Pages

Saturday, 25 April 2009

Kalau tahun lepas jumpa Che, tahun ini? bahagian II

Sepanjang minggu lepas saya berkejar untuk menepati dateline kerja. Alhamdulillah, kerja berjaya dibereskan dan dateline berjaya ditepati. Sejurus selepas kerja dihantar, saya melajukan langkah ke Pesta Buku Antarabangsa KL. Masa untuk 'memburu.'

Kunjungan saya kali ini sangat sebentar. Tumpuan saya hanya kepada beberapa gerai. Secara khusus saya mencari empat buah buku. Satu tidak dibeli kerana penerbitnya tidak mengambil bahagian tahun ini. Akhirnya saya 'terbeli' satu buku lain sebagai 'ganti.'

Siapa yang saya jumpa tahun ini? Bukan bos kawan saya. Kawan saya akhirnya tidak dapat datang kerana sibuk. Saya sendiri nyaris-nyaris tak dapat datang.

Salah seorang yang saya sempat jumpa ialah Faisal Tehrani (FT). Dari hari-hari terawal lagi beliau sudah menyibukkan diri di gerai Al-Ameen berdasarkan apa yang dilaporkan oleh pengunjung awal Pesta Buku menerusi blog masing-masing.

Penglibatan aktif FT serta penulis-penulis lain dalam mempromosikan karya mereka sendiri adalah satu tarikan utama pengunjung ke Pesta Buku. Melaluinya peminat dapat mendekati serta berbual mesra dengan mereka. Juga peluang untuk bergambar dan mendapatkan autograf penulis yang diminati. (Saya kurang berminat untuk bergambar dan saya tiada bukti bergambar untuk menyokong apa yang saya tulis. Tapi percayalah ini bukan kelentong.)

Sembang lima minit saya bersama FT memang menarik. Beliau agak lain dari apa yang bayangkan. (Lebih... cool, mungkin?) Saya sempat bertanya tentang apakah perbezaan antara karya beliau dan blog beliau. Soalan yang lazim ditanya, rupanya.

Blog tadi lebih kepada satira, tulisan secara spontan dan seumpamanya. "Saya mahu dinilai berdasarkan karya-karya saya berbanding apa yang saya tulis di blog saya," ujar beliau sebelum kami bersalaman dan berpisah. Sesuatu yang adil bagi seorang penulis, saya kira.

Beberapa jam kemudian saya di rumah, menyusun 'hasil buruan' bersama buku-buku lain. Nampaknya pertambahan ini telah mengisi segala baki ruang kosong rak buku saya...

2 comments:

mudin001 said...

Bro, kamu lebih baik dari aku. Sekurang-kurangnya masih ada ruang kosong pada rak untuk diisi. Aku, buku tak tahu letak dimana pun masih ghairah membeli. Aduhla...

rol said...

Ghairah membeli! Itulah istilah yang saya cari.

Rak saya kecil sebenarnya, dan ada buku orang lain sama. Sebab itu dah habis ruang.

Awal-awal dalam Ketupat Cinta ada kata-kata Saidina Ali RA, "... tiada kebaikan bacaan kalau tiada perhatian." Baca berlambak-lambak, laju-laju tapi tak menghayati, apa yang kita dapat? Biar lambat asal bermanfaat. :-)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan