Pages

Sunday 22 March 2009

Cerai melalui SMS: "The medium is the message"

Jika anda pernah mengambil subjek Pengurusan atau Management semasa belajar di peringkat sarjana atau diploma, anda mungkin pernah tersua dengan kata-kata di atas, dalam bab tentang komunikasi dalam organisasi. Ianya kata-kata oleh seorang pemikir dalam bidang media iaitu Marshall McLuhan.

Apa yang dimaksudkan oleh McLuhan ialah apabila menyampaikan sesuatu mesej, cara yang kita pilih menyampaikannya juga mempunyai maknanya yang tersendiri.

Misalnya, seorang pekerja yang mendapat tahu yang beliau telah diberhentikan melalui notis yang ditampal pada dinding atau papan notis pejabatnya. Ketika dia diambil untuk bekerja, pihak majikan akan begitu sekali mengikut prosedur-prosedur yang digariskan seperti mengadakan temuduga, mengeluarkan surat tawaran dan menyediakan kontrak untuk ditandatangani sebagai tanda persetujuaan antara dirinya sebagai pekerja dan pihak majikan yang mengambilnya bekerja.

Tetapi kini apabila khidmatnya sebagai seorang pekerja tidak lagi diperlukan, dengan mudahnya persetujuaan tadi dileraikan. Hanya sekeping notis sebagai penyampai. Ke mana perginya prosedur-prosedur?

Perkara yang juga perlu ditanya ialah patutkah notis digunakan untuk tujuan ini? Mungkin ianya lebih mudah daripada bersemuka dan menyampaikannya berita ini secara terus.

Pada pihak penerima pula, apakah agaknya perasaan pekerja tadi?

Persoalan ini tak jauh bezanya dengan isu cerai melalui SMS. Saya tak mahu menghuraikan aspek hukum-hakamnya kerana saya tidak layak. Saya cuma ingin menyentuhnya dari segi penyampaiannya.

Saya mengaku yang sebagai seorang lelaki, pada mulanya saya kurang faham kenapa isu ini dianggap besar oleh orang perempuan. Pada fahaman saya, cerai tetap cerai, sama ada melalui SMS atau cara komunikasi elektronik yang lain seperti emel dan sebagainya. Apa yang perlu dibincangkan lagi?

Jika kita bandingkan keadaan seorang isteri yang menerima lafaz talak melalui SMS dengan pekerja tadi yang mendapat tahu melalui notis yang dia sudah diberhentikan, kita dapat rasa adanya sesuatu yang tidak patut. Dalam bab kerja kita ada prosedur, dan dalam bab perkahwinan kita ada syariat.

Kata seorang perempuan yang saya kenali, cerai melalui SMS adalah sangat menghinakan bagi si isteri. Cerai itu halal (yang Allah benci), tetapi mengapa tidak dilaksanakan dengan mengikut syariat? Semasa dirinya dipetik menjadi isteri, ucapan lafaz terima nikahnya jelas terdengar di telinga. Bagaimana pula apabila hendak dilepaskan, lafaznya sekadar tertulis dalam mesej SMS yang bisu?

Kita lihat pada sifat SMS itu sendiri. SMS merupakan saluran komunikasi yang dicipta untuk memudahkan perhubungan secara cepat. Aksara yang mampu dibawanya pun adalah amat terhad. Mesej SMS amat mudah untuk dtulis dan diterima. Ianya juga mudah untuk disimpan dan dipadam.

SMS bukannya sebuah saluran komunikasi teksual yang bersifat berpanjangan. Ianya lebih kepada guna-dan-buang. Paparan untuk mesej SMS yang ada telefon bimbit lebih menyokong mesej SMS yang ringkas dan pendek. Mesej SMS yang berjela-jela lazimnya kurang digemari penerima.

Satu lagi aspek SMS ialah kekurangannya dari segi menyampaikan emosi. Dalam sebuah panggilan telefon kita sekurang-kurangya mengagak perasaan serta emosi pihak yang bercakap melalui suara yang didengar. SMS bersifat teksual, dan ianya tidak mampu menandingi keupayaan komunikasi suara dalam penyampaian emosi dan perasaan. Itulah sebabnya emoticon seperti :) digunakan. Kadang-kadang emosi dan perasaan tidak mampu digambarkan melalui teks yang ringkas. Ini menyebabkan ada kalanya sesebuah mesej SMS itu disalah tafsir.

Dalam soal penceraian, lafaz yang dilakukan pihak suami perlu jelas. Jelas di sini termasuklah ianya sah dikirimkan oleh suami, dengan niat serta menggunakan perkataan-perkataan yang mencadangkan penceraian. Perkara ini akan dibawa ke mahkamah syariah sekiranya mana-mana pihak mempertikaikannya sama ada ianya sah atau tidak.

Kata-kata McLuhan ada benarnya. Cara mesej disampaikan adalah satu mesej dengan sendirinya. Jika seorang suami itu mempunyai perasan ihsan kepada perempuan yang menjadi isterinya tadi, dia perlu memilih cara pemyampaian yang wajar. Jika diambil dahulu secara terang, maka dilepas pun biarlah secara terang. Jika diambil dahulu secara terhormat, maka dilepas pun biarlah secara terhormat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan