Ini adalah buku Puan Nisah Haron saya yang pertama. Selalunya saya jarang mencapai buku sebegini, tetapi rasa ingin tahu saya timbul selepas saya berkunjung ke blog beliau.
Lentera Mustika bermula sebagai sebuah novel bersiri yang disiarkan dalam majalah Aniqah. Novel ini juga merupakan prekuel kepada novel Puan Nisah yang lebih awal, Mencari Locus Standi. Saya rasa sesiapa yang pernah membaca novel tadi mungkin akan lebih menjiwai perjalanan plot Lentera Mustika. Membaca Lentera Mustika adalah umpama pertemuan semula dengan watak-watak yang mereka kenali dahulu seperti E-Jay dan Ibu Mustika.
Novel ini berpontensi untuk menjadi novel yang melonjakkan nama Puan Nisah, atau karya breakthrough beliau. Antara sebabnya ialah penampilan novel ini. Berbanding novel-novel beliau yang sebelum ini, kulit hadapan Lentera Mustika nampak lebih segar dan menarik. Apabila Puan Nisah menulis di blog yang beliau sangat gembira dengan rekaan kulit hadapan novel ini, saya dalam hati tumpang gembira. Saya tak pasti sejauh mana seorang penulis boleh terlibat (campur tangan?) dalam proses rekaan, tetapi apabila sebuah buku yang baik muncul dengan rekaan yang hambar, saya rasa ini adalah satu bentuk... kezaliman.
Tumpuan novel ini ialah Dr. Ainur Mustika, seorang pendidik dan pengkaji persuratan Melayu. Beliau dilanda satu dilemma yang lazim lagi bagi sesiapa yang usianya dengannya. Soal jodoh. Dan lebih merumitkan keadaan ialah calon-calonnya muncul pada masa yang agak sama. Ainur sendiri masih menyimpan perasaan terhadap salah seorang daripada mereka, tetapi perhubungan ini tidak mendapat restu daripada pihak keluarga lelaki. Rakan sependeritaan Ainur dalam cerita ini ialah sepupunya Jasmarina. Kisah perjalanan jodoh mereka diceritakan secara seiring.
Daripada apa yang saya kutip melalui ulasan pembaca lain, mereka kurang gemar cara novel ini ditamatkan. Saya sendiri tak mempunyai masalah dengan kesudahan novel ini. Agaknya saya sudah terbiasa dengan filem/animasi/komik Jepun yang selalu berakhir dengan keadaan yang boleh dikatakan tergantung. Namun saya faham apa yang mereka maksudkan. Mungkin ini taktik Puan Nisah untuk mengumpan pembaca Lentera Mustika supaya mendapatkan Mencari Locus Standi.
(Puan Nisah, saya cuma bergurau, tapi kalau betul sekali pun apa salahnya, kan?)