Pages

Tuesday 26 January 2010

Senarai lima buku yang ter... 2009 (3 daripada 5)

Senarai 5 buku ter... Ter-apa? Terbaik? Terseronok? Tersedih? Terpedaya? Saya tak pasti. Apa yang boleh saya katakan, lima buku yang saya senaraikan ini merupakan bacaan yang telah paling banyak membuatkan saya, "Hmmm..."

Buku ketiga di dalam senarai yang tidak berturutan ini ialah...




Disgrace
Penulis: J. M. Coetzee
Penerbit: Penguin
224 halaman

Semua ingin bahagia, termasuk David Lurie, pensyarah. Soalnya, adakah kita akan bahagia jika dapat semua yang kita ingini? Bagi Lurie, selepas dua kali gagal dalam berumah tangga, hanya dua benda yang menjadi keinginannya: puisi dan nafsu syahwat. Keinginan pertama diisi dengan mengajar di Cape Technical University. Tetapi keinginan keduanya yang menjadi masalah, dan juga membawa masalah, kepada dirinya.

Selepas dipecat kerana menjalinkan hubungan intim dengan salah seorang pelajarnya, David terpaksa tinggal dengan anak perempuannya Lucy yang kini menetap di sebuah ladang. Dia mahu memulakan hidup baru dengan tenang, membenamkan kesilapan yang merobek kewibawaannya. Namun, sebelum tenang datangnya ribut. Ladang milik anaknya dikejutkan oleh serangan angkara tiga lelaki kulit hitam. David yang sudah separa abad tidak mampu selain daripada melihat para penjahat menyerangnya dan darah dagingnya.

Bukan senang membaca buku ini. Jika tidak kerana gaya penulisan Coetzee yang memukau, mungkin saya tidak akan menghabiskannya. Isu-isu yang dibawa dalam Disgrace adalah sukar untuk dihadam, apatah lagi untuk dijawab.

Cerita ini mengambil tempat di Afrika Selatan, negara yang pernah menjalankan dasar apartheid. Walaupun sudah tidak lagi dijalankan, kesannya terhadap rakyat negara ini nampaknya masih terasa. David dan Lucy adalah warga kulit putih. Di kawasan ladang, mereka adalah minoriti, dengan itu kurang berpengaruh. Mungkinkah serangan tadi sesuatu yang dirancang?

Tragedi menjadikan David seorang lelaki dan bapa yang lebih berperanan. Satu cerminan buat kita kalau mana kita tersilap. Beranikah kita menghulur maaf? Menerima hukuman yang ditentukan oleh sistem dunia ini atau yang datang dari Tuhan, walau bagaimana pahit dan pedih?

Saya belum tentu mampu.

2 comments:

mudin001 said...

Ulasan yang baik. Saya sedang membuat nota minda, untuk mencari buku ini dalam kunjungan akan datang ke toko buku. :)

r.o.l. said...

Ramai yang mengagumi buku Coetzee yang lebih awal iaitu Waiting for the Barbarians. Pak Samad Said pernah menulis tentangnya di dalam koleksi esei beliau, Ilham di Tepi Tasik.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan