Pages

Saturday, 9 January 2010

Terima kasih, saudaraku

Satu perkara yang saya sedari melalui pergaulan saya dengan Muslim negara luar adalah kita sangat kurang mengucapkan kata-kata penghargaan apabila kita dibantu. Berbanding kita, mereka akan lekas mengucapkan sesuatu yang lebih daripada ucapan terima kasih, seperti, "Semoga Allah membalas jasa baikmu, saudara," atau "Semoga Allah memudahkan segala urusanmu."

Di samping berterima kasih, mereka mendoakan kebaikan kepada mereka yang telah membantu.

Akhlak ini mirip dengan apa yang ditunjukkan oleh dua orang sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abdul Rahman bin Auf dan Saad bin Rabi' RAhuma. Kedua-dua orang sahabat mulia ini telah dipersaudarakan oleh Baginda SAW ketika peristiwa Hijrah. Abdul Rahman bin Auf RA adalah seorang sahabat yang hampir dengan Rasulullah SAW. Beliau banyak mengorbankan harta yang beliau perolehi melalui perniagaan beliau pada fisabilillah. Malah beliau sanggup meninggalkan kesenangan hidup beliau kecapi untuk bersama-sama Rasulullah SAW di Madinah.

Pada awal persaudaraan mereka, Saad RA telah berkata kepada abdul Rahman RA, "Wahai saudaraku, saya mempunyai dua orang isteri. Jika saudara suka, saudara pilihlah yang mana yang saudara rasa paling cantik di antara kedua-duanya. Saya akan menceraikannya, dan selesai iddahnya nanti bolehlah saudara mengahwininya."

Saad RA menyambung,"Wahai saudaraku, saya mempunyai dua buah rumah. Jika saudara suka, saudara pilihlah yang mana yang saudara rasa rumah yang paling cantik. Saya akan memindah miliknya kepada saudara, dan selesai pindah milik nanti bolehlah saudara mendiaminya."

Daripada kata-kata Saad bin Rabi' RA, kita dapat mengagak yang beliau juga seorang berharta, kalau pun tidak mencapai tahap kekayaan Abdul Rahman bin Auf RA. Namun Abdul Rahman bin Auf seorang sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW. Abdul Rahman RA menjawab pelawaan Saad dengan berkata, "Semoga Allah memberkati keluargamu serta hartamu. Usahlah saudara khuatir tentang keadaan saya, tetapi tunjukkan saya di mana letaknya pasar kerana di situlah rezeki saya."

Menurut ulamak, jawapan Abdul Rahman bin Auf RA menunjukkan akhlak seorang yang dibantu. Dalam keadaan beliau yang sangat memerlukan, beliau tidak sekali-sekali mengambil kesempatan atas pertolongan yang diberi. Sebaliknya beliau memutuskan untuk berusaha mencari rezeki dengan usaha sendiri. Beliau juga tidak lupa untuk mendoakan keberkatan ke atas niat baik Saad RA untuk membantunya.

Ucapan terima kasih adalah tanda kesyukuran kita atas pertolongan seseorang, manakala doa kita adalah sebagai satu cara kita untuk kita membalas budi seseorang.

Adakalanya kita memang tidak mampu untuk membalas jasa seseorang, seperti apabila seorang hartawan memberikan kita wang sebagai bantuan dan sebagainya semasa kita kesempitan. Apa pula yang mampu kita beri sebagai balasan, sedangkan orang yang membantu kita adalah seorang jauh lebih berharta daripada kita?

Dengan cuba membalas jasanya pada suatu masa kelak. Atau paling kurang kita patut mendoakannya, memohon agar Allah membalas jasanya. Sesungguhnya Dialah penyempurna segala balasan dan yang terbaik dalam menunjukkan penghargaan atas amalan baik hamba-hambaNya.


[ Mungkin berkaitan: Tips Perniagaan Abdul Rahman Bin Auf ]

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan