Pages

Monday, 15 June 2009

iWoz



Awal bulan ini saya membaca iWoz iaitu autobiografi Steve Wozniak, salah seorang daripada dua orang Steve yang menubuhkan syarikat komputer Apple. Steve yang seorang lagi ialah, siapa lagi kalau bukan, Steve Jobs.

Saya beli iWoz dua tahun yang lalu di Jualan Gudang Times. Saya hairan kenapa buku ini berada di jualan sebegini sedangkan buku ini baru setahun diterbitkan. Biasanya jualan gudang menjual buku-buku yang agak lama, mungkin untuk menghabiskan stok. Apabila saya membaca, baru saya dapat agak kenapa.

Buku ini agak teknikal untuk kebanyakan orang. Saya pernah belajar dalam jurusan komputer semasa di peringkat ijazah dan saya sendiri terasa yang buku ini agak teknikal. Ini bukan satu masalah besar, cuma pada pedapat saya ini mungkin antara sebab buku ini kurang mendapat sambutan. iWoz bukanlah buku untuk pembaca jenis santai.


Steve Wozniak


Tetapi bagi mereka yang berfikiran teknikal, iWoz ialah buku patut dibaca. Wozniak ialah seorang jurutera yang bersemangat tinggi selain tekun dalam menyelesaikan masalah dan kreatif dalam mencari penyelesaian. Awal buku ini ialah tentang Wozniak ketika membesar dan dorongan utama beliau dalam memilih bidang sains dan teknologi. Bapa beliau yang merupakan seorang jurutera sering bercerita tentang perkara-perkara teknikal seperti komponen elektronik—perintang, transistor, dan sebagainya—walaupun ketika Wozniak masih dalam sekolah rendah. Kita sendiri pun mula belajar benda sebegini ketika sekolah menengah. Menurut Wozniak, menerima penerangan yang jelas dari bapa beliau tentang sains dari kecil menyebabkan beliau mendahului pelajar-pelajar lain dalam matapelajaran tersebut.

Dengan minat yang membakar serta pengetahuan yang semakin hari semakin bertambah, Wozniak memberanikan diri untuk mencipta pelbagai ciptaan, antaranya sistem perhubungan berwayar yang merentasi pagar deret rumah beliau. Sistem ini menghubungkan rumah beliau dan rumah kawan-kawan beliau yang juga sederet.


Dua Steve semasa muda. Wozniak (kiri) dan Jobs.


Wozniak bertemu Jobs melalui seorang kawan. Mereka berdua berbeza kira-kira empat tahun dan memiliki minat yang sama, iaitu mereka ciptaan baru. Antara projek mereka merupakan membuat alat yang boleh membuat panggilan percuma. Dengan erti kata lain, curi talian atau phone phreaking. Mereka menyeludup masuk masuk ke pusat rujukan sebuah pusat pengajian tinggi untuk mengkaji buku panduan spefikasi talian telefon. Projek ini juga memperkenalkan mereka kepada phone phreaker lain seperti Captain Crunch yang amat terkenal di kalangan phone phreaker.

Gabungan kepintaran teknikal Wozniak dan kepintaran berniaga Jobs membawa kepada ciptaan sebuah komputer peribadi yang kemudiannya akan dikenali sebagai komputer Apple. Pada ketika ini iaitu awal tahun 80–an banyak syarikat cuba mencipta komputer peribadi untuk kegunaan para pemilik perniagaan. Apa yang dicari-cari pengguna ialah komputer mudah digunakan dan tidak mahal.

Wozniak memahami kedua-dua kriteria ini dan bertungkus lumus untuk merealisasikannya. Apple I ciptaannya mempunyai paparan yang besar, papan kekenci, perisian yang berguna untuk bisnes dan berharga murah. Kebanyakan komputer lain sekadar mempunyai paparan sebaris seperti yang ada pada kalkulator. Tidak hairanlah jika Apple I mendapat sambutan luar dugaan.

Seterusnya, Jobs dan Wozniak membuka syarikat komputer Apple. Seperti syarikat-syarikat lain Apple tidak terlepas daripada mengalami pasang surut. Antara saat paling genting yang dialami Apple ialah kemerosotan jualan Apple III yang rendah kualitinya berbanding Apple II yang sangat laris. Ini menyebabkan Jobs meletakkan jawatan dan meninggalkan Apple, syarikat yang beliau sendiri tubuhkan.

Buku ini juga ditulis untuk membetulkan beberapa tanggapan salah tentang diri Wozniak, Apple dan Jobs. Ramai yang percaya Jobs dipecat dari Apple, tetapi ini tidak benar seperti yang diceritakan tadi. Begitu juga tanggapan yang Wozniak sendiri sudah dipecat atau berhenti dari Apple. Hakikatnya beliau hingga hari ini masih bersama Apple, walaupun secara tak aktif. Manakala Jobs kini sudah kembali ke dalam Apple semenjak Apple membeli syarikatnya NeXT. Beliau kini memegang jawatan CEO Apple.

2 comments:

Anonymous said...

Dimana boleh saya dapatkan buku 'iwoz' terpakai?Kalau kalau ada sesiapa yang sudi menjualnya contact saya di kuyakayel(at)gmail.com.Thanks.

rol said...

kuyakayel(at)gmail.com,

Dah cuba eBay? Boleh saya tanya kenapa berminat dengan buku ni?

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan