditulis sempena Bulan Berbahasa, yang telah dirasmikan 16 haribulan lalu? 1, 2,.......3! Satu kalau ikutnya. Satu pemberitahuan (pos yang pertama) dan satu lagi promosi untuk jualan Gundam terpakai. Walau bagaimanapun, saya tetap mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang sudi mengambil bahagian.

Hari Merdeka pun dah berlalu, hampir-hampir ditenggelami oleh kemeriahan menyambut perkahwinan seorang artis ternama kesayangan ramai. Saya pula ada satu ujian pertengahan penggal sehari sebelum Merdeka, jadi dalam fikiran yang nampak kertas soalan yang berkibar-kibar. Sungguh tak berperikewarganegaraan saya ni.


Tarikh 31 Ogos lalu juga merupakan tarikh pelancaran saluran 75 Astro iaitu Animax. Ramai peminat-peminat anime seluruh Malaysia (yang ada Astro, atau ada kawan atau saudara yang ada Astro dan bagi mereka pilih saluran mana nak tengok kalau teringin) menyambut ketibaannya dengan gembira. Saya pun gembira juga, tapi mungkin tak segembira orang lain.

Sebelum Animax diperkenalkan, saluran AXN pernah menghidangkan siri-siri anime untuk beberapa dalam program hariannya. Antaranya Shadow Skill, Sakura Wars (siri 1), Starship Girl Yamamoto Yohko, Rave dan tentu sekali, You're Under Arrest!. Tetapi selepas sahaja Animax disiarkan kali pertama di saluran satelit di negara-negara luar seperti Filipina dan Singapura, slot anime AXN telah dikurangkan kepada satu siri sahaja dan akhirnya ditamatkan sama sekali. Kejam sungguh mereka.

Kemudiannnya ada idea dari Astro untuk menayangkan Animax di saluran borak mereka, @15. Sebagai saluran borak melalui SMS, kebanyakan paparan saluran tersebut (kira-kira 4/6) adalah untuk memaparkan mesej-mesej yang telah penat-penat dihantar oleh pengirimnya untuk mereka-mereka yang turut sama berborak. Siri-siri dari Animax (kalau tak silap saya) kebanyakannya ditayangkan pada awal pagi. Animax yang ditayang dengan 2/6 skrin sahaja, dan mesej yang muncul tak putus-putus pada paparan selebihnya. Kekejaman mereka sekadar berganti wajah.

Dan akhirnya pada 31 Ogos 2006, peminat-peminat anime Malaysia telah dimerdekakan daripada kekejaman-kekejaman tadi, dengan kemunculan Animax melalui salurannya tersendiri. Tiada lagi mesej demi mesej berentetan, mendominasi pandangan serta ancaman slot yang semakin dikecilkan dari hari ke hari.

Tapi sejak Animax ke udara, saya baru menontonnya selama 1 jam. Itupun 2 episod Honey and Clover musim 1 yang saya pernah tonton sebelum ni. Ada seorang kawan saya dari Shah Alam telah menghabiskan malam (dan siang) Merdeka bersama Animax.

Macam saya cakap tadi, saya tak segembira peminat anime yang lain. Sebabnya Animax merupakan saluran alih suara Bahasa Inggeris. Anime, bagi saya, kalau sudah dialih suara, akan kehilangan sedikit sebanyak keunikannya. Melainkan kita belum menontonnnya dalam Bahasa Jepun (tentulah dengan sari kata, pengetahuan saya tentang perkataan Bahasa Jepun hanyalah setakat sebutir dua). Ada sebabnya seseorang pelakon suara atau seiyū itu dipilih untuk memainkan seseorang watak dalam sesuatu cerita oleh pengarah dan produsernya. Dan melalui proses alih suara, pelakon suara yang sesuai mungkin tidak berjaya ditemui dan mereka mengambil sesiapa yang berkemahiran, dan bukan semestinya mempunyai suara yang padan dengan watak tersebut.


Tapi ada juga masa di mana alih suara dilakukan dengan berjaya dan 'spot-on'. Contohnya pemilihan Billy Crudup (Almost Famous, Big Fish) untuk memainkan watak Putera Ashitaka dalam versi edaran Disney filem anime Mononoke Hime (Princess Mononoke). Tapi ini projek berbajet besar, sedangkan siri anime biasa tak mempunyai kelebihan kewangan sebanyak ini. Cuma apa yang saya nak kata, saya bukan anti-alih suara tapi biarlah suara pelakon yang dipilih itu kena dengan personaliti sesuatu watak, dan mampu membawanya dengan baik.

Saya rasa saya patut berhenti di sini. Kerja-kerja sekolah saya sedang memanggil-manggil di meja dan di komputer.

Suara-suara yang enggan didiamkan, nampaknya.
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan