Pages

Thursday 11 November 2010

Life of Riley: cerita di sebalik kisah 'Spider-man yang seorang lagi’

Pernah baca blook, atau buku dalam bentuk blog? Mungkin antara blook yang paling terkenal adalah Diary of a Wimpy Kid yang sudah pun menghasilkan empat buah buku. Kelebihan blook adalah harganya yang percuma. Ada sasaran jumlah buku tahunan yang perlu dicapai? Saya sangat-sangat mengesyorkan blook.

Kali ini saya ingin menulis tentang sebuah blook bertajuk Life of Riley (LoR).

Sedikit mukadimah. LoR adalah koleksi artikel sepanjang 35 bahagian oleh Andrew Goletz bersama Glenn Greenberg, bekas penulis dan editor pembantu yang pernah bekerja di Marvel Comics dan pernah terlibat dalam penerbitan komik-komik (ya, komik-komik) Spider-man. Seorang superhero popular boleh ada beberapa komik tentangnya setiap bulan. Biasalah, bisnes.


Subjek blook ini ialah seorang watak bernama Ben Riley, yang juga dikenali sebagai Scarlet Spider, yakni 'Spider-man yang seorang lagi.'

Berbanding superhero lain seperti Batman (jutawan), Superman (makhluk asing) dan Iron Man (juga jutawan), Spider-man adalah superhero yang paling hampir kepada normal. Walaupun dia ada super power akibat digigit oleh seekor labah-labah radioaktif, Peter Parker adalah seorang manusia lelaki biasa yang makan gaji, mempunyai isteri dan perlu melunaskan ansuran pinjaman rumah kepada bank setiap bulan.

Sebenarnya ini satu masalah dari segi penulisan komik. Apabila jalan cerita komik mula mendekati realiti, banyak kerumitan akan timbul. Misalnya jika seorang watak superhero itu melahirkan anak, anak itu akan perlu membesar. Ini akan "mengusiakan" (istilah rekaan saya) kerana pembaca mula meneka-neka usia super hero itu. Selain itu masalah seperti anak dan ahli keluarga diculik oleh orang jahat akan perlu difikirkan. Ada sebabnya kenapa banyak superhero yang bujang trang-tang-tang.

Peter Parker juga inginkan hidup yang normal. Malam-malam melepak di rumah dengan isteri, bukan melompat dari satu bumbung bangunan ke bumbung bangunan yang lain mengejar penjahat.

Di kalangan penulis dan editor mula berlaku perbincangan. Suatu yang drastik perlu dilakukan. Jualan komik juga sedang menurun. Setelah idea demi idea diutarakan serta dibedah hingga lumat, mereka di divisyen komik Spider-man bercadang untuk mengembalikan beberapa watak lama, yang bakal menjadikan hidup Peter Parker sebuah neraka duniawi.

Ideanya ialah untuk memperkenalkan seorang lagi watak yang serupa dengan Peter Parker. Serupa dari segi fizikal, superpower dan memori. Sebuah klon yang sempurna.

Klon yang dimaksudkan ialah Ben Riley. Ben Riley sering dianggap sebagai Spider-man yang lebih mirip dengan Spider-man apabila dia baru diperkenalkan. Tidak seperti superhero lain (yang agak poyo), Spider-man lebih santai, happy-go-lucky serta boleh menumbangkan penjahat sambil buat lawak.

Lama-kelamaan segala isu ini semakin menekan Peter dan sifat ceria Peter berganti serius. Apa tidak, dia sudah pun beberapa hampir-hampir dibunuh oleh supervilian seperti Kraven the Hunter dalam jalan cerita Kraven's Last Hunt, di antara pengalaman paling traumatik buat Peter– dikalahkan dan kemudian dikebumikan hidup-hidup.

Selepas memperkenalkan Ben Riley, para penulis dan editor mula bermain-main dengan satu lagi idea untuk pengumpan lebih banyak peminat: di antara Peter Parker dan Ben Riley, siapakah yang klon (salinan genetik) dan siapakah yang sebenar?

Saya pernah mengikuti komik Spider-man tetapi berhenti sebelum kemunculan Ben Riley. Apa yang membuatkan saya membaca LoR hingga akhir ialah cerita di sebalik tabir penulisan komik Spider-man khususnya berkenaan era Ben Riley/Scarlet Spider. Segala keputusan sama ada yang bijak atau bodoh mempunyai ceritanya yang tersendiri. Glenn sendiri berpendapat idea untuk memperkenalkan Ben Riley merupakan satu idea yang lemah dan berisiko tinggi. Asalnya Ben Riley akan muncul hanya sekejap, tetapi di dalam dunia komik kata putus orang atasan dan kehendak pasaran memain peranan yang amat besar.

Dari watak sampingan, Ben Riley diangkat menjadi watak utama sebagai Scarlet Spider, pengganti kepada Peter Parker. Namun perjalanan itu tidak semudah yang disangka. Setiap cerita walaupun yang fantasi perlu mempunyai logik. Ada watak yang perlu di'mati'kan dan ada yang perlu 'dihidupkan semula.' Ini sahaja sudah cukup memeningkan bagi para penulis untuk melakar plot untuk cerita seterusnya.

Perselisihan faham antara penulis dan editor, watak mati hidup semula serta jalan cerita yang berselirat adalah sebahagian daripada asam garam dunia penerbitan komik. Usaha untuk membukukan LoR masih berlansung, namun dengan begitu banyak pendedahan yang saya rasa agak kontroversial (bagi seorang peminat Spider-man), saya tidak hairan jika LoR akan kekal hanya di Internet.

2 comments:

Afida Anuar said...

LoR...terbalikkan... jadi ROL..hehe..

Salam r.o.l...sayang, saya tak minat sangat dengan komik ni. Cuma diary of wimpy kid tu saya pernah baca. Pinjam kawan punya.

Spiderman, saya lebih prefer tengok yang live punya. Versi komik memang tak pernah belek. Tak kena dengan jiwa saya kut;)

r.o.l. said...

Heheh, betul tu.

W'salam, afida, saya pula rasakan filemya ada sikit kurang, tapi itu pendapat saya. Versi baru pun sedang dalam pembikinan dengan Andrew Garfield sebagai Peter Parker. Andrew Garfield juga di antara pelakon utama filem Never Let Me Go, yang disebut dalam entri sebelum ini.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan