Pages

Friday, 3 September 2010

Aisyah Ummul Mukminin: Keanggunan Sejati


Rasulullah S.A.W. mengahwini Aisyah R.A. ketika umur beliau enam tahun, iaitu tiga tahun sebelum Hijrah. Ada pendapat yang mengatakan perkahwinan tersebut berlaku ketika beliau berusia tujuh tahun. Fakta ini sering dijaja oleh pihak yang ingin memburuk-burukkan Islam dengan tujuan untuk menyerang peribadi serta kredibiliti Baginda S.A.W.

Hujah ini sebenarnya lemah jika dilihat dari skop yang lebih meluas. Mereka yang ingin menggambarkan Ummul Mukmin Aisyah R.A. sebagai seorang child bride yang dipaksa untuk berkahwin. Hakikatnya, Aisyah R.A. bukan setakat isteri Baginda S.A.W. Beliau adalah seorang yang banyak berjasa kepada umat Islam termasuklah pada zaman selepas kewafatan Rasululllah S.A.W. Di dalam ilmu fikah, Aisyah R.A. tergolong di antara empat orang yang paling dirujuk oleh penduduk Madinah selepas ramai sahabat meninggalkan kota tersebut untuk menyebarkan Islam ke kawasan-kawasan luar. Tiga nama lagi adalah Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan Abu Hurairah R.A. Aisyah R.A. juga adalah periwayat ke-empat paling banyak meriwayatkan hadis selepas Abu Hurairah, Abdullah bin Umar dan Anas bin Malik R.A.

Sekiranya hujah tadi diajukan kepada saya, mungkin saya tidak mampu untuk menjawab dengan baik kerana saya sendiri kurang mengenali Ummul Mukminin Aisyah R.A. Menerusi buku setebal 415 halaman ini saya mula mendapat gambaran tentang beliau, dari segi keperibadian, sejarah hidup dan sumbangan terhadap perkembangan ilmu-ilmu Islam.

Aisyah R.A. mempunyai kecerdasan yang dianggap luar biasa. Hal ini diakui oleh ramai Sahabat serta ulamak termasuklah Abu Musa Asy'ari dan Tirmizi. Malah dalam banyak keadaan beliaulah yang bertanggungjawab untuk memperbetulkan salah faham orang lain tentang tafsiran Al-Quran atau maksud hadis Baginda S.A.W., seperti sangkaan sesetengah orang bahawa Rasulullah S.A.W. pernah melihat Allah S.W.T. Beliau membacakan ayat 103 dari Surah al-An'aam dan ayat 15 dari Asy-Syura untuk memperbetulkan sangkaan tersebut.

Buku ini banyak menceritakan tentang perbezaan di antara Aisyah R.A. dengan para Sahabat R.A. dalam permasalahan berkenaan talak, solat witir, ibadah haji dan sebagainya. Menurut penulis, pendapat Aisyah R.A. sering diutamakan berbanding pendapat-pendapat lain kerana pendekatan yang beliau guna pakai. Beliau menggabungkan kaedah tekstual dan rasional untuk mencapai hukum tentang sesuatu permasalahan. Kaedah tekstual yang digunakan oleh Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah R.A. mengutamakan Al-Quran dan hadis sebagai rujukan, manakala keadah rasional yang diambil oleh Abdullah bin Abbad turut memasukkan qiyas selain merujuk kepada Al-Quran dan hadis.

Menjadi isteri Rasulullah S.A.W. memberikan kelebihan kepada Aisyah R.A. untuk mendampingi Baginda secara intim serta mendapat pendidikan dan penjelasan secara terus dari Baginda. Hubungan istimewa ini membolehkan kita mempelajari bagaimana Baginda S.A.W. mengendalikan hal rumah tangga sehari-hari. Antaranya melalui kisah Aisyah R.A. yang cemburu dengan Ummul Mukminin Shafiyah R.A. yang pandai memasak. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Nasa'i dan Ahmad, beliau pernah memecahkan pecah bekas yang berisi hidangan yang telah Shafiyah R.A. masak. Baginda S.A.W. selaku suami menunjukkan teladan yang baik dengan tidak memarahi atau menyebelahi mana-mana isteri serta membalas hidangan tadi dengan hidangan lain dari rumah Aisyah R.A. Tindakan ini berjaya meneutralkan sebarang konflik yang mungkin tercetus di antara Aisyah dan Shafiyah R.A. Hadis ini juga merakamkan pengakuan Aisyah mengenai perasaan cemburu yang melandanya serta pujiannya terhadap kelebihan Shafiyah dalam memasak. Perasaan cemburu di antara isteri-isteri yang bermadu adalah lumrah, namun kesanggupan Aisyah R.A. untuk mengiktiraf kelebihan Shafiyah R.A. merupakan tanda ketinggian akhlak yang luar biasa.

Terlalu banyak keistimewaan Aisyah R.A. yang dinukil penulis, termasuklah yang mula saya sedari ketika saya menulis tentang buku ini. Harapnya cinta saya dan kita semua kepada Ummul Mukminin Aisyah dan Ummuhatul Mukminin R.A. sekalian semakin bertambah semakin kita mengenali mereka.


(Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon maaf atas apa-apa yang tersilap zahir mahu pun batin.)

6 comments:

Afida Anuar said...

Salam ROL, buku Aisyah Ummul Mukminin ni saya hadiahkan kepada sahabat saya juga merangkap teman serumah sewaktu hari jadi beliau... ingat boleh share baca. Sekali dia pula yang berpindah ke Singapore. Nampaknya saya kene cari untuk dijadikan koleksi saya...

Salam aidilfitri juga buat ROL sekeluarga... ampun maaf jika ada tersilap coret di sini..

hati2 memandu pulang ke utara..

r.o.l. said...

Salam, afida, terima kasih banyak-banyak kerana selalu berkunjung walaupun saya sudah lama tak update. Mohon maaf atas segala silap sengaja dan tak sengaja, jelas dan tersembunyi. Semoga selamat sampai balik Tganu untuk bersama keluarga.

Buku ini pun saya hadiahkan kepada orang lain, kemudian saya pinjam dari beliau. :-)

ieka said...

letak nama anak nama timang2an Aisyah.. moga2 cerdas otak dia seterang hati Aisyah juga .. Amiin :)

r.o.l. said...

Amin, ieka, ummu aisyah :-)

kisah islami said...

kisah penuh inspirasi

Hasnah Daud said...

Subhanallah, indahnya nukilan saudara. Aisyah RA memang seorang wanita hebat. Nabi Muhammad saw meletakkan wanita di tempat tertinggi dengan menjadikan Aisyah RA duta beliau bagi semua wanita di dunia ini, dan orang rujukan kepada para sahabat ketika hayatnya.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan