Bangunan asrama yang saya diami dahulu agak kecil dan mempunyai enam bilik asrama, dua bilik air serta bilik membasuh awam dan dua buah bilik hujung yang juga merupakan rumah kediaman warden asrama sekeluarga. Menariknya bilik-bilik di bangunan ini semuanya dinamakan sempena nama sasterawan. Bilik saya A. Samad Said, setingkat dengan A. Samad Ismail dan Abdullah Hussein di sebelahnya. Di tingkat atas adalah Za’ba, Keris Mas dan Tongkat Warrant. Bangunan itu sudah dirobohkan dan kini sebuah bangunan baru yang lebih besar berdiri di tapaknya.
Salah seorang kawan sekelas ahli bilik Za’ba. Saya selalu ke situ kerana ahli-ahlinya sangat mesra terhadap tetamu. Jika ada makanan lebih mereka tidak pernah lupa menjemput kami menjamahnya. Sesiapa yang pernah tinggal di asrama akan faham kenapa makanan selalu dianggap satu kemewahan, apatah lagi jika sajian di dewan makan kurang membangkitkan selera. Malah seorang kawan lain pernah berpendapat yang penyakit orang yang tinggal di asrama ialah suka makan free. Mungkin penyakit ini tidak menimpa kebanyakan penghuni asrama tetapi ada kemungkinan saya salah seorang penghidapnya.
Layanan penuh budi ahli bilik Za’ba terhadap saya menyebabkan saya teringat-ingat dan terfikir-fikir tentang tokoh empunya nama Saya cuma tahu yang beliau adalah pengarang buku Pelita Bahasa Melayu dari sebuah rencana yang termuat di dalam buku latihan Bahasa Melayu UPSR saya. Selain daripada itu saya kurang maklum.
Kebelakangan ini saya tersua semula dengan nama Za’ba. Mula-mula di celah-celah halaman buku Ustaz Dr. MAZA. Kemudiannya di muka depan Berita Minggu bertarikh 15 Mei 2011 (“Za'ba Dipersenda”). Perasaan ingin tahu saya tentang tokoh Melayu yang jarang disebut-sebut ini mula menebal.
Beberapa kali Ustaz Dr. MAZA menyebut tentang buku Za’ba yang berjudul Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Penterjemah buku Ustaz Dr. MAZA menterjemahkannya sebagai “Our Attitudes Depends on Us Alone”, tetapi merujuk kepada buku yang dimaksudnya, terjemahan yang lebih tepat mungkin berbunyi “The Attitude of Self-Reliance.” Atau “The Habit of Self-Reliance”, mengikut edisi rasmi Bahasa Inggeris terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber: Fauzi Sabri |
Pandangan Za'ba tentang pemikiran orang Melayu amat menyengat. Saya tidak hairan jika nama Za'ba kurang disebut-sebut sehingga kini. Jika kumpulan ulamak pun boleh memohon Tuanku Sultan untuk masuk campur, bayangkanlah reaksi pada peringkat orang awam. Barangkali Za'ba menjadi mangsa perkara yang beliau tentangi iaitu sikap bertaklid dan tidak berusul periksa.
Misalnya tentang mencari rezeki dan menyara hidup tanpa meminta-minta (dalam konteks hari ini saya fikir ini termasuklah meminta-minta kepada kerajaan). Beliau menegur,
... (pada perkara dunia) jika hendak memasukkan anak ke sekolah, rendah atau tinggi, maka sentiasalah mereka hendak mendapat ‘free’ (percuma tiada bayaran), atau mereka terharap-harap mendapat pertolongan kerajaan akan memberikan ‘scholarship’ (biasiswa) kepada anak itu. Jika mereka tidak ‘biasiswa’ tiadalah upaya mereka membelanjainya, kerana mereka miskin dan sentiasa mengaku miskin dan mengaku tidak tahu dan tidak pandai berikhtiar mencari wang sendiri atau berjimat-jimat mengumpulkannya untuk membelanjai sendiri anak-anak itu ke sekolah...Nah, bayangkan reaksi umum orang Melayu terhadap pendapat ini.
Selanjutnya beliau menerangkan,
Padahal orang-orang bangsa lain walaupun mereka sendiri tiada berpelajaran tetapi dengan sehabis dayanya berkebun sayur, berjual kayu api, berjual air batu, mengkayuh basikal kereta (trishaw), berjimat belanja, berceking makan minum, dapat mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan belanja mereka sendiri dan dengan membayar tiap-tiap perkaranya. Kerana walau di sekolah bangsa mereka sendiri pun, mereka tidak mendapat “peri” semuanya seperti kita dengan anak-anak kita di sekolah Melayu. Maka yang demikian ialah terutamanya oleh sebab mereka kuat bergantung kepada usaha dan ikhtiar mereka sendiri dan percaya kepada kebolehan dan keledar diri mereka sendiri, serta malu meminta tolong.Saya melihat ini sebagai satu peringatan yang wajar. Kita lihat saudara-saudara seislam kita seperti rakyat Palestin dan Iraq. Mereka banyak mengambil inisiatif sendiri kerana mereka tidak bergantung kepada kerajaan mereka seperti yang kita selalu lakukan. Ada sekali-sekala gerakan memohon derma untuk membantu rakyat Palestin oleh orang Palestin sendiri tetapi sangat jarang kita jumpa mereka yang ke hulu dan ke hilir meminta derma berterus-terusan. Begitu juga dengan rakyat Iraq yang sekarang ibarat ketiadaan negara.
Za'ba mengajak kita supaya mempergunakan kudrat dan nikmat pemberianNya untuk berusaha, di samping bertawakal. Beliau mengambil ibarat orang Kristian yang mengharapkan dosa mereka ditebus oleh syafaat Nabi Isa, di mana orang Islam pula mengharapkan syafaat Nabi Muhammad SAW.
Akan tetapi jika “semuanya” orang Islam hendak jadi begitu — hendak masuk syurga dengan jalan syafaat dan permohonan Rasulullah sahaja menolongnya, bukan dengan jalan amal sendiri atau dengan jalan kelayakan sendiri dari sebab amalnya itu — nescaya tentulah akan memberi malu yang besar kepada Rasulullah hendak memohon ke hadirat Tuhan. Kerana jika demikian maka bermaknalah bahawa orang-orang umatnya bangsat belaka, tiada mempunyai amal dan kelayakan sendiri!Amal soleh kita adalah usaha kita untuk sejahtera di akhirat. Teguran beliau adalah khusus kepada orang-orang yang hidup tanpa beramal dan hanya mengharapkan pahala tahlil dan sedekah bacaan Qul Hua'llah daripada orang yang masih hidup sebagai bekalan. Hakikatnya setinggi mana pun amalan kita, tiada jaminan yang amalan itu akan diterima tanpa ditapis-tapis.
Ketinggian intelek tokoh Melayu ini gagal diiktiraf dengan sewajarnya. Ramai orang termasuk saya lebih mengenali Za'ba sebagai nama sempena bagi bangunan, jalan atau bilik asrama.
3 comments:
nampak menarik buku ni - plan nak dapatkan buku ni :). Aku agree dgn pendapat Za'ba part yg syafaat tu.
assalamualaikum. semoga rohnya bersama roh para solihin, para muqarabbin. amal ibadat bukan menentukan 'syurga' ttp mengundang 'kasih' Allah supaya mudah ke syurga. jika Rasulullah tidak menggunakan syafaatnya...maka tidaklah Baginda menghargai 'pemberian' keistimewaan oleh Allah ini yg hanya pdnya berbanding nabi-nabi lain...wallahualam
exxecutor000, aku jumpa naskhah aku di kedai buku UM. DBP ada terjemahkannya ke dalam B.I.
nahmy, alaikum salam WBT. Pesan Za'ba agar jangan kita hanya bergantung kepada syaafat Nabi semata-mata. Berusahalah untuk bawa bekal amal dan iman kita sendiri semampu kita.
Post a Comment