Ini adalah buku Puan Nisah Haron saya yang pertama. Selalunya saya jarang mencapai buku sebegini, tetapi rasa ingin tahu saya timbul selepas saya berkunjung ke
blog beliau.
Lentera Mustika bermula sebagai sebuah novel bersiri yang disiarkan dalam majalah Aniqah. Novel ini juga merupakan prekuel kepada novel Puan Nisah yang lebih awal, Mencari Locus Standi. Saya rasa sesiapa yang pernah membaca novel tadi mungkin akan lebih menjiwai perjalanan plot Lentera Mustika. Membaca Lentera Mustika adalah umpama pertemuan semula dengan watak-watak yang mereka kenali dahulu seperti E-Jay dan Ibu Mustika.
Novel ini berpontensi untuk menjadi novel yang melonjakkan nama Puan Nisah, atau karya
breakthrough beliau. Antara sebabnya ialah penampilan novel ini. Berbanding novel-novel beliau yang sebelum ini, kulit hadapan Lentera Mustika nampak lebih segar dan menarik. Apabila Puan Nisah menulis di blog yang beliau sangat gembira dengan rekaan kulit hadapan novel ini, saya dalam hati tumpang gembira. Saya tak pasti sejauh mana seorang penulis boleh terlibat (campur tangan?) dalam proses rekaan, tetapi apabila sebuah buku yang baik muncul dengan rekaan yang hambar, saya rasa ini adalah satu bentuk... kezaliman.
Tumpuan novel ini ialah Dr. Ainur Mustika, seorang pendidik dan pengkaji persuratan Melayu. Beliau dilanda satu dilemma yang lazim lagi bagi sesiapa yang usianya dengannya. Soal jodoh. Dan lebih merumitkan keadaan ialah calon-calonnya muncul pada masa yang agak sama. Ainur sendiri masih menyimpan perasaan terhadap salah seorang daripada mereka, tetapi perhubungan ini tidak mendapat restu daripada pihak keluarga lelaki. Rakan sependeritaan Ainur dalam cerita ini ialah sepupunya Jasmarina. Kisah perjalanan jodoh mereka diceritakan secara seiring.
Daripada apa yang saya kutip melalui ulasan pembaca lain, mereka kurang gemar cara novel ini ditamatkan. Saya sendiri tak mempunyai masalah dengan kesudahan novel ini. Agaknya saya sudah terbiasa dengan filem/animasi/komik Jepun yang selalu berakhir dengan keadaan yang boleh dikatakan tergantung. Namun saya faham apa yang mereka maksudkan. Mungkin ini taktik Puan Nisah untuk mengumpan pembaca Lentera Mustika supaya mendapatkan Mencari Locus Standi.
(Puan Nisah, saya cuma bergurau, tapi kalau betul sekali pun apa salahnya, kan?)
4 comments:
'Open ending'? haha, setakat ini tak ramai orang kita yang saya jumpa suka kepada penamat jenis macam tu tak kiralah novel, komik atau filem. Dan saya tengok kebanyakan novel kontemporari bahasa melayu yang saya sempat selak-selak, penamatnya selalu jenis konklusif dan 'live happily ever after'.
Penamat yang tergantung selalunya membuatkan orang rasa tak selesa. Mereka terpaksa buat andaian itu dan ini. Penamat yang jelas akan menjawab persoalan-pesoalan dalam cerita, dan membuatkan pembaca rasa lega. Tetapi penamat tergantung bukanlah alasan untuk mempertahankan penamat yang lemah. Saya rasa penamat tergantung perlu sekurang-kurangnya membuat orang terfikir tentang apa yang mungkin. Dari sini kita dapat nilai adakah orang akan berfikir tentang kemungkinan yang positif atau kemungkinan yang negatif. Wallahua'lam.
Salam,
Sekadar menambah : saya tidak terlibat dengan urusan kulit hadapan LM. Semuanya 100% kerja penerbit. Tetapi, saya ditunjukkan draf kulit sebelum mereka finalkan. Saya dapat beri komen, tetapi keputusan di tangan mereka. Di dalam hal-hal kulit buku, biasanya saya jarang campur tangan dengan penerbit.
Open ending? Ya, barangkali. Tetapi, novel itu tetap selesai sebagai sebuah karya, bukan? :-)
Terima kasih atas ulasan di sini.
Alaikum salam WBT, Puan Nisah, terima kasih atas kunjungan dan berkongsi tentang cerita di belakang tabir urusan kulit hadapan. :-)
Post a Comment