Pages

Saturday 7 November 2009

Untukmu Umat



Agama itu nasihat. Manusia itu pelupa. Logik mudahnya, manusia perlukan agama agar tidak terlupa. Lupa yang bagaimana? Bukan lupa di mana letaknya kunci kereta atau tarikh ulang tahun perkahwinan. Lupa yang penting-penting seperti tanggungjawabnya sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasululllah SAW. Lupa kunci kereta boleh dicari atau diganti, lupa tarikh ulang tahun perkahwinan boleh dipujuk dan disogok. Lupa tanggungjawab jawabnya beratlah soalan-soalan yang menanti di Hari Kemudian.

Sebagai anggota spesis yang amat pelupa ini, saya banyak mendapat banyak ingatan setelah membaca Untukmu Umat, oleh Ustaz Zaharudin Abd Rahman.Ustaz Zaharuddin adalah salah seorang pakar rujuk dalam bidang kewangan Islam yang aktif mengajar serta menulis buku dan melalui laman web beliau.

Buku ini banyak menyedarkan saya tentang kehalusan dan ketinggian Islam sama ada dari segi maksudnya serta pelaksanaannya. Perkara yang disentuh termasuk bersangka baik, soal aurat wanita, sikap seorang pelajar dan pekerja Mukmin, perbezaan pendapat di kalangan ulamak dan kesedaran kita terhadap hak-hak Allah dan Rasul. Isinya pelbagai, sesuai untuk bacaan umum dan pelbagai peringkat umur. Seperti yang Ustaz jelaskan, buku ini adalah kompilasi artikel beliau yang telah pun diterbitkan di laman web zaharuddin.net.

Tulisan Ustaz Zaharuddin banyak menjawab persoalan yang menghantui saya selama ini. Seperti bersangka baik, bilakah kita patut bersangka baik dan bilakah pula kita patut ada rasa syak? Apabila prasangka kita membabitkan tindakan seseorang, sangka baik terjatuh antara dua hukum. Harus apabila kita dalam keadaan di mana kita perlu berhati-hati seperti ketika memandu di belakang bas, dan kita sangka yang bas tersebut mungkin akan membrek secara mengejut. Hukumnya pula haram sekiranya prasangka kita datang dari rasa dengki, benci dan niat buruk untuk menjatuhkan seseorang.

Ubatnya? Daripada hadis riwayat Tabrani (no.3227, 3/228),
"Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku: menganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk." Lalu seorang lelaki bertanya, "Apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah?" Jawab Nabi, "Jika kamu datang perasaan hasad dengki, beristighfarlah kamu kepada Allah. Apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial berlaku, abaikan dan jangan endahkannya."

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan