Pages

Saturday 24 July 2010

Kuliah Closer Than a Garment di Youtube

Buku Closer Than a Garment adalah rujukan yang baik bagi mereka yang sedang dalam proses membina rumah tangga. Saya belum berkesempatan untuk membeleknya atau pun membacanya, cuma mampu mengikuti kuliah mengenainya di Youtube.



Saya mendapat beberapa pengajaran daripada kuliah ini. Persepsi remaja yang sedang mencari jodoh perlu diperbetulkan agar mereka lebih realistik dalam usaha mereka. Di sini saya ingin memetik tiga poin penting yang saya dapat daripada kuliah Closer Than a Garment. Tentunya banyak lagi poin-poin penting yang terkandung di dalamnya, cuma saya pilih yang tiga ini untuk kali ini, buat renungan dan ingatan kita semua, khasnya diri saya yang masih belajar-belajar.

#1 Tiada salahnya untuk menyatakan keinginan untuk berkahwin kepada ahli keluarga, sahabat serta saudara seIslam

Ada orang mengeluh, "Kenapa tiada orang yang ada hati dengan saya?" Keluhan ini lahir daripada tanggapan yang sempit tentang jodoh. Walhal jodoh datang dalam banyak cara.

Saya teringat kepada satu kenyataan yang saya baca beberapa tahun yang lalu tentang jodoh yang diatur orang tengah, dan saya anggap kenyataan tersebut adalah sangat bernas, yang berbunyi, "An arranged marriage is not a forced marriage." Orang tengah yang merupakan ahli keluarga atau sahabat atau saudara seIslam boleh mencadangkan calon yang sesuai, tetapi mereka tidak boleh memaksa. Paksaan hanya akan memburukkan rumah tangga yang bakal dibina, dan dibimbangi kesan yang lebih negatif akan menular kepada anak yang bakal lahir.

Saya ada seorang kawan, seorang ustaz muda, yang dengan macho sekali mengiyhtiharkan dalam salah satu kuliah beliau, "Ana sedang mencari calon isteri." Tidak lama kemudian meja beliau ditindani berpucuk-pucuk biodata calon yang menawarkan diri. Sekarang beliau seorang suami dan seorang bapa yang aktif membantu orang lain mencari jodoh.

Jadi kepada sesiapa yang sedang mencari jodoh, janganlah berdiam diri. Maklumkan niat murni saudara kepada orang terdekat atau yang dipercayai tanpa perlu rasa malu. Lagipun, bukankah berumah tangga itu ibadah?

#2 Berumah tangga atau menahan diri, hanya dua ini sahaja pilihannya

Naluri untuk berpasangan adalah fitrah dan ia semakin kuat ketika zaman remaja. Pendirian Islam dalam perkara adalah jelas: berkahwinlah jika mampu dan kawallah diri melalui berpuasa bagi yang tidak.

Bercouple? Boleh, tetapi kena kahwin dahulu.

Pernah sekali semasa saya kecil dan tinggal di Pantai Timur, berlaku kekecohan di hadapan rumah saya. Ada beberapa berkumpul kerana tidak puas hati dengan apa yang baru mereka lihat. Rupanya tidak lama sebelum itu ada sepasang pelancong yang berciuman di tepi jalan (cium, yakni mulut sama mulut). Saya hairan lalu bertanya kepada ibu saya, "Adakah berciuman itu salah?" Ibu saya dengan bijak menjelaskan, "Boleh, tetapi antara suami isteri sahaja."

(Tambahan: dan tak perlu tayang kepada orang lain.)

#3 Jangan lupa tentang bab tentang menyara isteri dan keluarga

Ini khas buat bakal-bakal suami. Benar, rezeki adalah jaminan Allah. Namun, perancangan jangan dilupa. Menjadi suami bererti kitalah yang perlu menunaikan nafkah isteri. Sila rujuk huraian Ustaz Hasrizal mengenai bab ini dalam Nikah, Nafkah, Mukjizat dan Karamah!

Juga jangan pandang ringan perasaan isteri apabila terpaksa tinggal dengan ibu bapa mertua. Jika isteri tidak bersedia, elok usahakan untuk mendapat kediaman sendiri.


Pokoknya usaha. Usaha mencari jodoh yang soleh/solehah, menyiapkan diri untuk menjadi calon yang soleh/solehah dan menyediakan tapak asas untuk pembinaan sebuah keluarga. Usaha dan terus usaha.

Wallahua'lam. Saya bukan ustaz, hanya murid yang masih belajar-belajar.

[ Closer Than A Garment By Ustadh Abu Talha Part 1–9 ]

4 comments:

Afida Anuar said...

Nice sharing r.o.l!!

bab arranged marriage tu, saya dah ada 3 pengalaman ...kut..err. Semua famili jauh yang aturkan. Tapi belum sempat kenal atau berjumpa pun... entah macam mana...tiada jodoh kami-kami nampaknya...

Bab jodoh ni memang serah 100% kepada dia, tapi dalam masa yang sama perlu berusaha lagi! insyaAllah... yakin Dia akan berikan jodoh yang terbaik untuk kita....waAllahualam..

PS: lambat pula streaming youtube ni;)

r.o.l. said...

Sebenarnya ada satu ayat yang saya tertinggal:

"Entri ini ditujukan khas kepada ADUN Pulau Rusa dan golongan yang sewaktu dengan beliau." :-)

Sabar dan berusaha, afida. Allah selalu menguji hambaNya sebelum memberinya sesuatu kebaikan.

Afida Anuar said...

Dituju KHAS tu!!..ehehehe..

iyer..terima kasih ROL!
Saya tau tu..sebab saya rasa ujian yang satu ni terkandung begitu banyak rahmat..yang orang tak tahu. Yang orang mungkin nampak kesusahan je..

InsyaAllah, bukankah ujian itu tanda kasihNya pada kita?kan?

r.o.l. said...

Benar.

Mungkin Allah memanjangkan perjalanan kita berbanding orang lain kerana Dia ingin mematangkan kita. Yang penting keredhaan dan kejayaan bukan terletak pada seseorang itu bujang atau berkahwin, tetapi sejauh dia menunaikan perintah-perintah Alah dan Sunnah Rasulullah SAW dalam hidupnya.

Dan pesan orang, untuk berkahwin itu senang, untuk kekal berkahwin itu yang sukar. Wallahua'lam.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan