Pages

Saturday 10 January 2009

Bacaan 2008. Mengikut kategori

Alhamdulillah saya telah capai matlamat saya untuk 2008, iaitu untuk menghabiskan secara purata 2 buku sebulan. Tahun ini merupakan tahun yang banyak menduga kesabaran, ketabahan serta keimanan. 2 buku sebulan adalah pencapaian baru saya.

Awalnya saya sekadar menyambung senarai bacaan 2007 iaitu buku-buku James Herriot yang bos saya syorkan. Saya terhenti pada Vet in a Spin, buku Herriot yang ke–6 (rasanya.) Saya rasa sayang sekali buku-buku Herriot tidak lagi dipromosi atau dibaca dengan meluas kerana di dalammya banyak kisah tentang bagaimana menghadapi cabaran hidup dengan fikiran yang positif serta tentang memupuk kasih dalam hati kita terhadap makhluk Allah bernama haiwan.

Buku-buku manakah yang telah meninggalkan kesan terhadap diri saya tahun lalu? Biar saya pecahkan mereka kepada kategori-kategori.


Kategori buku-buku yang terpenting yang saya baca tahun 2008:
Riwayat Hidup Rasulullah SAW
(Abul Hasan Ali A-Hasany An-Nadwy): Buku yang tak mampu untuk saya ulas. Walaupun ianya setebal lebih kurang 550, saya terasa bagaikan masih banyak aspek hidup Baginda yang belum disentuh oleh buku ini. Perlu diulang baca, dengan lebih tumpuan.

Aku Terima Nikahnya (Hasrizal Abdul Jamil): Saya setuju dengan mudin, ATN adalah antara buku terbaik 2008. Bukan hanya kerana topiknya tapi kesungguhannya untuk mendidik pembaca tentang perkahwinan dan tuntutan-tuntutannya. Bonus: isteri Ustaz Hasrizal seorang doktor, jadi buku ini turut mengandungi serba sedikit maklumat perubatan dan kesihatan.


Kategori buku-buku yang mengubah pandangan saya tentang perkauman:
The Malayan Trilogy (Anthony Burgess) dan The Autobiography of Malcolm X (Malcolm X dan Alex Haley). Sifat perkauman adalah sesuatu yang buruk, namun hampir semua manusia mempunyainya. Burgess mengajak saya menilai semula prasangka saya terhadap kaum-kaum lain di Malaysia manakala Malcolm (atau Malik?) memanggil saya untuk berfikir sama ada betulkah kulit putih lebih mulia, lebih baik daripada kulit hitam? Kata-kata Tuan Guru Nik Aziz juga bermain di fikiran; bangsa apakah datuk kita semua, Nabi Adam AS?


Kategori buku-buku yang saya tak percaya saya membacanya:
The Truth about Cheating (Gary Neuman): Saya muat turun versi PDF buku ini yang ditawarkan di Oprah.com secara percuma selama seminggu (kini sudah tiada). Sebabnya? Mungkin rasa ingin tahu. Neuman ialah seorang rabbi dan kaunselor perkahwinan yang membuat satu kajian khusus tentang kenapa seorang suami itu boleh curang. Buku ini menguatkan lagi kata-kata Ustaz Hasrizal dalam buku beliau tadi iaitu erti hidup ialah pada memberi, dan turut memperjelaskan maksud mendalam di sebalik kata pepatah Melayu tentang perkahwinan iaitu buang yang keruh, ambil yang jernih.



Kategori buku-buku untuk jiwa-jiwa melankolia:
Seronokkah kalau sepanjang masa kita rasa gembira? Bagi saya mungkin tidak. Sebab itu buku-buku yang berlatarkan peristiwa tragis mempunyai kategorinya yang khas. Jiwa-jiwa yang sejiwa, silalah membelek By The Sea (Abdulrazak Gurnah) dan Merantau ke Deli (Hamka).


Kategori buku-buku yang membakar semangat:
Semangat manusia turun dan naik. Membaca tentang kisah orang lain dapat membangunkan semula semangat yang semakin menjunam dan meninggikan lagi semangat sudah pun di tahap awan. Setitis Embun Semarak Api (Shahnon Ahmad) ialah buku yang patut dibaca oleh sesiapa yang merasakan usia adalah penghalang cita-cita seseorang. Begitu juga dengan Seteguh Tekad (Sidek Baba).


Selamat membaca dalam tahun 2009 ini.

2 comments:

Anonymous said...

Bro, aku teringin nak baca Malayan Trilogy tu. Kat mana boleh dapat?

r.o.l. said...

Check your blog's comments. :)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan