Pembikin drama Melayu sememangnya suka dengan tema lelaki menikah banyak. Mungkin sebab mereka terlalu terpengaruh dengan filem Madu Tiga. Berlambak-lambak drama serta filem tentang poligami yang sudah (dan mungkin sedang?) diterbitkan hinggakan dalam dunia drama tempatan ianya seolah-olah satu genre tersendiri.
Filem Madu Tiga bolehlah dikatakan sebagai sebuah cerita yang berjaya mengimbangi antara komedi dan nasihat. Walaupun kita ketawa tengok En. Jamil kena kejar dengan ketiga-tiga bininya, sedar atau tidak itulah yang turut berlaku dalam kehidupan masyarakat, terutamanya akibat berpoligami mengikut hati dan nafsu.
Perkahwinan bukan sekadar menemukan dua manusia lelaki dan wanita. Ianya juga membawa dua hati yang berlainan untuk saling mengasihi antara satu sama lain. Pertautan dua hati ini bukannya sesuatu yang akan berlaku sehari semalam, bahkan bertahun-tahun pun belum tentu dua ini akan menemui titik percantuman yang membentuk apa yang dipanggil satu hati. Kata ulamak penting untuk suami dan isteri untuk satu hati, sebab dengannya barulah anak-anak beroleh tarbiyah.
Pokoknya, peranan hati dalam rumahtangga amat besar. Begitu juga dalam soal poligami, hati juga menerima kesannya, baik dan buruk. Namun malang sekali, kisah tentang hati sering dipinggirkan dalam drama-drama lelaki menikah banyak. Kesian hati.
Sekadar pandangan saya, para pembikin drama genre lelaki menikah banyak, cubalah baca buku Pak Hamka berjudul Merantau ke Deli. Ianya sebuah kisah tentang sebuah rumahtangga yang teruji akibat poligami, poligami yang jenis jujur dan terang-terang dan bukan yang jenis sembunyi-sembunyi atau yang 'merantau' ke Siam. Dalam terang-terang pun poligami boleh berakhir dengan duka, apa lagi yang bukan.
Pada awal pertemuan mereka, Leman berjanji pada Poniem kesetiaan tak berbahagi. Kedua-duanya orang susah, berkerja sebagai kuli dan peniaga kecil. Leman mengajak Poniem berkahwin dan bersamanya mencuba nasib di negeri baru. Poniem yang sebatang kara setuju.
Sebagai isteri, Poniem berbuat apa yang dia terdaya untuk membantu suami maju dalam perniagaan. Tak cukup dengan dorongan dan layanan, barang kemas miliknya pun turut diberi akan modal Leman bertambah. Seperti mana-mana isteri pun, Poniem ingin melihat suaminya Leman berjaya.
Kalaulah perkahwinan itu ibaratnya bahtera, adat bahtera dilambung gelombang. Tatkala perniagaan Leman mula maju dan namanya mula disebut-sebut, muncul cubaan besar yang tak diduga buat pasangan suami isteri muda ini. Leman orang Minang, dan adat orang Minang harta mesti disalurkan kepada kaum perempuan dalam keluarga. Isteri dan anak perempuan. Poniem pula asalnya Jawa, satu perkara yang kurang disenangi oleh kaum kerabat Leman. Demi menyambung dan menyanjung adat mereka, Leman mesti beristerikan orang Minang. Seorang anak gadis Minang dari kampung dicadangkan mereka kepada Leman.
Ini kisah seorang suami yang dianjurkan oleh kaum kerabatnya supaya bernikah lagi seorang. Bukan dia yang pergi cari. Tetapi poligami tetap poligami. Ianya hanya akan terjadi jika si lelaki yang hendak. (Setakat ini baru sekali saja saya dengar kisah benar lelaki yang terpaksa berpoligami dan dia buat demikian atas sebab-sebab yang munasabah.)
Sebab buku ini tak panjang, saya tak ingin mendedahkan lebih lanjut tentang jalan ceritanya. Cukuplah dengan apa yang sebut tadi, yang buku ini lebih kepada cerita hati-hati yang terlibat dalam poligami. Perasaan mereka dan peristiwa-peristiwa yang selalunya timbul akibat poligami yang tidak diurus dengan adil serta mengikut lunas-lunas agama. Merantau ke Deli adalah sebuah kisah yang sarat dengan perspektif tentang hidup berpoligami serta dikarang dengan penuh rasa ehsan dan belas khasnya terhadap wanita-wanita di dalamnya. Disyorkan khusus kepada mana-mana suami yang berkeinginan untuk bernikah lagi.
Monolog...
12 years ago
0 comments:
Post a Comment