Pages

Saturday, 30 January 2010

Senarai lima buku yang ter... 2009 (4 daripada 5)

Senarai 5 buku ter... Ter-apa? Terbaik? Terseronok? Tersedih? Terpedaya? Saya tak pasti. Apa yang boleh saya katakan, lima buku yang saya senaraikan ini merupakan bacaan yang telah paling banyak membuatkan saya, "Hmmm..."

Buku seterusnya ialah...




Never Let Me Go
Penulis: Kazuo Ishiguro
Penerbit: Faber and Faber
276 halaman

Fiksyen sains, satu genre yang telah lama saya tinggalkan.

Masa di sekolah dahulu, ada satu fasa yang saya lalui sebagai pembaca, fasa fiksyen sains. Cerita tentang robot, perjalanan menerusi masa, dunia angkasa dan makhluk asing menjadi santapan.

Saya rasa mungkin lebih mudah membaca fiksyen sains ketika belum belajar matapelajaran Sains di sekolah berbanding selepas. Barangkali perasaan yang sama dengan apa saya rasaii tentang novel sejarah. Oleh kerana saya kurang faham tentangnya di sekolah, saya merumuskan yang mungkin saya tidak cukup bijak untuk membaca cerita bertemakannya.

Bagaimana saya kembali ke fiksyen sains? Secara tidak disangka-sangka kerana buku ini.

Mana-mana peminat fiksyen sains sejati akan mendakwa genre ini sangat fluid.

Fiksyen sains sebagai kisah cinta? Bagaimana dengan The Time Traveler's Wife?

Fiksyen sains sebagai cerita seram? Masih ingat X-Files?

Fiksyen sains sebagai sastera? Buku ini contohnya. Hingga ke pada bab-bab terakhir saya masih menyoal, ini fiksyen sains atau fiksyen sastera? Jika diteliti, sains lebih seperti sistem saraf cerita.

Novel ini memerlukan kesetiaan dan kesediaan pembaca untuk menerimanya. Tiada robot nuklear gergasi berterbangan atau makhluk berkulit biru berkeliaran, yang ada hanya cerita tentang persahabatan, soal hati dan kerapuhan hidup manusia.

Dalam hidup setakat ini saya yang telah menempuh pelbagai bentuk persahabatan, sama ada yang baik dan yang tidak. Dari mula lagi saya kurang menumpukan kepada aspek sains ceritanya, sebaliknya saya menanti dengan penuh ketidak sabaran bagaimana kesudahan hubungan antara watak-wataknya. Mungkin secara tidak sedar saya membandingkan persahabatan yang pernah saya jalin dengan persahabatan di antara Ruth, Kathy dan Tommy.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan