Pages

Tuesday 26 July 2011

Amalan soleh atau ritual?

Sebagai seorang ayah Michael Chabon menghadapi satu dilema. Dia seorang yang berpandangan progresif dan seorang ateis. Pada masa yang sama, masa telah tiba untuk anak lelakinya yang baru lahir dikhatan, selari dengan kehendak budaya Yahudi.

Kalau abangnya dikhatan, adik pun patut juga, bukan? Kalau tidak, mereka tidak akan sepadan. Itu kesimpulan Chabon.

Dilema tersebut diserabutkan oleh satu lagi faktor. Chabon pernah terbaca yang berkhatan dikatakan boleh mengurangkan nikmat hubungan kelamin. Kebenarannya tidak mungkin dipastikan oleh Chabon kerana dia sendiri telah dikhatan semasa kecil. Sedikit sebanyak dia berasa bersalah kerana menimpakan kemungkinan ini ke atas anak-anaknya.

Sumber: A.V. Club

Saya pula tergaru-garu kulit kepala saya yang tidak gatal ketika membaca tentang dilema ini di dalam Manhood for Amateurs: The Pleasures and Regrets of a Husband, Father, and Son, koleksi esei Chabon tentang lelaki, kelakian dan kehidupan sebagai seorang lelaki.

Saya lansung tidak terfikir yang berkhatan boleh menimbulkan begitu banyak persoalan dan pertimbangan. Isu sebegini sebenarnya adalah tema berulang di dalam pelbagai novel, siri televisyen dan filem Barat, pertembungan di antara kepercayaan dan kebudayaan. Pada pengamatan saya, orang Yahudi yang paling sering mengalaminnya kerana pertautan mereka yang sangat kuat dengan asal usul mereka, walaupun mereka secara terang-terangan menolak aspek berkaitan kerohanian dan ketuhanan.

Alim ulama kita menerangkan perkara ini dengan baik sekali. Apabila amalan soleh dibuat tanpa menyedari kepentingannya (fikir) dan perkaitannya dengan Allah SWT (zikir), ia bertukar menjadi adat. Atau istilah modennya, ritual.

Islam berbeza daripada sistem kepercayaan lain dari segi matlamatnya. Segala amalan soleh yang kita kerjakan adalah kerana mencari keredhaan Allah. Segala niat yang selain itu akan ditolak. Bukan sahaja ia menjadi sia-sia, bahkan jika niat itu kerana selain Allah, ia menjadi syirik, dosa yang tidak sama sekali akan terampun. (Semoga Allah melindungi kita semua daripadanya.)

Satu lagi prasyarat bagi setiap amalan soleh adalah bertetapan dengan sunnah Baginda Rasulullah SAW dan kehendak syariah. Sekali pun niat telah diikhlaskan kepada Allah SWT, kaedah perlaksaannya perlu betul. Allah tidak akan menerima solat Maghrib lima rakaat yang ditunaikan hatta kerana cinta padaNya.

Perintah Allah tidak datang secara arahan semata-mata. Di samping peringatan dan amaran, amalan soleh juga mengandungi fadilat-fadilat yang tersendiri. Ada fadilat yang berbentuk janji di alam akhirat kelak seperti ganjaran pahala bagi solat fardhu berjemaah dan solat-solat sunat, dan ada fadilat yang dapat dirasai di dunia ini lagi seperti mendapat kasih sayang kerana mengasihi ibu bapa, anak-anak dan saudara seagama.

Ritual pula mungkin mengandungi signifikasi, falsafah atau sejarah yang tertentu. Oleh sebab lemahnya atau tiadanya perkaitan di antara ritual dan asas-asas daripada Al-Quran dan Sunnah, maka ramai Muslim terutamanya generasi ke-dua Muslim di negara Barat lebih banyak mempersoalkan amalan-amalan ritualistik yang sering diamalkan secara turun-temurun, berbanding Muslim yang lahir Muslim seperti orang Melayu.

Jika kita tidak berwaspada, tidak mustahil kita akan mencampur-adukkan di antara amalan soleh dan ritual. Lebih teruk lagi kita mungkin akan terkinja-kinja marah apabila orang lain meninggalkan sesuatu yang ritual tetapi sedikit pun tidak bersuara apabila amalan soleh dipinggirkan.

Dari pandangan Islam, kepentingan tentang berkhatan ada diterangkan. Rasullullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim,
Lima perkara fitrah: berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, memendekkan misai.
Fitrah, menurut As-Shawkani, adalah perkara-perkara yang membawa kepada kehormatan dan kesopanan apabila diamalkan.

Namun bezanya orang Yahudi dan orang Muslim, termasuklah orang Melayu, ialah kuatnya pegangan orang Yahudi terhadap budaya mereka. Setuju atau tidak itulah identiti mereka selaku bangsa terpilih. Adakah perasaan yang sama wujud di dalam hati kita orang Muslim, yang sudah pun disebut sebagai ummah yang terbaik oleh Allah SWT di dalam Al-Quran? Walhal perintah dan amalan kita ada asas rujukannya, cara menunaikannya, kepentingannya serta kelebihannya; bukan berdasarkan sentimen ethnocentric?

Wednesday 13 July 2011

Cerita blog ini

Sejak awal bulan Jun lagi saya sibuk dengan pelbagai benda, termasuk menziarahi beberapa tempat yang sudah lama saya tidak ziarahi, seperti Tanjung Tokong, kampung nenek dan moyang saudara saya. Dan projek-projek yang sudah lama tertangguh, menyebabkan tumpuan saya kepada blog ini menurun.

Saya akui saya bukan blogger tegar. Saya masih mampu hidup tanpa mengupdate blog saya setiap jam hari. Apa yang penting bagi saya ialah satu tempat untuk menulis.

Ketika saya memulakan blog ini pada tahun 2003 atau 2004 (saya kurang pasti kerana ada entri awalan yang sudah didelete), saya lebih berminat untuk menyertai dan menyelami fenomena blogging yang baru masih berkembang pada waktu itu. Dengan bantuan seorang rakan sekolah dan blogger, ieka, saya membuka blog ini dengan nama "Awkward Living with Rollie." Tajuk itu ada maksud yang tersirat. Ketika itu saya masih tercari-cari arah tuju hidup dan baru sahaja tamat belajar. Walaupun saya lulusan dalam bidang komputer, saya agak lemah dalam kemahiran teknikal seperti pengaturcaraan dan pengiraan. Kerjaya di bidang teknikal tidak begitu menggamit minat saya.

Blog ini merupakan projek sampingan saya, tempat saya melarikan diri seketika. Dengan sokongan blogger lain seperti iena, mudin dan rakan-rakan blogger dan pembaca, saya terus menulis. Sedar-sedar, blog ini sudah melepasi usia lima tahun, enam tahun dan seterusnya hingga sekarang.

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit penulisan saya bertambah baik, jika dibandingkan dengan masa saya mula-mula blogging. Saya percaya menulis blog adalah satu cara yang untuk meningkatkan kemahiran menulis. Saya sentiasa memberi galakan kepada kawan-kawan saya yang ingin membuka blog mereka sendiri.

Dari awal lagi saya sengaja meninggalkan ejaan kontot dan cuba untuk menepati tatabahasa sebaik mungkin. Keputusan ini secara tidak lansung menajamkan lagi kemahiran editing saya. Saya sekarang lebih teliti terhadap hasil kerja saya yang melibatkan penulisan.

Saya turut berpegang kepada nasihat Anne Lamott, penulis Bird by Bird, iaitu berkenaan "shitty first drafts." Selalunya entri saya akan diedit berkali-kali sebelum dipublish. Mungkin ada melihat ini sebagai satu bentuk self-censorship atau blogging yang tidak authentic. Bukankah blogging sepatutnya datang dari hati? Jujur sejujur-jujurnya?

Memang. Dan memang, ada banyak cara untuk blogging. Ada orang blogging untuk berkongsi pengalaman dan perasaan dengan orang lain. Dan orang menggunakannya sebagai satu wadah untuk ekspresi diri, siap dengan galeri foto dan portfolio karya.

Tentunya saya tidak boleh sama sekali mengatakan yang cara saya blogging adalah cara yang sepatutnya. Terpulang kepada empunya blogger masing-masing.

Satu perkara lagi, ketika mula-mula dahulu, saya menjadikan blog sebagai projek eksperimen HTML dan CSS. Saya mengedit template Blogger.com dan menjadikannya unik, dan sejak dulu lagi saya sukakan gaya minimalis yang kini dipopularkan oleh Apple melalui desain iPhone dan iPad. Satu soalan yang sering saya dapat ialah, "Kenapa blog ini tidak berwarna-warni?"

Sudah beberapa kali saya menukar template blogger ini, dan yang terbaru adalah beberapa hari lepas. Namun akhirnya saya membuat keputusan untuk terus menggunakan template yang sekarang, The Morning After. Desainnnya ringkas dan kemas serta tidak terlalu padat. Dan paling penting, rupanya yang minimalis.

Terima kasih yang tidak terhingga, pembaca dan blogger sekalian, kerana sudi berkunjung, khasnya buat afida yang menjenguk dan bertanya khabar setelah lama saya tidak blogging dan menjadi follower pertama blog ini. Mohon maaf kepada semua jika ada terlanjur atau tersilap. Saya orang tua baru belajar.

Izinkan saya untuk berkongsi semula sebuah entri berbentuk puisi dari 2005 bertajuk "No updates? Why?"
Are you
Too busy, to sit down and write something?
Too lazy, to think of something to write?
Too hungry, to even think clearly?
Too occupied, to even remember that you own a blog?
Too sad, from hearing the depressing news about the world around us?
Too stressed out, from the tremendous pressures of modern living?
Too tired, from running away from all your responsibilities?
Too guilt-ridden, from the thought of taking some time of your busy day to update your blog?

Or are you
Too scared, to face the readers who never really exist?

Monday 11 July 2011

The Story of the Qur'an

Sumber: Wiley
Saya keberatan untuk memulangkan buku ini ke perpustakaan usai membacanya. Saya bimbang kalau saya membacanya secara terburu-buru lalu terlepas isi-isinya yang penting.

Niat asal saya membaca buku ini adalah untuk mencari maklumat tentang sejarah Al-Quran. Walaupun lahir Muslim, pengetahuan saya mengenai sejarah Al-Quran masih kelam. Misalnya, bagaimana ayat-ayat Al-Quran yang dahulunya tersimpan di dalam ingatan para Sahabat RAHum berjaya dihimpunkan dan dibukukan?

Keseluruhan proses mengumpulkan isi Al-Quran mengambil masa beberapa tahun, merentasi zaman beberapa Khulafah Ar-Rasyidin. Umat Islam sangat terhutang budi kepada Zaid ibnu Tsabit RA, sahabah yang menjadi jurucatat Rasulullah SAW, yang juga telah diperintahkan oleh Baginda untuk menguasai beberapa bahasa termasuklah bahasa orang Yahudi ketika itu, memandangkan betapa penting dan strategik peranan bahasa dalam usaha dakwah. Zaid dan sahabah lain RAHum telah menulis semula hafalan Al-Quran dan mencantumkan lembaran-lembaran ayat suci Al-Quran dari pelbagai sumber, menghasilkan naskhah Al-Quran yang kita semua baca hari ini.

Ini sebahagian kecil isi The Story of the Qur'an, sebuah kajian akademik oleh Ingrid Mattson. Beliau merupakan seorang Professor di Macdonald Center for Islamic Studies and Christian-Muslim Relations, Hartford Seminary. Walaupun buku ini sebuah bersifat akademik, gaya penulisannya begitu mengasyikkan. Jarang sekali saya berjumpa dengan kajian yang bersifat tinggi (senarai rujukan yang panjang serta analisis yang luas dan mendalam) yang membuatkan saya rasa ingin terus menerus membaca dan berasa sayang untuk berhenti, malah berasa berat untuk memulangkannya. Prof. Dr. Mattson mengupas Al-Quran dari pelbagai aspek meliputi ertinya kepada umat Islam, sejarahnya, penafsirannya, dan peranannya di dalam lingkung hidup Muslimin.

Ada terdetik di hati saya, adakah Prof. Dr. Mattson seorang muslimah? Atau adakah beliau seorang lagi ahli akademik yang mengagumi Islam tetapi belum memeluk Islam?

Jawapannya, ya. Beliau saudara saya dan kita semua orang Islam. Semoga Allah mengganjari beliau atas penulisan yang amat bernilai ini, amin.

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan