Kalau abangnya dikhatan, adik pun patut juga, bukan? Kalau tidak, mereka tidak akan sepadan. Itu kesimpulan Chabon.
Dilema tersebut diserabutkan oleh satu lagi faktor. Chabon pernah terbaca yang berkhatan dikatakan boleh mengurangkan nikmat hubungan kelamin. Kebenarannya tidak mungkin dipastikan oleh Chabon kerana dia sendiri telah dikhatan semasa kecil. Sedikit sebanyak dia berasa bersalah kerana menimpakan kemungkinan ini ke atas anak-anaknya.
Sumber: A.V. Club |
Saya pula tergaru-garu kulit kepala saya yang tidak gatal ketika membaca tentang dilema ini di dalam Manhood for Amateurs: The Pleasures and Regrets of a Husband, Father, and Son, koleksi esei Chabon tentang lelaki, kelakian dan kehidupan sebagai seorang lelaki.
Saya lansung tidak terfikir yang berkhatan boleh menimbulkan begitu banyak persoalan dan pertimbangan. Isu sebegini sebenarnya adalah tema berulang di dalam pelbagai novel, siri televisyen dan filem Barat, pertembungan di antara kepercayaan dan kebudayaan. Pada pengamatan saya, orang Yahudi yang paling sering mengalaminnya kerana pertautan mereka yang sangat kuat dengan asal usul mereka, walaupun mereka secara terang-terangan menolak aspek berkaitan kerohanian dan ketuhanan.
Alim ulama kita menerangkan perkara ini dengan baik sekali. Apabila amalan soleh dibuat tanpa menyedari kepentingannya (fikir) dan perkaitannya dengan Allah SWT (zikir), ia bertukar menjadi adat. Atau istilah modennya, ritual.
Islam berbeza daripada sistem kepercayaan lain dari segi matlamatnya. Segala amalan soleh yang kita kerjakan adalah kerana mencari keredhaan Allah. Segala niat yang selain itu akan ditolak. Bukan sahaja ia menjadi sia-sia, bahkan jika niat itu kerana selain Allah, ia menjadi syirik, dosa yang tidak sama sekali akan terampun. (Semoga Allah melindungi kita semua daripadanya.)
Satu lagi prasyarat bagi setiap amalan soleh adalah bertetapan dengan sunnah Baginda Rasulullah SAW dan kehendak syariah. Sekali pun niat telah diikhlaskan kepada Allah SWT, kaedah perlaksaannya perlu betul. Allah tidak akan menerima solat Maghrib lima rakaat yang ditunaikan hatta kerana cinta padaNya.
Perintah Allah tidak datang secara arahan semata-mata. Di samping peringatan dan amaran, amalan soleh juga mengandungi fadilat-fadilat yang tersendiri. Ada fadilat yang berbentuk janji di alam akhirat kelak seperti ganjaran pahala bagi solat fardhu berjemaah dan solat-solat sunat, dan ada fadilat yang dapat dirasai di dunia ini lagi seperti mendapat kasih sayang kerana mengasihi ibu bapa, anak-anak dan saudara seagama.
Ritual pula mungkin mengandungi signifikasi, falsafah atau sejarah yang tertentu. Oleh sebab lemahnya atau tiadanya perkaitan di antara ritual dan asas-asas daripada Al-Quran dan Sunnah, maka ramai Muslim terutamanya generasi ke-dua Muslim di negara Barat lebih banyak mempersoalkan amalan-amalan ritualistik yang sering diamalkan secara turun-temurun, berbanding Muslim yang lahir Muslim seperti orang Melayu.
Jika kita tidak berwaspada, tidak mustahil kita akan mencampur-adukkan di antara amalan soleh dan ritual. Lebih teruk lagi kita mungkin akan terkinja-kinja marah apabila orang lain meninggalkan sesuatu yang ritual tetapi sedikit pun tidak bersuara apabila amalan soleh dipinggirkan.
Dari pandangan Islam, kepentingan tentang berkhatan ada diterangkan. Rasullullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim,
Lima perkara fitrah: berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, memendekkan misai.Fitrah, menurut As-Shawkani, adalah perkara-perkara yang membawa kepada kehormatan dan kesopanan apabila diamalkan.
Namun bezanya orang Yahudi dan orang Muslim, termasuklah orang Melayu, ialah kuatnya pegangan orang Yahudi terhadap budaya mereka. Setuju atau tidak itulah identiti mereka selaku bangsa terpilih. Adakah perasaan yang sama wujud di dalam hati kita orang Muslim, yang sudah pun disebut sebagai ummah yang terbaik oleh Allah SWT di dalam Al-Quran? Walhal perintah dan amalan kita ada asas rujukannya, cara menunaikannya, kepentingannya serta kelebihannya; bukan berdasarkan sentimen ethnocentric?