Dalam Islam, ulama (kata jamak bagi orang alim atau ustaz) merupakan golongan khusus yang wajib dimuliakan oleh orang-orang Islam. Mereka disebut sebagai pewaris para nabi kerana tanggungjawab mereka dalam mendidik serta memimpin orang Islam yang lain (orang awam) dalam menjalani kehidupan beragama. Di dalam al-Quran kemuliaan orang berilmu disebut berulang-ulang kali termasuklah bagaimana Allah meninggikan darjat mereka di sisiNya jauh melebihi orang lain. Sabda Rasullullah SAW:
Bukanlah dia daripada para pengikutku: yang tidak menghormati orang-orang tua, tidak belas kasihan kepada kanak-kanak dan tidak menghormati alim ulama.
Rasullullah sendiri pernah menyebut serta memuliakan beberapa orang Sahabat dengan khusus atas ketinggian ilmu yang mereka miliki. Antara Sahabat-Sahabat yang mendapat kemuliaan tersebut ialah Abu Hurairah, Abu Darda dan Ubai bin Kaab RAhum.
Di sini jelas bahawa kita sebagai orang awam wajar memberi penghormatan yang sepatutnya kepada golongan ulama. Bukan kehendak mereka supaya dilayan seperti raja-raja atau menteri-menteri, memadai dengan kita mematuhi adab serta tertib ketika bergaul dengan alim ulama, sebagaimana yang digariskan oleh Islam.
Tetapi apa yang kita sering lihat pada hari ini ialah pandangan serong sesetengah orang tentang ulama serta peranan mereka. Ulama kerapkali digambarkan sebagai puak yang kolot. Pandangan-pandangan yang mereka utarakan selalu dilihat sebagai sesuatu yang tidak selari dengan zaman semasa.
Pihak media mengaku mereka sekadar melakukan tugas. Namun, itu bukannya cerita keseluruhan. Apabila seseorang tokoh politik atau pemimpin membangkitkan sesuatu perkara dan ianya menjadi buah mulut masyarakat, pihak media seringkali bermurah hati untuk memberikan mereka ruang untuk memperjelaskan perkara yang sebenarnya. Mereka akan ditemuramah atau dijemput sebagai ahli panel sesebuah forum dan sebagainya di mana mereka akan menyeru kepada rakyat agar tidak salah faham atau menyalahtafsir sebarang kenyataan yang mereka pernah buat.
Bagaimana pula dengan ulama? Adakah mereka berpeluang untuk membuat perkara yang sama?
Lebih menyedihkan lagi, tentangan serta ketidakadilan ini kadangkala berpunca dari kalangan orang Islam sendiri. Mereka dengan mudah menerima pandangan yang datang dari Barat tetapi mereka sentiasa mempertikai apa ulama cuba bawa serta sampaikan tanpa penilaian yang mendalam.
Bukan nabi atau malaikat
Hakikatnya ialah ulama juga manusia biasa. Mereka bukan nabi-nabi yang maksum, kadangkala mereka juga tersilap dari segi perkataan, perbuatan atau pertimbangan. Mereka juga bukan malaikat, seperti manusia lain mereka turut duji dengan musuh-musuh manusia seperti syaitan dan nafsu.
Dari sudut ini, kita semua adalah sama. Siapa yang tak pernah silap dan siapa pula yang tahu semua perkara? Kalau ulama yang soleh serta hampir dengan Allah SWT boleh tersilap, apatah lagi kita ini yang cetek ilmu serta miskin amalan?
Sebenarnya, kebanyakan kita (termasuk saya) kurang bergaul dengan ulama. Menurut ulama yang mengkaji sejarah Islam, para Sahabat digelar sedemikian kerana mereka bersahabat dengan Rasulullah. Mereka akan bersama-sama dengan Baginda dalam setiap kelapangan yang ada. Malah ada di antara mereka yang pernah berkata yang mereka tidak akan mampu hidup walaupun sehari tanpa menatap wajah Baginda. Begitulah dalamnya kasih mereka terhadap Baginda tercinta.
Melalui persahabatan ini, mereka memperolehi ilmu-ilmu Islam yang masih kekal hingga ke hari ini. Pendekatan ini telah membolehkan para Sahabat melihat sendiri amalan Rasullullah secara dekat di samping menwujudkan hubungan yang mesra serta penuh kasih sayang antara guru dengan murid. Kebanyakan sistem pengajian Islam tradisional seperti sekolah pondok dan madrasah masih mempraktikkan pendekatan ini. Murid-murid akan mengambil giliran berkhidmat kepada guru mereka, melakukan perkara seperti membantu menyediakan keperluan guru mereka atau menolong membereskan sebarang urusan guru tersebut bagi pihaknya.
Perkara sebegini nampak janggal kerana sudah lama tidak diamalkan. Oleh sebab itu, hubungan antara masyarakat dan ulama semakin renggang. Dan jika dibiarkan, keadaan hanya akan menjadi lebih keruh.
Penghormatan sewajarnya
Sebagai orang awam, kitalah yang seharusnya merendah diri untuk mendekatkan diri kita kepada golongan yang dimuliakan Allah ini.
Walaupun ramai di antara kita bukan berasal dari sistem pengajian Islam tradisional, kita masih boleh bergaul dengan mereka dengan menghadirikan diri dalam majlis-majlis agama seperti ceramah, kuliah dan sebagainya. Kita seharusnya merasa gembira apabila berada semajlis dengan mereka kerana secara tidak lansung kita mendapat keberkatan berada dalam majlis yang mengingati Allah serta terhindar daripada berada dalam suasana yang melalaikan.
Para alim ulama sentiasa berbesar hati jika ada orang yang datang menemui mereka untuk mengemukakan sebarang kemusykilan agama. Mereka gembira apabila melihat umat Islam mengambil berat tentang perkara-perkara agama dan sebaliknya mereka berasa dukacita apabila melihat orang lain bersikap bena tak bena tentang akidah, akhlak serta amalan masing-masing.
Sekiranya kita kurang jelas dengan penerangan seorang ustaz atau ustazah mengenai sesuatu, kita boleh menghampiri beliau dengan cara baik dan meminta penjelasan lanjut. Andainya beliau tersilap secara sengaja atau tidak, kita patut menegur mereka mengikut tertib serta dengan penuh hikmah. Maruah serta reputasi mereka boleh tercemar dan perkara buruk mungkin timbul jika kita tidak ambil berat tentang perkara ini.
Menurut ajaran Islam, bersangka baik adalah sesuatu yang disuruh. Ini termasuklah bersangka baik terhadap alim ulama. Sebarang prasangka buruk terhadap mereka perlu diketepikan, selagi perkara buruk yang dikaitkan dengan mereka itu tidak dapat dibuktikan dengan terang dan jelas. Ingatlah bahawa menyebar fitnah serta memecahbelah perpaduan di kalangan umat adalah dilarang keras dalam Islam.
Pendek kata, dalam soal bergaul dengan alim ulama, banyak adab serta tertib yang perlu kita pelajari dan patuhi. Segalanya terlalu panjang untuk diperincikan di sini dan tujuan perenggan-perenggan ini ditulis adalah sebagai pelawaan buat diri saya dan pembaca yang lain agar kita sendiri menilai sejauh mana kita telah menunaikan tanggungjawab kita terhadap para ulama. Mereka telah banyak mencurah keringat, darah dan air mata semata-mata untuk memperolehi keredhaan Allah dan memastikan agama Islam akan terus subur hingga ke akhir zaman.
Allah SWT menjanjikan banyak ganjaran dan kemuliaan kepada mereka yang mengasihi para kekasihNya. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah untuk diri saya serta kita semua untuk mentaati serta memuliakan para ulama yang mursyid seperti yang dihendaki oleh Allah dan RasulNya.