Australia memang sebuah negara yang unik, kerana banyak sebab. Salah satunya ialah Harold Holt.
Harold Holt?
Beliau merupakan bekas Perdana Menteri negara pulau tersebut. Yang pernah hilang. Maaf, yang masih hilang. Beliau menjadi PM pada tahun 1966, memerintah Australia untuk kira-kira setahun, sebelum pada penghujung tahun 1967 beliau pergi berenang di sebuah kawasan perairan bernama Portsea di mana tidak lama selepas itu beliau dilaporkan hilang. Gerakan mencari dan menyelamat yang terbesar dalam sejarah Australia gagal menjumpai walaupun mayat Holt. Dua hari selepas pengumuman tentang kehilangan Holt, kerajaan melantik John McEwen sebagai penggantinya.
Apa yang menarik tentang kisah Holt ialah bagaimana ianya hampir-hampir dilupakan oleh rakyat Australia dan hampir-hampir tidak diketahui oleh dunia luar. Inilah antara perkara yang menarik Bill Bryson untuk menulis In a Sunburned Country.
Buku ini membawa pembaca pengembara ke hampir serata Australia, dari outback yang luas terbentang ke bandar-bandar moden seperti Canberra dan Melbourne hingga ke tarikan semulajadi seperti Uluru (nama asal Ayers Rock.) Bryson menulis berdasarkan pembacaan beliau mengenai sejarah Australia dan pengalaman beliau sendiri.
Antara perkara yang sering kali diingatkan oleh Bryson dalam buku ini ialah banyaknya haiwan-haiwan berbahaya yang ada di Australia, sama ada di darat atau di air. Buaya air masin Australia memang antara yang pemangsa akuatik yang paling buas, kebuasannya sukar ditandingi spesis-spesis buaya lain. Sebilangan besar ular-ular yang paling berbisa di dunia berasal dari sini, tak termasuk haiwan berbisa lain seperi labah-labah, kala jengking dan obor-obor kotak (box jellyfish). Namun rakyat Australia seakan lali dengan segala bahaya dan ancaman di sekeliling mereka, pada pengamatan Bryson. (Bryson yang nampaknya lebih risau.)
Tarikan Bryson ialah pada penulisannya yang bersifat humor dan agak sinis, diseimbangi fakta-fakta dan petikan daripada buku-buku terdahulu tentang Australia. Beliau juga turut menulis tentang sudut-sudut gelap Australia seperti ketibaan warga Eropah dan menyingkiran rakyat pribuminya yang dijalankan secara sistematik dan kejam.
Gabungan aspek positif dan negatif ini menjadikan In a Sunburned Country bacaan yang mengasyikkan. Buku ini diterbitkan pada tahun yang sama dengan berlansungnya sukan Olimpik di Sydney.
0 comments:
Post a Comment