Pages

Thursday, 23 February 2012

Hadiah Hari Lahir termahal

Tahun lepas saya menghadiahkan diri saya hadiah hari lahir termahal yang pernah saya hadiahkan seseorang.

Ayat tadi berbunyi seolah-olah saya ini mengutamakan diri sendiri melebihi diri orang lain, bukan?

Tidak, tidak. Bukan begitu. Sebenarnya hadiah itu mahal kerana ia bukan satu hadiah. Ia satu set siri manga 8 jilid yang telah saya beli sekaligus. Percayalah, saya jarang membeli sesuatu yang sebegini mahal. Saya bukannya orang bergaji besar (atau bergaji tetap).

Saya memutuskan untuk memborong keseluruhan set ini selepas beberapa lama berfikir sama ada saya mampu atau tidak. Dan patut atau tidak?

Selama ini saya banyak membaca manga secara percuma di Internet. Inilah cara yang paling mudah untuk membacanya. Di Malaysia tidak banyak manga yang diterjemahkan. Yang ada bukanlah jenis yang saya minat.

Zaman budak sekolah dahulu saya rajin membeli serta meminjam Dragonball, Dragon Quest, Yu Yu Hakusho, Slamdunk, termasuklah Sailor Moon; edisi Bahasa Melayu keluaran Comics House. Saya tidak pasti berapa harganya sekarang tetapi waktu itu harganya RM3.50.

Oh, sekarang RM4.80 rupanya
Jauh bezanya dengan harga manga hadiah hari lahir saya tahun lepas. Melebihi 10 kali ganda. Bukan sahaja harga yang beza, tetapi kualiti cetakan, jilidan, dan terjemahan.

Inilah beza barangan import dengan barangan tempatan, barangkali. Sekali pandang, manga import kelihatan seperti barangan premium.  Apabila kualitinya taraf premium, saya harap ia akan tahan lama dan kertasnya tidak cepat menguning.

Pluto Jilid 1. Bukan untuk kanak-kanak
kerana ceritanya berat
(sumber: SF Signal).
Kenapa (tamak sangat) sampai 8 jilid? Tentunya membeli jilid demi jilid lebih murah. Saya borong kelapan-lapan jilid kerana kali pertama saya mencari di kedai buku, jilid satu sudah tiada dalam stok. Saya mencongak-congak wang di tangan, dan memesan keseluruhan set.

Selepas beberapa minggu kemudian, stok baru jilid satu pun tiba. Saya membayar harganya sambil diperhatikan orang rumah saya yang tersenyum-senyum. Malah dia yang lebih banyak tersenyum daripada saya. Entahlah kenapa.


(Memang saya meminati Pluto dari dulu lagi. Percayalah, ini bukan belian impulsif.)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan