Pengumuman gangguan bekalan air bagi pengguna sekitar Langat beberapa hari lalu mengingatkan saya kepada krisis air tahun 1998, yang berlanjutan hingga beberapa bulan. Ketika itu saya dan kawan-kawan masih di pusat matrikulasi. Mereka yang tinggal luar tetapi berdekatan KL (seperti Tanjung Malim dan sebagainya) beruntung kerana mereka boleh pulang dan menikmati bekalan air tak terganggu di rumah. Kami yang tinggal di KL atau sangat jauh dari KL terpaksa bersabar lebih.
Alhamdulillah dalam gangguan kali ini rumah kami tak terlibat. Rumah kami terletak di kawasan yang sering terkena gangguan bekalan, sama ada elektrik atau air, berbanding kawasan lain. Kalau nak kata kami dah lali mungkin tak beberapa kena, sebab siapa yang suka apabila bekalan air atau elektrik mereka terputus?
Semasa kami menghadapi krisis air tahun 1998, bekalan air terpaksa diambil dari lori-lori bekalan air yang dihantar oleh syarikat bekalan air ke kawasan-kawasan berpenduduk. Di pusat matrikulasi, lori turut didatangkan dan kami beramai-ramai turun ke gelanggang sepak takraw dan kawasan letak kereta dengan baldi di tangan. Air diambil sekadar perlu. Tak terlalu sedikit hingga terpaksa mencekau simpanan air orang lain dan tak terlalu banyak hingga membuatkan orang lain tak puas hati.
Bila dikenang semula, pada masa itu keadaan terasa sungguh berat. Dari sehari ke sehari hati tertanya, bilalah boleh nak mandi seperti biasa. Tak perlu mengusung botol atau baldi ke bilik air.
Barulah nak sedar betapa besarnya nikmat air yang Allah sediakan selama ini.
Namun itu kira-kira 10 tahun yang lalu. Segala kepayahan tadi sudah lama tinggal kenangan. Sejak krisis tadi kami belum lagi diuji dengan keadaan yang sama atau yang lebih teruk. Kalau terputus bekalan pun hanya untuk 3–4 hari, paling teruk. Cuma seperti yang saya kata mula-mula tadi, apabila gangguan berlaku fikiran mula teringat-ingat. Semoga hati juga teringat-ingat untuk bersyukur.
0 comments:
Post a Comment