Pages

Saturday 3 January 2009

Kenapa berazam pada Tahun Baru?

Cakap-cakap tentang azam selalu kedengaran sekitar Tahun Baru. Apa azam tahun ini? Tanya mereka-mereka yang ingin tahu. Kurangkan berat badan? Kerja lebih kuat? Menjadi istiqomah dalam bertahajjud? Membela lebih banyak lagi hamster?

Berazam adalah satu perkara yang baik. Ianya adalah permulaan kepada perubahan. Khususnya perubahan ke arah kebaikan. Sesuatu amalan itu bermula dengan niat. Azam dan niat yang ada akan sedikit sebanyak membantu kita menuju ke arah matlamat yang ingin dicapai.

Kita sebenarnya patut berazam untuk membuat perkara yang baik setiap masa. Azam yang sudah tercapai patut diganti dengan yang lebih tinggi. Azam yang belum tercapai perlu dinilai atau diperteguh, sekiranya wajar. Kata orang-orang alim, khasiat agama ialah dalam berniat untuk membuat perkara-perkara yang baik. Allah yang Maha Pemurah akan mengurniakan ganjaran pahala kepada sesiapa yang berniat untuk beramal walaupun dia belum beramal. Maka niatlah untuk beramal banyak-banyak. Insya-Allah, kekuatan yang beramal akan datang walaupun kita fikir kita tak mampu.

Allah juga Maha Pengampun dan Pengasih, niat kita untuk berbuat jahat atau maksiat tidak akan dikira. Balasan dosa akan hanya dicatat selepas amalan jahat itu dibuat. Itupun Allah masih lagi membiarkan pintu taubat terbuka dengan luas dan sedia untuk mengampuni kita jika kita bertaubat. Malah taubat yang sempurna akan memadamkan catatan amalan jahat tadi. Begitu Maha Pengampunnya dan Pengasihnya Allah.

Waktu Tahun Baru sama ada Masihi atau Hijrah adalah waktu yang sering dikaitkan dengan berazam kerana ianya waktu yang mudah untuk diingati. Saya pernah dengar nasihat orang tentang berzakat, iaitu tunaikan zakat dalam bulan Ramadhan kerana mudah untuk kita mengingati nisabnya. Nisab atau tempoh waktu adalah mustahak dalam kita mengukur pencapaian kita. Begitu juga dengan azam. Tahun Baru adalah umpama petanda aras setakat mana kita telah berjaya mengotakan azam-azam yang telah dibuat pada tahun sebelumnya.

Jadi tak salahlah jika kita memilih untuk berazam pada Tahun Baru. Cuma jangan lupa berazam untuk perkara baik pada setiap masa di samping sentiasa menilai sejauh mana azam tadi sudah kita laksanakan. Wallahua'alam.

Semoga 1430H dan 2009M ini akan menjadi tahun yang membawa kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat buat kita semula. Amin.

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan