Tanpa sebarang turutan, buku keempat dalam senarai ini ialah...
(Sumber: FantasticFiction) |
After Dark
Penulis: Haruki Murakami
Penerbit: Vintage
244 halaman
Membaca buku... OK, membeli buku... adalah satu... pelaburan. Dengan sejumlah masa dan wang yang kita beri, berapa banyak untung atau kelebihan yang kita akan dapat? Pernah baca buku yang mahal tetapi membosankan? Jika setakat baca kita boleh letakkan balik ke rak, tetapi kalau sudah beli?
Mungkin bukan buku itu yang membosankan. Mungkin saya sendiri tidak mampu menikmatinya, barangkali dek tumpuan yang semain menipis atau seumpamanya. Siapa tahu? Sebaiknya saya terus mencari buku yang berjaya membuatkan saya terpaku membacanya.
Pencarian saya, yang kadang kala kurang berhasil, membawa kepada buku Haruki Murakami saya yang pertama, After Dark. Beliau salah seorang penulis Jepun yang mempunyai berprofil tinggi di Barat, dan ini tidak menghairankan. Watak-watak After Dark pun makan di Denny's, mendengar lagu oleh Burt Bacharach dan menonton filem Jean-Luc Godard.
Seluruh plotnya berlaku di tempoh satu malam, dari hampir ke tengah hingga ke subuh, bermula dengan dua orang remaja yang bertemu secara tidak sengaja di Denny's. Mari, seorang gadis yang ingin menyendiri telah disapa oleh seorang pemuda, Takahashi, yang mengenalinya melalui kakak Mari, Eri. Pertemuan yang seketika tersebut bertukar menjadi satu peristiwa apabila Mari, yang tahu sedikit Bahasa Cina, diminta oleh seorang penguasaha sebuah hotel murah (love hotel) berhampiran untuk membantu mereka berkenaan satu masalah membabitkan seorang pekerja seks berketurunan Cina yang telah dibelasah oleh seorang pelanggan.
Itu bahagian yang straight forward. Bahagian yang agak berpusing-pusing sedikit ialah tentang Eri, kakak Mari yang sedang koma. Peristiwa di hotel tadi ada berkait dengan Eri secara tidak lansung, dan saya tak mampu untuk menerangkannya di sini.
Bukan kerana ia berserabut. Saya akui tarikan utama buku ini ialah gaya penceritaannya. Murakami menulisnya seperti seorang pengarah. Lihat sana, di situ ada itu ini. Sungguh tepat tetapi pada masa yang sama sungguh berkesan. Kalau penulis mungkin mereka akan bermain dengan kiasan dan sebagainya. Narasi cerita ini bagaikan lensa kamera yang fokus, kita tidak dibiarkan meneka tentang perkara yang sedang berlaku, kerana saya percaya kita lebih dipersila untuk mengupas apa yang sedang berlaku. Jika kita sabar.
Kalau ditanya tentang apakah moral cerita ini, jawapan saya janganlah suka melepak hingga lewat malam kerana peristiwa pelik mungkin menimpa kita. Peristiwa pelik yang apabila diceritakan semula akan membayangkan seolah-olah kita ini kurang dari segi kesiuman atau dari segi moral. Lebih baik kalau kita mengisi masa ini dengan bermunajat kepadaNya.