Pages

Sunday 23 August 2009

The Fugitive


The Fugitive (Perburuan) adalah di antara novel terawal Allahyarham Pramoedya Ananta Toer. Kisahnya berlaku pada satu masa yang penting dalam sejarah Indonesia, iaitu detk-detik terakhir penguasaan kerajaan Jepun ke atas kawasan-kawasan jajahannya.

Seperti rakyat Tanah Melayu, rakyat Indonesia juga telah termakan dengan janji "Asia untuk Asia" yang dibawa oleh Jepun. Pada mulanya kehadiran tentera Jepun dilihat sebagai bantuan yang dinanti-nanti selama ini dalam usaha untuk menumbangkan pentadbiran British dan Belanda. Tetapi kita pun tahu apa yang berlaku selepas itu. Walaupun British dan Belanda berjaya dihalau, keadaan tidak bertukar seperti yang dijangka. Apa yang berlaku bolehlah diibaratkan sebagai lepas dari mulut harimau masuk ke mulut buaya. Jika rakyat dahulunya ditindas secara halus oleh penjajah Barat, penjajah Timur pula lebih suka pendekatan secara terang-terang. Rakyat diherdik supaya tunduk dan patuh. Kesalahan dihukum dengan keras, seksaan atau hukuman pancung bagi yang berat.

Kezaliman ini telah membawa kepada kebangkitan gerakan anti-Jepun. Salah satu daripada gerakan ini dipimpin oleh Hardo. Perancangan mereka untuk berhadapan dengan tentera Jepun gagal di saat-saat apabila salah seorang daripada pemimpin kanan gerakan ini belot. Hardo dan lain-lain diberkas, tetapi mereka berjaya melepaskan diri. Untuk mengelak daripada dikesan, Hardo dan rakan-rakannya menyamar sebagai pengemis.

Novel ini terbahagi kepada empat bab. Setiap bab adalah mengenai pertemuan Hardo dan insan-insan penting dalam hidupnya. Orang yang paling dicari-cari oleh Hardo ialah tunangnya Ningsih. Tetapi sebelum itu Hardo terpaksa bersemuka dengan orang lain termasuk bapanya sendiri dan mereka yang pernah mengkhianatinya.

Jika kita cuba untuk menyelami pemikiran rakyat ketika itu, kita akan sedar yang mereka tidak lansung menjangka yang Jepun boleh dikalahkan. Tiada siapa yang menyangka bahawa kerajaan Jepun akan menyerah kalah. Ini berlaku akibat pengeboman bandar Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika.

Pemerintahan Jepun telah membawa kejutan kepada rakyat sekurang-kurangnya dua kali. Kali pertama apabila mereka yang mendakwa diri mereka sebagai penyelamat kepada rakyat berubah menjadi penjajah yang baru. Kali kedua pula apabila mereka yang selama ini sebuah kerajaan agung akhirnya terpaksa melutut di hadapan Barat.

6 comments:

mudin001 said...

Kesimpulan yang menarik dari sebuah reviu yang baik. Ini antara buku yang masih saya cari-cari untuk ditambah koleksi.

Antara buku ini dengan Rumah Kaca, yang mana lebih baik pada penilaian kamu?

p/s: selamat berpuasa dan teruskan membaca. :)

r.o.l. said...

Saya masukkan buku ini dan Rumah Kaca dalam kategori sama, buku yang saya habiskan dengan rasa puas. Bezanya mungkin dari segi panjang, Peburuan jauh lebih pendek berbanding novel dalam tetralogi Buru, termasuk Rumah Kaca. Dan ini adalah terjemahan. Saya lebih suka terjemahan oleh Max Lane untuk tetralogi Buru kerana beliau mengekalkan kebanyakkan istilah tempatan.

p/s: Terima kasih! :)

dzul said...

Pada era tersebut secara amnya rakyat Jepun percaya yang mereka merupakan bangsa istimewa macam Nazi Jerman dengan kepercayaan berkenaan bangsa Aryannya. Mungkin ini salah satu sebab mereka terang-terang menindas bangsa lain. Peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki mungkin mengubah sedikit persepsi mereka ini. Agaknya sebab itulah Amerika dipandang tinggi oleh bangsa Jepun.

r.o.l. said...

dzul, apa khabar?

Pandangan yang menarik. Agaknya inilah persamaan semua kaum yang menjajah kaum lain, mereka menyangka kaum mereka jauh lebih mulia. Sekurang-kurangnya Jepun mendapat pengajaran, dan mereka berubah menjadi sebuah yang lebih bersifat berkecuali. Bagaimana dengan penjajah zaman kini, seperti Israel?

dzul said...

Kalau Jepun dengan konsep "divine nation"-nya, Israel pula dengan konsep bangsa terpilih, aku rasa lebih kurang saja. Tanamkan sifat rasa istimewa dalam sekumpulan manusia dan manipulasikannya untuk menggerakkan mereka untuk jenayah perang. Bila sifat rasa istimewa jenis ini ada dalam diri seseorang maka minda mereka tak akan ada rasa bersalah bila bunuh orang lain yang bukan dari kumpulan mereka.

r.o.l. said...

Pandangan yang menarik, dzul, saya sendiri tak terfikir sejauh itu. Teringat saya kepada Philip Zimbardo dan eksperimen penjara Stanford beliau, yang mana beliau berhujah manusia tak perlu diajar untuk jadi jahat, beri mereka kekuasaan atau kelebihan atas orang lain dan mereka akan menzalim. Di sini kita dapat lihat kenapa Rasullullah SAW menekankan sifat-sifat seperti ikhlas dan tawaduk dalam berjihad, jika tidak orang Islam akan menjadi penzalim, bukannya pelindung.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan