Pages

Saturday, 2 May 2009

Bercinta Sampai ke Syurga


Buku ini ialah susulan yang saya nanti-nantikan kepada Aku Terima Nikahnya. Semasa menulis tentang Aku Terima Nikahnya saya ada berharap agar Ustaz Hasrizal akan menulis dengan lebih lanjut tentang topik ini. Sedar-sedar setahun kemudian, muncullah Bercinta Sampai ke Syurga.

Mungkin saya lambat menangkap formula Ustaz Hasrizal dalam menulis kedua-dua buku ini. Yang sebenarnya isi buku-buku ini adalah entri-entri di laman web Ustaz sendiri, Saifulislam.com. Patutlah rasa macam pernah baca.

Tak mengapa, itu tidak mencacatkan buku-buku ini lansung. Dalam bentuk buku lebih mudahlah untuk pembaca mengjinjingnya ke mana-mana. Tak perlu kepada kuasa elektrik atau sambungan untuk online.

Sebagai buku susulan, Bercinta Sampai ke Syurga banyak memperjelaskan apa yang sudah pun dibincangkan dalam Aku Terima Nikahnya. Antara yang dihurai dengan lebih lanjut oleh Ustaz ialah masalah bercouple sebelum berkahwin dan pendekatan yang sesuai untuk menanganinya. Ada pihak yang menuduh Ustaz menyokong coupling dan Ustaz mengkhususkan satu bab untuk menjawabnya. Seterusnya tentang golongan prihatin yang mengguna kaedah yang kurang berhikmah dalam menegur rakan-rakan mereka yang "dibius cinta." Ustaz mengajak mereka supaya jangan sekadar melihat luaran dan menjadi buta tentang yang dalaman. Atau sibuk mengubati simptom tapi terlepas pandang akan penyakit.

Buku ini juga ada menyentuh tentang "Tanggungjawab tanpa Cinta" berbanding "Cinta tanpa Tanggungjawab." Secara ringkasnya Islam tidak mengiktiraf kedua-duanya kerana kedua-duanya adalah bertentangan syariat dan sunatullah suami dan isteri, lelaki dan wanita. Di sinilah mesej pokok kedua-dua buku ini cuba diketengahkan, iaitu kita patut meletakkan cinta pada tempatnya, dengan cara yang betul.

Pendekatan Ustaz untuk kali ini lebih kepada membuat pembaca berfikir. Banyak nasihat dan kata-kata Ustaz nampak seakan-akan samar. Ianya tidak boleh diambil pada nilai muka. Pembaca perlu menjangkaukan fikiran mereka dengan lebih jauh sedikit tanpa membuat kesimpulan atau andaian melulu. Agaknya tuduhan tadi yang mengatakan Ustaz menyokong coupling muncul kerana kurangnya perkara ini. Wallahua'lam.

Jadi, lapangkan minda kita dan belajarlah untuk Bercinta Sampai ke Syurga. Sesungguhnya cinta itu, yang datangnya dari Ilahi, adalah lebih besar dan lebih indah daripada apa yang kita sangka. Jika betul cara dan tempatnya.

2 comments:

mudin001 said...

Ermm... bila lagi Sdr Rol akan 'menerima nikahnya' ya?

Dua buah buku berkaitan dah khatam. Hehheh!

:D

r.o.l. said...

Heh, bukan setakat dua buku ini saja yang dah dikhatam. Hahaha!

:D

Jodoh ini seperti maut, bukan senang untuk dijelaskan. Ia akan datang pada masanya, dan jika ia datang tiada apa yang mampu menghalangnya. Bagi saya sendiri, usaha dan tawakal tetap ada, tapi untuk ia terkabul hanya Allah saja tahu bila.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan