Pages

Friday 9 October 2009

Jualan gudang buku: murah, tapi...

Jualan gudang Pearson dan Penguin Books sedang berlansung dan akan berakhir Ahad ini. Saya sempat ke sana minggu lepas. Kepada sesiapa yang ada kesempatan, saya rasa elok pergi. Pertama kali saya ke sana ialah dua tahun yang lalu. Jualan ini hanya sekali setiap dua tahun dan harga yang ditawarkan boleh dikatakan murah.

Boleh dikatakan murah jika dibandingkan dengan harga di kedai buku biasa. Contohnya buku ini. Harga buku kulit kerasnya dalam lingkungan RM60-RM70.



Di sana harganya, kalau saya tak silap, RM15 untuk edisi paperback. Dan buku ini baru setahun lebih dalam pasaran.

Buku ini tentang pengalaman seorang saintis dan pengkaji otak manusia yang ditimpa angin ahmar atau strok. Beliau menulis tentang bagaimana pengalaman tersebut mengubah hidupnya serta pandangannya tentang kehebatan otak manusia (yang sememangnya hebat kerana Allah yang menciptanya).

Adakah kebanyakan buku di sana seperti ini? Tak. Ini jualan gudang, yakni jualan penghabisan stok. Buku-buku baru memang ada tapi harganya mungkin murah sikit daripada harga biasa. Yang banyak adalah buku-buku yang diterbitkan lebih daripada dua tahun yang lalu.

Menurut komen yang ditinggalkan di laman everyday.com.my (pautan yang sama seperti di atas), harga buku pada jualan kali telah naik. Dulu harganya dalam RM8, tapi kini RM10 dan RM15. Mahal.

Berapa yang boleh dikatakan mahal? Nampaknya harga adalah sesuatu yang relatif. Sesuatu yang mahal bagi saya mungkin murah bagi orang lain, dan juga sebaliknya. Masing-masing ada cara yang tersendiri dalam membuat perbandingan.

Bagi saya ini masih dikira murah. Sesuai untuk orang yang seperti saya, golongan yang tak bergaji besar. Jualan seperti ini sangat dinanti-nantikan.

Tetapi jangan harapkan suasana yang nyaman kalau ke jualan gudang seperti ini. Kalau tak hawanya panas, mungkin akan terasa debu-debu melekat di tapak tangan. Jangan lupa, namanya pun jualan gudang.

Perkara-perkara sebegini lansung membuatkan saya terfikir tentang nasib pembaca buku di negara kita. Secara umumnya harga buku adalah mahal. Untuk nilai yang lebih, kita mencarinya di jualan-jualan gudang seperti ini.

Kenapa harganya lebih murah? Pada pandangan saya sebagai seorang pembeli, harganya murah atas beberapa sebab. Seperti yang saya cerita tadi, keselesaan membeli belah seolah-olah tidak perlu lagi diadakan. Cukup dengan mempamerkan buku di atas meja-meja. Biasanya buku-buku dilonggokkan dan disusun mengikut kategori umum fiksyen dan bukan fiksyen. Jualan gudang sebenarnya mirip kepada ekspidisi mencari harta karun. Kalau jumpa buku yang dicari, itu memang rezeki.

Bagi saya ini tak seteruk mana jika dibandingkan dengan keadaan buku yang dijual. Ada yang yang kemek-kemek, berconteng (mungkin dengan sengaja, agar pembeli tak menjualnya semula dengan harga yang sama dengan yang di kedai) dan yang berlengas dengan gam pelekat harga. Kadang-kadang kulitnya nampak kotor kerana debu-debu sudah melekat pada gam tadi. Sedih hati ini melihatnya. Mengapa teruk benar keadaan buku-buku ini?

Ada sekali di jualan gudang yang lain, buku-bukunya terlekat pada satu sama lain Mungkin kerana kelembaban semasa dalam simpanan di gudang. Satu lagi kerja bagi para pembeli untuk memisahkan buku yang ingin dibeli, sekaligus merosakkannya.

Ada masa pelekat harga yang digunakan sangat kuat gamnya hingga sukar untuk ditanggalkan tanpa meninggalkan kesan pada kulit buku. Tertekan rasanya jiwa apabila ini berlaku.

Tujuan saya menulis semua ini bukannya untuk merungut. Saya hanya ingin pihak penganjur jualan gudang buku lebih prihatin dalam mengendalikan buku-buku yang mereka ingin jual. Jangan kerana harga sudah dipotong buku-buku dibiarkan kemek, helainya berlipat-lipat atau seumpamanya.Ini buku, bukannya sekadar barangan jualan atau komoditi semata-mata.

Kepada yang belum pernah ke mana-mana jualan gudang buku, inilah antara realiti yang terpaksa dihadapi sebagai pengunjung dan pembeli.

Namun, saya masih bersyukur atas wujudnya jualan sebegini. Selain daripada harganya yang jauh lebih rendah, jualan gudang adalah peluang yang baik untuk mencari buku-buku yang sukar dijumpai di kedai buku. Saya akan tetap memanfaatkan jualan gudang buku, walaupun terpaksa bersabar dengan suasana yang panas serta pulang dalam keadaan bersalut debu. Demi buku, semua ini sanggup kuhadap!

[ Terdahulu dan berkaitan: How to prepare for a book sale ]

2 comments:

mudin001 said...

Bro, kali ini memang buat tak tahu sahaja terhadap mana-mana jualan gudang. Bacaan merosot, buku-buku masih banyak tak terbaca, tak apalah...

:)

r.o.l. said...

Lebih kuranglah kita Bro, saya pergi ke yang ini kerana tak pergi ke yang lain-lain sebelumnya (Times, Pay Less) dan saya tengok buku-buku yang dibeli masa jualan yang sama 2 tahun lalu, kalau tak silap termasuklah House of Glass, dah habis dibaca. Kononnya stok untuk lagi 2 tahun heheheh.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan