Pages

Wednesday 3 December 2008

Memoir Seorang Guru


Perkenalan saya dengan tulisan-tulisan Azizi Abdullah ialah melalui novel beliau yang sangat terkenal sekitar tahun 80an, Seorang Tua di Kaki Bukit. Mula-mula cuma menonton adaptasi dramanya di TV1. Saya cuma ingat dari drama tersebut saya belajar istilah "M.C."

Kali kedua saya tersua dengan Seorang Tua di Kaki Bukit ialah dalam majalah Bujal. (Ada siapa masih ingat?) Ada sebuah artikel di dalamnya tentang sengatan lebah. Penulis bertanya kepada pembaca, ingatkah babak di dalam novel Seorang Tua di Kaki Bukit di mana watak pak cik tua tersebut diserang lebah madu liar? Dari situ saya belajar yang lebah madu pekerja hanya boleh menyegat sekali seumur hidupnya. Akhir sekali saya membaca novel tersebut, yang saya pinjam dari perpustakaan pejabat ibu saya (kalau tak silap).

Dalam novel Memoir Seorang Guru, beliau membawa pembaca ke dalam kotak fikiran seorang guru pesara dari Kedah yang dilanda ribut perasaan apabila anaknya Kamariah ditawar menjadi guru.

Bapa begitu keras dalam pendiriannya yang Kama patut mencari kerjaya yang lain. Kama dan orang lain menganggap yang sepatutnya Bapa gembira kerana anak tunggalnya bakal menceburi bidang tugas yang sangat mulia, tugas yang Bapa sendiri pernah jalankan.

Dilemma serta keributan jiwa Bapa menjadi plot tunjang novel ini. Melalui imbasan pengalaman, Bapa bercerita apa yang terjadi semasa Bapa masih bergelar guru, menjadi pendidik kepada murid-murid yang bernama Alias, Sakinah, Midun dan Mohd. Dhuha.

Watak Bapa banyak mengingatkan saya kepada beberapa orang guru saya, khususnya masa sekolah rendah. Saya rasa kebanyakkan orang pernah bercikgukan orang seperti Bapa, angin satu badan 24/7 (atau 24/5, jika ambil kira hari sekolah sahaja). Mereka guru yang baik, mungkin pendekatan mereka ialah menakutkan murid-murid hingga mereka dengar cakap.

Jika saya ingat semula, ada beberapa guru saya yang berperangai luar daripada biasa. Ada seorang yang macam Cikgu Shaari (P. Ramlee dalam Masam-Masam Manis), masuk ke kelas kami dan 'berlayar'. Pada masa itu, kami pun macam anak murid Cikgu Shaari, cikgu sudah tidur, mari kita main.

Saya belum sedar yang pada ketika guru saya sedang mengajar saya, secara tidak lansung, tentang satu pengajaran yang penting. Sebagai kanak-kanak kita cuma faham yang orang dewasa patut bersikap mengikut peranan mereka. Seorang cikgu kena sentiasa berpengetahuan, seorang ibu kena sentiasa menyayangi anak-anak dan sebagainya. Dunia nampak lurus dan tersusun, tiada cabang-cabang atau simpang siur.

Cikgu Shaari saya mengajar saya bahawa manusia tak sunyi daripada menyimpang daripada matlamatnya serta peranannya. Saya tak pernah tahu kenapa Cikgu Shaari saya berperangai sedemikian, tapi saya pada umur sekarang dapat mengagak yang tentu ada sesuatu dalam hidup beliau yang mengganggu beliau hingga beliau bermimpi di siang hari di depan kami satu kelas.

Memoir Seorang Guru telah membuka hati saya untuk menerima guru-guru seadanya, sebagai manusia yang seperti saya juga, jauh dari kemaksuman. Jika cikgu-cikgu angin 24/7 serta Cikgu Shaari tidak muncul masa zaman kanak-kanak saya, mungkin kematangan saya akan lambat terbentuk. Mereka tidak sempurna, dan mereka telah mengajar saya tentang ketidaksempurnaan.

2 comments:

uncleJoe said...

a'a novel2 karangan beliau memang menggamit hati UJ juga... malah novelnya TOKCAI...dicetak semula sebagai senarai 4 novel nostalgia bersama 3 LAGI novelis yang laiN...cetakan alaf 21... awalnya UJ agk sekeptikal sedikit dengan novel keluaran alaf 21... tp tidak dengan yang 4 ini... pada UJ 4 novel ini adalah novel wajib-baca kalao ingin menjadi seorang novelis ...insyaAllah...

UJ masih ingat majalah BUJAL tp time tu UJ budak sangat2 lagi...

kedua kalau tk silap UJ .... novel seorang tua di kaki bukit... bkan ke seorang tua di kaki gunung.... iaitu tokya... malah azizi sendiri pun digelar tokya... di drama kan sesuatu ketika dulu ... dan novel tersbut teks kajian sastera utk subjek kesusasteraan melayu SPM

r.o.l. said...

Novel-novel Tuan Haji Tok Ya Azizi banyak berkisar tentang masyarakat kampung dan pendalaman, mengangkat kisah mereka daripada sepi tanpa didengari. Saya lebih mengenali beliau melalui cerpen berbanding novel.

UJ ada cita-cita nak jadi novelis? Jika ada, amin, moga berkarya dengan penuh hemah dan hikmah.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan