Pages

Sunday 13 September 2009

Tarbiyah dan Ramadhan

Hari ini hari yang ke–23. Masa berlalu begitu cepat.

Bulan Ramadhan sering diibaratkan sebagai universiti atau madrasah atau sekolah kerana ini adalah waktu yang paling kondusif untuk kita mengislah diri kita. Sepanjang bulan ini pintu syurga dibuka seluas-luasnya,  pintu neraka ditutup, dosa-dosa diampunkan, pahala amalan dilipat gandakan, doa-doa dimakbulkan dan juga syaitan-syaitan diikat. Ramai orang menjadi ringan badan untuk beramal dan untuk bergerak ke arah kebaikkan. Alhamdulillah, masjid-masjid semakin penuh, terutamanya di hari-hari sepuluh terakhir, di mana baginda Rasullullah SAW sendiri sibuk dengan beriktikaf dan memenuhi malam dengan solat dan amalan lain. Kebaikan dan keberkatan melingkari masyarakat, dan perkara-perkara mungkar semakin menurun walaupun masih berlaku.

Semua ini kesan pentarbiyahan. Ada yang akan menjadi graduan Universiti Ramadhan yang mumtaz. Yang lain mungkin jaid jiddan dan mungkin lebih rendah pangkatnya.

Sepanjang semester ini banyak lagi kemungkaran yang saya belum dapat tinggalkan. Di waktu orang lain sedang memecut ke arah maaruf dan redha, saya masih baru sedang memanaskan enjin. Penghujung semakin dekat.

Sedikit sebanyak saya mula sedar yang keadaan saya adalah kesan pentarbiyahan yang saya lalui di luar Ramadhan. Pembimbingnya memang pakar dalam bidang masing-masing, iaitu mengajak manusia jauh dari kebaikkan dan mendekati perkara-perkara yang merosakkan. Mereka tentunya syaitan dan nafsu. Kesan tarbiyah mereka begitu meninggalkan kesan hingga saya terpaksa menggagahkan diri untuk menghadiri program-program yang dianjurkan Universiti Ramadhan. Saya jauh berbeza daripada pelajar yang lain yang, bak kata ustaz, menunggu ketibaan Ramadhan seperti mereka menunggu hari pernikahan mereka.

Semoga Allah mengasihani dan mengampuni saya, seorang pelajar corot dalam semester 1430H, Universiti Ramadhan Al-Karim. Insya-Allah baki-baki hari yang ada akan saya manfaatkan sebaik mungkin. Dan semoga kita semua berjaya lulus dengan mumtaz agar kita lebih kuat menghadapi tarbiyah luar Ramadhan dibawa oleh dua musuh kita tadi.

1 comments:

mudin001 said...

:)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan