Pages

Showing posts with label Ongoings. Show all posts
Showing posts with label Ongoings. Show all posts

Sunday, 12 August 2012

Penawar Duka Pengubat Sengsara

Sumber: Karya Bestari

Allah Maha Hebat. Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Pengabul segala hasrat.

Sebelum ini saya sedikit mengomel tentang kepupusan peluang saya untuk membaca buku yang bukan untuk tujuan kerja. Hati saya meronta-ronta mencari ruang senggang. Bukannya topik bacaan untuk kerja saya ini membosankan, malah saya sedar signifikasinya. Cuma saya sudah menyusun rancangan membaca saya sendiri, dan kerana kerja rancangan ini sudah tergendala.

Ramadhan ini saya dihadiahkan olehNya dengan pengajaran-pengajaran yang penuh makna. Satu insiden ini juga saya anggap sebagai satu pengajaran. Dua hari yang lepas saya ke kedai cuci kereta untuk membersihkan kereta yang berselimut debu. Bukan setakat debu malah terpalit kotoran lain dari pelbagai sumber. Hatta, cadang sang pakar pencuci kereta, kereta saya ini juga perlukan polish. Proses polish mengambil masa lebih daripada sejam. Ketika itu buku ini ada di dalam beg. Maha Suci Allah, peluang yang saya cari muncul tanpa diduga. Saya duduk diam di tempat menunggu. Hujung mata lembab dan tekak saya mengeras. Keajaiban Allah telah menyinggahi hidup saya.

Bonus ini saya gunakan untuk menghadam mutiara ilmu dan kerohanian daripada Tuan Ustaz Dr Asri. Penawar Duka Pengubat Sengsara mengfokuskan aspek rohani dan akidah, berbeza daripada buku-buku beliau yang lain yang ada menyentuh tentang aspek seperti kemasyarakatan, siasah dan sejarah. Puisi-puisi kerohanian Ustaz Dr Asri yang menutup dan membuka bab-bab buku ini meniupkan rasa syahdu ke dalam hati pembaca termasuklah pembaca yang berhati kematu seperti saya.

Buku ini menjawab beberapa persoalan yang sekian lama berlegar di fikiran saya, seperti pandangan Islam tentang Bonda kita Hawa dalam peristiwa pengusiran beliau dan Ayahanda Nabi Adam A.S. dari syurga. Al-Quran merakamkan peristiwa dengan meletakkan tanggungjawab ke atas kedua-dua mereka. Tidak seperti agama lain, Islam tidak menyalahkan Bonda Hawa kerana menyebabkan manusia dihalau dari syurga atau menganggap kaum wanita sebagai bahana. Yang penting untuk kita pegang ialah taubat Ayahanada dan Bonda diterima oleh Allah. Kedudukan mereka tetap mulia dan berada di kalangan yang patut kita dikasihi.

Satu persoalan lagi yang mencuit minda saya ialah tentang perkataan قلب yang selalu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai hati. Terjemahan yang lebih tepat ialah seperti di dalam Bahasa Inggeris iaitu heart atau jantung. Ini lebih dekat dengan maksud قلب yang dianalogikan di dalam Al-Quran. Hati dalam bahasa Inggeris ialah liver. Menariknya, istilah heart attack tidak pula diterjemahkan kepada serangan hati tetapi serangan jantung. Begitu juga heart disease adalah penyakit jantung, bukan penyakit hati. قلب juga tidak sesuai ditulis sebagai kalbu kerana كلب dalam Bahasa Melayu ialah anjing. Oleh sebab ini saya pernah dengar cadangan agar perkataan kalbu diganti pakai dengan perkataan atma.

Tanpa saya sedar, sudah pun berlalu sejam lebih. Kereta saya tampak berkilat dan hati jantung hati saya terasa diubat. KeajaibanNya sentiasa tidak dapat diduga. Saya berazam agar doa berikut yang saya belajar dari buku ini akan menjadi kelaziman hidup saya. Jika saudara sudah pun beramal dengannya, teruskanlah. Semoga saya dapat mengikuti saudara dalam kebaikan.

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai).

Monday, 6 August 2012

Membaca kerana kerja

Suka atau tidak, sebahagian besar kerja saya sekarang melibatkan membaca. Saya sangka sebagai seorang yang suka membaca, ini sesuatu yang mengujakan.

Sangkaan saya meleset. Bukan senang untuk membaca demi kerja. Berbeza dengan membaca demi minat. Bukan senang memaksa diri untuk membaca, apabila diri ‘rasanya’ memang suka membaca. Adakala saya rasa seolah-olah saya seorang perasan suka membaca, bukan betul-betul. A faking bibliophile.

Boleh jadi juga kerana kerja, apa yang ingin saya baca terpaksa diletak ke tepi. Adakah membaca demi kerja telah melunturkan keinginan membaca di luar kerja?

Kala Ramadhan ini saya mengajukan doa-doa termasuklah agar konflik ini akan berpenghujung. Kerana semakin lama konflik ini berlansung, semakin dungu saya rasa.

Wednesday, 2 May 2012

40 Hadis Palsu Popular

Sumber: PTS
Saya ada satu pengalaman buruk berkenaan hadis palsu. Hadis palsu berkenaan cara sahabat Nabi Abdul Rahman bin Auf RA masuk syurga. Menurut matan (teks) hadis palsu ini, Rasulullah ‘dikatakan’ telah melihat sahabat yang mulia ini akan memasuki syurga secara merangkak

Peristiwa ini berlaku kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Setelah saya mendengar ‘hadis’ ini, jiwa saya begitu gundah. Bagaimana seorang yang sangat tinggi jasanya dan darjatnya serta salah seorang sahabat yang paling awal memeluk Islam menerima nasib yang sebegini?

Bagaimana pula orang lain, seperti saya, yang boleh dikatakan tiada sebarang jasa terhadap Islam?

Abdul Rahman RA telah banyak berkorban untuk Islam. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang amat kaya. Kemuliaan akhlak beliau telah dirakam dalam sejarah melalui kisah beliau dengan Saad bin Rabi' RA. Kemungkinan besar ‘hadis’ ini cuba menunjukkan betapa beratnya beban harta dalam perjalanan seseorang menuju syurga, secara literal ataupun secara metafora.

Saya tidak menafikan pada waktu-waktu itu, semasa memikirkan tentang ‘hadis’ Abdul Rahman bin Auf, keyakinan saya terhadap Islam diserang hebat. Saya berdebat dengan diri sendiri. Bahkan saya pernah bertanya tentang hadis ini kepada seorang ustaz. Ustaz tersebut tidak memberi sebarang komen dan selaku seorang yang berilmu beliau telah mengambil tindakan yang betul dengan tidak bercakap di luar batas ilmu beliau. Beliau tidak bercakap seperti seorang pakar hadis dan saya pula sememangnya orang awam yang serba jahil. Perbincangan kami tamat tanpa konklusi.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah Taala kerana memberi saya kekuatan untuk telah mempersoalkan perkara ini secara tidak tentu hala. Sungguh pun hati saya menjerit meminta jawapan, Allah yang Maha Mengetahui akhirnya memberikannya selepas beberapa tahun. Saya masih beriman kepadaNya. Ada ketikanya sebelum saya menemui jawapan, apabila saya teringat kepada ‘hadis’ ini, jiwa saya bergolak.

Oleh sebab itu saya amat berterima kasih kepada pihak Tuan Abdul Razak Muthalib dan PTS kerana menulis dan menerbitkan buku 40 Hadis Palsu Popular. Kandungannya mungkin tidak seterperinci kitab-kitab tentang hadis palsu tetapi cukup bermanfaat untuk orang awam.

Penulis, pada halaman 109, bahawa ‘hadis’ Abdul Rahman bin Auf ini dianggap lemah oleh Ibnu Taimiyyah, Ibnu al-Jauzi, dan al-Haithami. Dalam mensyarahkan hadis palsu ini, Ibnu al-Jauzi berkata,
Hadis batil ini dijadikan pegangan oleh orang jahil sufi bahawa harta adalah penghalang dari melalukan kebaikan. Mereka beranggapan, jika Abdul al-Rahman bin 'Auf masuk syurga secara merangkak disebabkan hartanya, hal ini sudah cukup menunjukkan celaan terhadap harta. Hadis ini tidak sahih. Ia sangat tidak boleh diterima Abdul al-Rahman yang dijamin masuk syurga  tetapi terhalang daripada kebaikan disebabkan hartanya. Ini kerana mengumpulkan harta dibolehkan, sedangkan yang dicela ialah mendapatkan harta dengan cara yang salah atau tidak menunaikan kewajipan terhadap harta tersebut. Mustahil dua perkara in ada pada Abdul al-Rahman. Betapa ramai tukang cerita berdalil dengan hadis seperti ini untuk menganjurkan kemiskinan dan mencela kekayaan. Aduhai, para cerdik pandai manakah yang mengetahui dan memahami dengan kefahaman yang sebenar?
Saya yakin jika krisis rohani ini boleh menimpa saya, tentu ramai orang lain yang sedang, telah, serta bakal menghadapinya. DI saat keyakinan kita terhadap keadilan dan kerahmatan Tuhan sedang goyah, mudah sekali elemen jahat untuk masuk dan menghasut kita agar meragui ajaran Islam.
 
Saya amat bersyukur kerana krisis ini menyedarkan saya tentang pentingnya mencari kebenaran dan kesan hadis palsu. Hadis palsu, yakni ucapan yang dikatakan pernah diucapkan oleh Nabi tetapi hakikatnya tidak, adakalanya nampak seakan-akan mempunyai mesej yang baik. Namun impaknya terhadap umat Islam amat buruk dan boleh membawa orang lebih jauh daripada Islam, seperti yang hampir-hampir terjadi pada diri saya. Di antara hadis palsu yang dimuat di dalam buku ini
  • Menuntut ilmu hingga ke China, serta belajar dari buaian hingga ke liang lahad
  • Syurga di bawah tapak kaki ibu
  • Perselisihan adalah rahmat
  • Bekerja untuk dunia seolah-olah akan hidup selama-lamanya dan beribadat untuk akhirat seolah-olah akan mati esok
  • Talak menggegarkan Arasy 
  • Solat dua rakaat orang yang sudah berkahwin lebih baik daripada 70 rakaat solat orang bujang
  • Hadis palsu yang memfitnah sahabat seperti Alqomah anak derhaka yang menghadapi sakaratul maut yang sukar kerana pernah menyinggung perasaan ibu beliau
Para ustaz juga baru-baru ini menekankan tentang bahaya menyebarkan mesej yang mengandungi hadis palsu melalui media sosial. Niat si pengirim mungkin baik tetapi hadis palsu tetapi ia tetap salah.

Nabi Muhammad SAW bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim,“Sesungguhnya berdusta ke atasku (mengunakan namaku) tidaklah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduk untuknya di neraka.”

Jangan kerana niat ingin bertazkirah, kita terheret ke neraka. Semoga kita dilindungi Allah daripada kesilapan ini.


Thursday, 19 April 2012

Teman Perjalanan yang Baru dan Bermanfaat

KEMAS KINI: Link ke podcast BFM dan IKIMfm

Satu petua bernas yang saya belajar daripada Prof Dr Muhaya ialah bagaimana untuk mencuri masa untuk mencari ilmu pengetahuan baru walaupun ketika kita sangat sibuk. Pesan beliau, masa-masa terluang yang dihabiskan berulang alik dari rumah ke tempat rumah, menunggu seseorang, dan seumpamanya boleh digunakan untuk belajar.

Bagaimana? Dengan mendengar audiobook.



Mendengar buku adalah cara yang cepat untuk menyerap ilmu dan maklumat. Kita tidak perlu duduk setempat, kita boleh bergerak jika kita mahu. Sambil memasak, membasuh, atau mengemas. Waktu terperangkap di dalam jam tidak lagi seteruk sangat apabila fikiran kita sedang menyerap input-input berguna.

Saya mencuba petua ini semasa pulang ke kampung minggu lepas. Media pilihan saya bukan audiobook tetapi podcast dari stesyen BFM dan IKIMfm. Kerana saya memang hantu interview. Rakaman podcast dalam bentuk MP3 dimuat turun, dirakam ke CD-ROM, kemudian dimainkan di radio kereta.

Sepanjang perjalanan dari utara tanahair ke ibukota negara, saya ditemani pakar rujuk muamalat Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, tokoh agama Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, business coach Jeevan Sahadevan, antaranya. Rasa kantuk berjaya dihalau, serba sedikit. Kepala dan jiwa juga terisi, sedikit sebanyak.

Terima kasih yang tidak terhingga buat Prof Dr Muhaya.

[ BFM Podcasts ]
[ Muat Turun Audio IKIMfm ]

Thursday, 23 February 2012

Hadiah Hari Lahir termahal

Tahun lepas saya menghadiahkan diri saya hadiah hari lahir termahal yang pernah saya hadiahkan seseorang.

Ayat tadi berbunyi seolah-olah saya ini mengutamakan diri sendiri melebihi diri orang lain, bukan?

Tidak, tidak. Bukan begitu. Sebenarnya hadiah itu mahal kerana ia bukan satu hadiah. Ia satu set siri manga 8 jilid yang telah saya beli sekaligus. Percayalah, saya jarang membeli sesuatu yang sebegini mahal. Saya bukannya orang bergaji besar (atau bergaji tetap).

Saya memutuskan untuk memborong keseluruhan set ini selepas beberapa lama berfikir sama ada saya mampu atau tidak. Dan patut atau tidak?

Selama ini saya banyak membaca manga secara percuma di Internet. Inilah cara yang paling mudah untuk membacanya. Di Malaysia tidak banyak manga yang diterjemahkan. Yang ada bukanlah jenis yang saya minat.

Zaman budak sekolah dahulu saya rajin membeli serta meminjam Dragonball, Dragon Quest, Yu Yu Hakusho, Slamdunk, termasuklah Sailor Moon; edisi Bahasa Melayu keluaran Comics House. Saya tidak pasti berapa harganya sekarang tetapi waktu itu harganya RM3.50.

Oh, sekarang RM4.80 rupanya
Jauh bezanya dengan harga manga hadiah hari lahir saya tahun lepas. Melebihi 10 kali ganda. Bukan sahaja harga yang beza, tetapi kualiti cetakan, jilidan, dan terjemahan.

Inilah beza barangan import dengan barangan tempatan, barangkali. Sekali pandang, manga import kelihatan seperti barangan premium.  Apabila kualitinya taraf premium, saya harap ia akan tahan lama dan kertasnya tidak cepat menguning.

Pluto Jilid 1. Bukan untuk kanak-kanak
kerana ceritanya berat
(sumber: SF Signal).
Kenapa (tamak sangat) sampai 8 jilid? Tentunya membeli jilid demi jilid lebih murah. Saya borong kelapan-lapan jilid kerana kali pertama saya mencari di kedai buku, jilid satu sudah tiada dalam stok. Saya mencongak-congak wang di tangan, dan memesan keseluruhan set.

Selepas beberapa minggu kemudian, stok baru jilid satu pun tiba. Saya membayar harganya sambil diperhatikan orang rumah saya yang tersenyum-senyum. Malah dia yang lebih banyak tersenyum daripada saya. Entahlah kenapa.


(Memang saya meminati Pluto dari dulu lagi. Percayalah, ini bukan belian impulsif.)

Sunday, 19 February 2012

Baucer Buku 1Malaysia

Alhamdulillah, segala syukur kepada Allah, dan terima kasih buat pihak kerajaan. Sebagai seorang pelajar IPT, saya telah menjadi salah seorang penerima Baucer Buku 1Malaysia (BB1M).

BB1M adalah sebahagian daripada bantuan yang diperuntukkan di bawah Bajet 2012 yang diumumkan tahun lepas. Setiap pelajar yang layak akan menerima baucer buku yang bernilai RM200 untuk tujuan membeli buku-buku yang berkenaan dengan pelajaran. Itulah tujuan utamanya.

Saya mendapat tahu mengenainya sehari selepas ia diedarkan. Sememangnya Allah Maha Mengetahui. Hari pertama rupa-rupanya hari yang teramat sibuk kerana para pelajar menbanjari dewan untuk mengambil baucer masing-masing. Apabila saya datang ke dewan pada hari ke-2, saya cuma beratur selama 5 minit.

Waktu itu sudah hujung semester. Ada pelajar yang sudah selesai segala peperiksaan dan telah pun berangkat pulang ke kampung. Yang masih ada barangkali berfikir kaunter edaran akan ditutup jika mereka lambat mengambilnya. Atau jika tidak diambil pada hari itu, baucer tersebut akan habis.

"Masih boleh ambil lagi kalau selepas ini, tetapi di Unit Kewangan. Saudara perlu menuntutnya sendiri," saya diberitahu oleh pegawai yang bertugas, "Tetapi perlu sebelum 31 Mac ini." Kenapa 31 Mac, saya bertanya. "Baucer ini akan luput pada 31 Mac, hari terakhir untuk menebusnya."

Saya beredar setelah mengucapkan terima kasih kepada pegawai bertugas, dan mencatat tarikh 31 Mac di dalam ingatan saya. Sebenarnya RM200 adalah bukanlah jumlah yang banyak, tetapi ia bukan jumlah yang sedikit. Banyak atau sedikit akan bergantung kepada jenis buku yang bakal dibeli.

Harga buku teks terutamanya yang diimport adalah agak tinggi. Ketika saya masih seorang prasiswazah, saya selalunya perlu membeli empat hingga enam buku teks setiap semester. Harga sebuah buku teks biasanya berada di antara RM60 hingga RM80. Itu zaman saya. Bagi prasiswazah sekarang, harga buku teks dikatakan bermula pada RM70.

Bagi pelajar yang menjalankan penyelidikan, buku rujukan menjadi keperluan. Ke situlah perginya BB1M saya. Seperti kebanyakan buku import, harganya menggerunkan.

Sumber: mediabistro
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan