Pages

Sunday 12 August 2012

Penawar Duka Pengubat Sengsara

Sumber: Karya Bestari

Allah Maha Hebat. Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Pengabul segala hasrat.

Sebelum ini saya sedikit mengomel tentang kepupusan peluang saya untuk membaca buku yang bukan untuk tujuan kerja. Hati saya meronta-ronta mencari ruang senggang. Bukannya topik bacaan untuk kerja saya ini membosankan, malah saya sedar signifikasinya. Cuma saya sudah menyusun rancangan membaca saya sendiri, dan kerana kerja rancangan ini sudah tergendala.

Ramadhan ini saya dihadiahkan olehNya dengan pengajaran-pengajaran yang penuh makna. Satu insiden ini juga saya anggap sebagai satu pengajaran. Dua hari yang lepas saya ke kedai cuci kereta untuk membersihkan kereta yang berselimut debu. Bukan setakat debu malah terpalit kotoran lain dari pelbagai sumber. Hatta, cadang sang pakar pencuci kereta, kereta saya ini juga perlukan polish. Proses polish mengambil masa lebih daripada sejam. Ketika itu buku ini ada di dalam beg. Maha Suci Allah, peluang yang saya cari muncul tanpa diduga. Saya duduk diam di tempat menunggu. Hujung mata lembab dan tekak saya mengeras. Keajaiban Allah telah menyinggahi hidup saya.

Bonus ini saya gunakan untuk menghadam mutiara ilmu dan kerohanian daripada Tuan Ustaz Dr Asri. Penawar Duka Pengubat Sengsara mengfokuskan aspek rohani dan akidah, berbeza daripada buku-buku beliau yang lain yang ada menyentuh tentang aspek seperti kemasyarakatan, siasah dan sejarah. Puisi-puisi kerohanian Ustaz Dr Asri yang menutup dan membuka bab-bab buku ini meniupkan rasa syahdu ke dalam hati pembaca termasuklah pembaca yang berhati kematu seperti saya.

Buku ini menjawab beberapa persoalan yang sekian lama berlegar di fikiran saya, seperti pandangan Islam tentang Bonda kita Hawa dalam peristiwa pengusiran beliau dan Ayahanda Nabi Adam A.S. dari syurga. Al-Quran merakamkan peristiwa dengan meletakkan tanggungjawab ke atas kedua-dua mereka. Tidak seperti agama lain, Islam tidak menyalahkan Bonda Hawa kerana menyebabkan manusia dihalau dari syurga atau menganggap kaum wanita sebagai bahana. Yang penting untuk kita pegang ialah taubat Ayahanada dan Bonda diterima oleh Allah. Kedudukan mereka tetap mulia dan berada di kalangan yang patut kita dikasihi.

Satu persoalan lagi yang mencuit minda saya ialah tentang perkataan قلب yang selalu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai hati. Terjemahan yang lebih tepat ialah seperti di dalam Bahasa Inggeris iaitu heart atau jantung. Ini lebih dekat dengan maksud قلب yang dianalogikan di dalam Al-Quran. Hati dalam bahasa Inggeris ialah liver. Menariknya, istilah heart attack tidak pula diterjemahkan kepada serangan hati tetapi serangan jantung. Begitu juga heart disease adalah penyakit jantung, bukan penyakit hati. قلب juga tidak sesuai ditulis sebagai kalbu kerana كلب dalam Bahasa Melayu ialah anjing. Oleh sebab ini saya pernah dengar cadangan agar perkataan kalbu diganti pakai dengan perkataan atma.

Tanpa saya sedar, sudah pun berlalu sejam lebih. Kereta saya tampak berkilat dan hati jantung hati saya terasa diubat. KeajaibanNya sentiasa tidak dapat diduga. Saya berazam agar doa berikut yang saya belajar dari buku ini akan menjadi kelaziman hidup saya. Jika saudara sudah pun beramal dengannya, teruskanlah. Semoga saya dapat mengikuti saudara dalam kebaikan.

“Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai).

Monday 6 August 2012

Membaca kerana kerja

Suka atau tidak, sebahagian besar kerja saya sekarang melibatkan membaca. Saya sangka sebagai seorang yang suka membaca, ini sesuatu yang mengujakan.

Sangkaan saya meleset. Bukan senang untuk membaca demi kerja. Berbeza dengan membaca demi minat. Bukan senang memaksa diri untuk membaca, apabila diri ‘rasanya’ memang suka membaca. Adakala saya rasa seolah-olah saya seorang perasan suka membaca, bukan betul-betul. A faking bibliophile.

Boleh jadi juga kerana kerja, apa yang ingin saya baca terpaksa diletak ke tepi. Adakah membaca demi kerja telah melunturkan keinginan membaca di luar kerja?

Kala Ramadhan ini saya mengajukan doa-doa termasuklah agar konflik ini akan berpenghujung. Kerana semakin lama konflik ini berlansung, semakin dungu saya rasa.
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan