Saya baru balik dari kampung. Ada hal keluarga sikit. Lagipun dah lama tak balik sebab ada peperiksaan, kelas dan sebagainya. Banyak betul benda yang dah berubah. Sepupu-sepupu saya yang dulu kecil, sekarang dah nak mula sekolah. Ada yang dulu belajar, sekarang dah kerja. Yang tua-tua, ada dulu yang kurang sihat, tapi sekarang nampak kuat sikit. Alhamdulillah.
Satu lagi perubahan ketara, makin banyak sangkar burung di keliling rumah Pak Su. Sekarang, dalam rumah pun ada dua tiga sangkar. Dulu di luar saja.
Pak Su saya seorang cikgu. Pagi beliau mengajar, dan waktu petang adalah waktu beliau melakukan rutin beliau sebagai pemelihara burung. Masa petang hari kedua di kampung, saya jumpa beliau di bahagian tepi rumah. Bagi mandi burung, terang beliau. Bagi mandi burung?
Pergi tengok dalam bilik air, kata Pak Su. Saya pun menjenguk dari tepi pintu. Ada sangkar mandi rupanya. Sangkar mandi lain dari sangkar biasa sebab pada lantainya ada dulang untuk isi air. Di situlah burung akan duduk dan membasuh dirinya menggunakan kepak dan paruh. Untuk memindahkan burung tadi dari sangkar ke sangkar mandi, sangkar-sangkar akan dirapatkan pada bahagian pintu. Burung tadi akan terbang dari sangkarnya ke sangkar mandi apabila pintu kedua-dua sangkar tadi dibuka. Pintu sangkar dibuka dengan menariknya ke atas.
Selepas mandi, burung tadi akan akan dimasukkan semula ke sangkarnya. Bergantung pada jenis burung, ada yang boleh terus dibiar begitu dan ada yang perlu dibawa supaya berjemur di bawah cahaya matahari. Murai batu, burung yang saya lihat di dalam air tadi, boleh terus dibawa masuk sangkar dan disangkut semula.
Takda kerja cari kerja. Ini yang orang kata hobi, Pak Su berseloroh. Beliau mengikut jejak arwah datuk tiri saya yang pernah membela burung tekukur. Tapi selepas datuk tiri saya meninggal dunia, Pak Su berhenti membela burung. Ketika itu beliau bimbang tentang hukum Islam mengenainya. Oleh sebab tak pasti, beliau terus tinggalkan hobi tersebut.
Tapi dalam hati dok teringin, seperti beliau kata. Selepas lama berfikir, Pak Su mula mencari kitab-kitab yang menghuraikan tentang hukum berkaitan pemeliharaan binatang, termasuk burung. Dari pembacaan beliau, tak ada hukum yang mengharamkan seseorang dari membela binatang.
Tapi untuk lebih pasti, beliau berjumpa dengan beberap orang ustaz, termasuk beberapa orang yang dari pondok. Mereka pun semua menyatakan perkara yang sama, dalam Islam membela haiwan adalah dibolehkan. Cuma ada sesetengah golongan, seperti para sufi, yang kurang setuju dengan pendapat ini. Tapi secara umumnya, membela haiwan dibolehkan, sebab ada antara ustaz serta alim ulama yang membela ikan, burung helang dan sebagainya. Tak salah membela binatang dengan niat kita ingin mengambil manfaat daripada binatang tersebut, seperti keindahan bulunya atau kemerduan bunyinya. Dengan syarat, janganlah mengabaikannya atau menzaliminya. Kalau nak lebih kepastian, silalah tanya sendiri pada mana-mana ustaz atau orang alim yang arif serta mursyid.
Selepas bersembang-sembang dengan Pak Su tentang bab membela burung, teringat saya kepada satu cerita yang pernah saya dengar dulu. Pada satu ketika, ada seorang alim yang membela seekor burung yang pandai mengajuk suara manusia. Orang alim tersebut pun mengajar burung peliharaannya menyebut kalimah syahadah. Selepas setiap hari diajar, lama-kelamaan burung tadi pun boleh menyebutnya dengan betul.
Suatu hari, sedang orang alim tadi duduk-duduk menikmati kicauan merdu burung peliharaannya, datang seekor kucing yang lapar lalu menerkam burung tersebut tanpa disangka-sangka. Melihat apa yang berlaku, orang alim tuan punya burung tersebut terus jatuh pengsan.
Orang-orang berhampiran tempat itu terus menerpa ke arah orang alim tadi dan berusaha untuk menyedarkan beliau. Selepas sedar semula, mereka yang kehairanan melihat apa yang berlaku pun bertanya, "Tuan guru, adakan tuan pengsan kerana burung kesayangan telah mati? Usah tuan guru bimbang, kami sedia untuk mencari ganti burung tadi dengan burung yang lebih baik."
Orang alim tadi menjawab, "Bukan itu yang membuat aku pengsan. Burung itu aku latih setiap hari supaya pandai menyebut kalimah syahadah. Tapi apabila dia diserang kucing tadi, bukan kalimah syahadah yang keluar dari mulutnya, sebaliknya dia menjerit-jerit dalam bahasa burung. Apabila aku melihat perkara itu, aku bimbang bagaimana keadaan aku nanti ketika aku diserang maut."
Monolog...
12 years ago