Pages

Sunday, 30 January 2011

5 buku ter... 2010 (bahagian 2 daripada 5)

Meneruskan tradisi blog ini (jika sesuatu yang baru sahaja dimulakan tahun lepas sudah boleh dianggap satu tradisi), saya membelek semula buku-buku yang saya telah baca sepanjang 2010 dan mencari lima buah yang paling banyak membuatkan membuatkan saya, "Hmmm..." Ter... di sini mempunyai banyak maksud, kerana saya sengaja mengelak dari memberi gelaran "terbaik." Ter... apa sekali pun, inilah buku-buku yang dimaksudkan, tidak khusus kepada yang diterbitkan pada 2010.

Tanpa sebarang turutan, buku kedua dalam senarai ini ialah...


Kimono Ungu Bersulam Bunga 
Penulis: Rebecca Ilham
Penerbit: Ameen Kreatif
176 halaman

Saya fikir mana mungkin senarai saya akan lengkap tanpa Kimono Ungu Bersulam Bunga. Tulisan saya tentang buku ini telah membawa kepada beberapa interaksi dengan blogger lain. Penulis sendiri telah menyebutnya di blog beliau. Orang kuat Goodreads MY, Puan Najibah, telah mengundang saya untuk turut serta dalam Diskusi Ganding Baca Julai 2010, sesuatu yang saya tidak pernah cuba atau terfikir untuk cuba. Menerokai buku ini bersama blogger lain melalui Diskusi Ganding Baca Julai 2010 adalah satu pengalaman amat bernilai.

Pengalaman itu juga banyak membuatkan saya terfikir tentang pemikiran kritis serta adab dalam memberi pandangan bersifat kritis. Pemikiran yang kritis memerlukan seseorang itu untuk berani mengemukan pandangan walaupun ia mengundang kritikan orang lain. Ini salah satu penanda aras setinggi mana kita telah maju dalam cara kita berfikir. Seseorang yang tinggi pencapaian akademiknya belum tentu tinggi pemikirannya.

Islam tidak pernah melarang kita daripada mengutarakan pendapat atau untuk tidak bersetuju dengan pendapat orang lain. Baginda Rasulullah S.A.W telah menunjukkan satu jalur tauladan yang halus serta tinggi. Bukan setakat seorang dua kafir musyrik yang telah mengkritik bahkan menghina Baginda. Tidak walau sekali Baginda membalas, kecuali apabila kata-kata mereka menghina Allah atau Islam. Akhlak ini dihidupkan oleh para Sahabat dan generasi Muslim seterusnya. Bukannya mereka tidak pernah berbalah. Mereka berbalah seperti kita juga tetapi secara saling hormat menghormati. Hormat turut bermaksud berlaku adil terhadap pendapat yang tidak disetujui. Menolaknya dengan hujah yang logik lagi tersusun. Huraian diberi dijuruskan ke arah mencari kebenaran. Kepentingan peribadi pula dikesampingkan.

Untuk berlaku adil tentang pandangan atau hasil kerja seseorang, kita sekurang-kurangnya perlu cuba memahami faham proses dan falsafah di sebaliknya. Tanpa memahami perkara ini, kita berkecendurangan untuk melampaui batas di dalam penilaian kita. Penilaian perlukan piawaian yang tertentu. Tanpa piawaian, sukar untuk mempertahankan penilaian kita.

Kita ambil contoh apabila seorang penulis memaparkan di blog beliau sebarang komen atau reviu positif tentang karya beliau. Sebelum menuduh mereka masuk bakul angkat sendiri, kita patut faham bagaimana publisiti dan pemasaran mempengaruhi jualan sebuah buku. Penulis tidak dapat bergantung kepada penerbit untuk usaha promosi kerana penerbit ada berpuluh-puluh penulis lain yang turut perlu dipromosikan. Penulis sendirilah yang perlu kreatif dalam mendekati pembaca dan menyelami pasaran. Islam juga tidak melarang kita daripada menampilkan kelebihan diri selagi ia tidak membawa kepada perasaan takbur, bangga dan sebagainya. Setiap orang dianugerahkan kelebihan oleh Allah S.W.T. Mungkin kelebihan kita dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Segala ini saya tujukan kepada diri saya yang masih belajar untuk berfikir secara kritis.

Saya berharap penulis seperti Rebecca Ilham akan terus menggunakan kelebihan mereka untuk mendidik pembaca dan masyarakat walaupun dikritik, secara adil atau sebaliknya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan