Pages

Friday 18 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H dalam perspektif

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H buat semua pengunjung Muslim. Semoga ibadat kita semasa Ramadhan yang baru berlalu diterima dan menjadi asbab kita bertambah soleh dan solehah, insya-Allah.

Saya akan bertolak pulang ke kampung di utara tanahair untuk bersama dengan ibu bapa, Tok serta saudara mara lain. Harap-harap hari bahagia ini akan membawa kebahagian, dan bukan yang sebaliknya. Kepada yang bakal berjalan jauh untuk sampai ke kampung, berhati-hati ketika di perjalanan. Kepada yang beraya di KL atau di perantau dan jauh dari insan-insan tersayang kerana apa-apa sebab, janganlah bersedih kerana kalian masih bersama kami dalam ingatan. (Yang ini khas buat rakan saya yang sedang belajar di luar negara. Tabahkan hati, ya?)



Terimalah 'kad' yang semenangnya tak berapa indah ini sebagai pengganti diri. Bukannya tak mahu buat cantik-cantik cuma masa tak mengizinkan. Saya sepatutnya sekarang sibuk berkemas untuk perjalanan balik kampung. Tapi saya sempat bermain-main dengan Inkscape sekejap, mencuba beberapa teknik yang baru diketahui. Sebelum ini saya telah mencuba untuk membuat teks yang dalam perspektif tetapi tak berjaya. Rupanya tekniknya tak sesusah mana, dan hasilnya seperti di atas.

Dan tolong maafkan saya jika ada sebarang salah silap. Kalian juga saya maafkan.

Sunday 13 September 2009

Tarbiyah dan Ramadhan

Hari ini hari yang ke–23. Masa berlalu begitu cepat.

Bulan Ramadhan sering diibaratkan sebagai universiti atau madrasah atau sekolah kerana ini adalah waktu yang paling kondusif untuk kita mengislah diri kita. Sepanjang bulan ini pintu syurga dibuka seluas-luasnya,  pintu neraka ditutup, dosa-dosa diampunkan, pahala amalan dilipat gandakan, doa-doa dimakbulkan dan juga syaitan-syaitan diikat. Ramai orang menjadi ringan badan untuk beramal dan untuk bergerak ke arah kebaikkan. Alhamdulillah, masjid-masjid semakin penuh, terutamanya di hari-hari sepuluh terakhir, di mana baginda Rasullullah SAW sendiri sibuk dengan beriktikaf dan memenuhi malam dengan solat dan amalan lain. Kebaikan dan keberkatan melingkari masyarakat, dan perkara-perkara mungkar semakin menurun walaupun masih berlaku.

Semua ini kesan pentarbiyahan. Ada yang akan menjadi graduan Universiti Ramadhan yang mumtaz. Yang lain mungkin jaid jiddan dan mungkin lebih rendah pangkatnya.

Sepanjang semester ini banyak lagi kemungkaran yang saya belum dapat tinggalkan. Di waktu orang lain sedang memecut ke arah maaruf dan redha, saya masih baru sedang memanaskan enjin. Penghujung semakin dekat.

Sedikit sebanyak saya mula sedar yang keadaan saya adalah kesan pentarbiyahan yang saya lalui di luar Ramadhan. Pembimbingnya memang pakar dalam bidang masing-masing, iaitu mengajak manusia jauh dari kebaikkan dan mendekati perkara-perkara yang merosakkan. Mereka tentunya syaitan dan nafsu. Kesan tarbiyah mereka begitu meninggalkan kesan hingga saya terpaksa menggagahkan diri untuk menghadiri program-program yang dianjurkan Universiti Ramadhan. Saya jauh berbeza daripada pelajar yang lain yang, bak kata ustaz, menunggu ketibaan Ramadhan seperti mereka menunggu hari pernikahan mereka.

Semoga Allah mengasihani dan mengampuni saya, seorang pelajar corot dalam semester 1430H, Universiti Ramadhan Al-Karim. Insya-Allah baki-baki hari yang ada akan saya manfaatkan sebaik mungkin. Dan semoga kita semua berjaya lulus dengan mumtaz agar kita lebih kuat menghadapi tarbiyah luar Ramadhan dibawa oleh dua musuh kita tadi.

Thursday 10 September 2009

Perang Badar: hasil tulisan sulung Ustaz Azrul Azlan


(Sedikit promosi!)

Ustaz Azrul Azlan adalah teman belajar saya dulu masa di sekolah pengurusan. Ini buku pertama beliau, mengupas tentang peperangan yang pertama dalam sejarah Islam. Jika sebelum ini kita mendengar tentang 313 sahabat yang mulia yang menjadi ahli Badar, di akhir buku ini ada senarai nama-nama mereka.

Sila dapatkan dengan segara.

Perang Badar yang Ulung
oleh Azrul Azlan Iskandar Mirza
Penerbit: Al Azhar Media
Tahun: 2009
Halaman: 176

(Penafian: ini bukan iklan berbayar.)
Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan