Sumber: Az-Zahra |
Negara Turki sangat dekat di hati Ustaz Hasrizal. Pastinya bukan kerana tehnya atau reputasinya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang masyhur—sebaliknya kerana sebab-sebab lain yang kurang diketahui ramai. Secangkir Teh Pengubat Letih adalah travelog ke-dua Ustaz Hasrizal selepas Rindu Bau Pohon Tin.
Pada mata luar yang meninjau, Turki adalah sebuah paradoks. Tanah di mana pernah bertegaknya Khilafah Othmaniyyah kini sebuah negara berwajah sekular. Wanitanya dihalang daripada berhijab. Bahkan imej Turki yang dapat dilihat pada bahan promosi pelancongan negara itu menggambarkan sebuah negara yang lebih Eropah daripada Islam, melainkan destinasi berkaitan sejarah.
Saya percaya salah satu misi Ustaz Hasrizal menulis buku ini adalah untuk memberikan gambaran yang lebih tepat tentang keadaan umat Islam Turki. Berbekal Bahasa Turki yang asas dan pengalaman bergaul rapat dengan rakan belajar dari Turki serta keluarga mereka, Ustaz Hasrizal berjaya menenggelamkan dirinya di tengah-tengah masyarakat Turki yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuklah dari segi agama.
Kalau Taksim terkenal dengan deretan kelab malam dan kelab tarian eksotik, wilayah-wilayah seperti Draman, Bolvadin, Konya, dan Van pula hidup dalam suasana Islami, sekali imbas seakan-akan mereka tidak terkena hatta tempias badai sekularisme. Institusi tahfiznya juga mengagumkan. Anak-anak seawal 10 tahun sudah berjaya menghafal Al-Quran dalam masa hanya setahun. Mereka menggunakan satu kaedah unik untuk menghafal Al-Quran yang mungkin boleh dikaji serta dipraktik di negara kita. Walaupun kaedah ini nampak sedikit ganjil, bayangkan, di Istanbul ada tidak kurang daripada 1000 masjid dan setiap masjid mempunyai kelas tahfiz yang berjaya menghasilkan paling kurang 10 orang huffaz setahun. Dan ini sudah berlansung selama banyak generasi, jadi cubalah anggar berapa ramai para huffaz yang ada di Istanbul sahaja. Itu belum lagi diambil kira wilayah-wilayah lain.
Turki juga saksi terkuburnya khilafah Uthamaniyyah, institusi pemerintahan Islam yang pernah menjadi tunggak umat Islam sedunia. Ustaz Hasrizal mendedikasikan satu bab khas mengenai tragedi ini. Jika ditinjau lebih mendalam, kita sebagai umat Islam umpama pelanduk yang adakalanya terlupa jerat, sedangkan jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Penggulingan Sultan Abdul Hamid II mengandungi banyak pengajaran penting, antaranya ialah berjayanya percaturan agenda musuh Islam adalah hasil bantuan orang Islam yang berkepentingan. Kita sedang menyaksikan perkara yang sama berlaku hari ini. Islam tidak mungkin bangkit semula selagi orang Islam masih celaru antara dunia dan akhirat. Bersama-sama kita, khasnya diri saya, bermuhasabah dalam aspek ini.
Travelog ini telah menimbulkan azam di hati saya untuk lebih mengenali Turki serta mengunjunginnya. Inilah yang saya rasa salah satu ciri sebuah travelog yang berjaya.