Pages

Saturday, 19 August 2006

Perihal membela burung

Saya baru balik dari kampung. Ada hal keluarga sikit. Lagipun dah lama tak balik sebab ada peperiksaan, kelas dan sebagainya. Banyak betul benda yang dah berubah. Sepupu-sepupu saya yang dulu kecil, sekarang dah nak mula sekolah. Ada yang dulu belajar, sekarang dah kerja. Yang tua-tua, ada dulu yang kurang sihat, tapi sekarang nampak kuat sikit. Alhamdulillah.

Satu lagi perubahan ketara, makin banyak sangkar burung di keliling rumah Pak Su. Sekarang, dalam rumah pun ada dua tiga sangkar. Dulu di luar saja.

Pak Su saya seorang cikgu. Pagi beliau mengajar, dan waktu petang adalah waktu beliau melakukan rutin beliau sebagai pemelihara burung. Masa petang hari kedua di kampung, saya jumpa beliau di bahagian tepi rumah. Bagi mandi burung, terang beliau. Bagi mandi burung?

Pergi tengok dalam bilik air, kata Pak Su. Saya pun menjenguk dari tepi pintu. Ada sangkar mandi rupanya. Sangkar mandi lain dari sangkar biasa sebab pada lantainya ada dulang untuk isi air. Di situlah burung akan duduk dan membasuh dirinya menggunakan kepak dan paruh. Untuk memindahkan burung tadi dari sangkar ke sangkar mandi, sangkar-sangkar akan dirapatkan pada bahagian pintu. Burung tadi akan terbang dari sangkarnya ke sangkar mandi apabila pintu kedua-dua sangkar tadi dibuka. Pintu sangkar dibuka dengan menariknya ke atas.

Selepas mandi, burung tadi akan akan dimasukkan semula ke sangkarnya. Bergantung pada jenis burung, ada yang boleh terus dibiar begitu dan ada yang perlu dibawa supaya berjemur di bawah cahaya matahari. Murai batu, burung yang saya lihat di dalam air tadi, boleh terus dibawa masuk sangkar dan disangkut semula.

Takda kerja cari kerja. Ini yang orang kata hobi, Pak Su berseloroh. Beliau mengikut jejak arwah datuk tiri saya yang pernah membela burung tekukur. Tapi selepas datuk tiri saya meninggal dunia, Pak Su berhenti membela burung. Ketika itu beliau bimbang tentang hukum Islam mengenainya. Oleh sebab tak pasti, beliau terus tinggalkan hobi tersebut.

Tapi dalam hati dok teringin, seperti beliau kata. Selepas lama berfikir, Pak Su mula mencari kitab-kitab yang menghuraikan tentang hukum berkaitan pemeliharaan binatang, termasuk burung. Dari pembacaan beliau, tak ada hukum yang mengharamkan seseorang dari membela binatang.

Tapi untuk lebih pasti, beliau berjumpa dengan beberap orang ustaz, termasuk beberapa orang yang dari pondok. Mereka pun semua menyatakan perkara yang sama, dalam Islam membela haiwan adalah dibolehkan. Cuma ada sesetengah golongan, seperti para sufi, yang kurang setuju dengan pendapat ini. Tapi secara umumnya, membela haiwan dibolehkan, sebab ada antara ustaz serta alim ulama yang membela ikan, burung helang dan sebagainya. Tak salah membela binatang dengan niat kita ingin mengambil manfaat daripada binatang tersebut, seperti keindahan bulunya atau kemerduan bunyinya. Dengan syarat, janganlah mengabaikannya atau menzaliminya. Kalau nak lebih kepastian, silalah tanya sendiri pada mana-mana ustaz atau orang alim yang arif serta mursyid.

Selepas bersembang-sembang dengan Pak Su tentang bab membela burung, teringat saya kepada satu cerita yang pernah saya dengar dulu. Pada satu ketika, ada seorang alim yang membela seekor burung yang pandai mengajuk suara manusia. Orang alim tersebut pun mengajar burung peliharaannya menyebut kalimah syahadah. Selepas setiap hari diajar, lama-kelamaan burung tadi pun boleh menyebutnya dengan betul.

Suatu hari, sedang orang alim tadi duduk-duduk menikmati kicauan merdu burung peliharaannya, datang seekor kucing yang lapar lalu menerkam burung tersebut tanpa disangka-sangka. Melihat apa yang berlaku, orang alim tuan punya burung tersebut terus jatuh pengsan.

Orang-orang berhampiran tempat itu terus menerpa ke arah orang alim tadi dan berusaha untuk menyedarkan beliau. Selepas sedar semula, mereka yang kehairanan melihat apa yang berlaku pun bertanya, "Tuan guru, adakan tuan pengsan kerana burung kesayangan telah mati? Usah tuan guru bimbang, kami sedia untuk mencari ganti burung tadi dengan burung yang lebih baik."

Orang alim tadi menjawab, "Bukan itu yang membuat aku pengsan. Burung itu aku latih setiap hari supaya pandai menyebut kalimah syahadah. Tapi apabila dia diserang kucing tadi, bukan kalimah syahadah yang keluar dari mulutnya, sebaliknya dia menjerit-jerit dalam bahasa burung. Apabila aku melihat perkara itu, aku bimbang bagaimana keadaan aku nanti ketika aku diserang maut."

5 comments:

Anonymous said...

Hal tentang membela binatang, aku tak rasa ada salah apapun. Tapi pasal burung ni, kita kurung burung yang sihat tersebut, tidakkah dikira sebagai tindakan zalim? Hal inilah yang aku ragu-ragu sikit. Macam membela ikanlah, kita letakkan dalam balang kecil atau tempat yang tak serupa dengan persekitaran semulajadi tempat binatang yang berkenaan hidup.

Anonymous said...

Kalau kita bela kucing atau burung yang memang dibiarkan bebas, pada aku taklah dikira zalim. Tapi sebenarnya aku sendiri sekarang bela beberapa ekor ikan. Aku letakkan dalam besen besar dan letakkan kayu dan kiambang, kononnya hendak meniru sikit habitat semulajadi binatang tersebut. Aku bercadang untuk dapatkan atau buat tempat yang lebih elok pada masa akan datang. Selain itu rumah aku adalah 3 ekor kucing, yang ketiga-tiganya aku bela daripada kecil.

Anonymous said...

Banyak juga binatang dekat rumah kau, dzul.

Masa aku tadika, duduk di Terengganu, aku ada jumpa kura-kura dekat luar rumah. Belakang rumah aku ada hutan kecil. Aku bela untuk 2-3 minggu lepas tu mak aku suruh lepaskan.

Cakap pasal ikan, teringat aku yang Pak Su aku ada bela ikan koi. Dia kata bos dia ada pergi Jepun. Di sana orang bela ikan koi dalam longkang tepi jalan (aku ada tengok gambar yang bos tu ambil). Ikan koi ni macam binatang suci bagi mereka. Satu sifat ikan koi ni, yang kecil dengan yang besar boleh hidup sekali baik-baik dalam satu kolam atau tempat. Kalau ikan lain siap la.

Anonymous said...

Ahak, aku memang suka kalau cerita tentang binatang peliharaan.Kalau nak ikutkan, aku pernah bela banyak binatang. Kebanyakannya kucing. Tak lama dahulu pernah aku bela seekor ibu kucing, yang lahirkan banyak generasi anak kucing. Tapi anak-anaknya selalu hidup tak lama. Yang berjaya hidup lama sedikitpun cuma akan hidup lebih kurang 2,3 tahun. Lepas tu jatuh sakit dan kemudian mati. Selalunya 2 generasi anaknya sempatlah hidup dalam satu-satu masa. Lebih kurang 2,3 tahun lepas ibu kucing ni mati kena gigit anjing pasal pertahankan anak dia yang sebenarnya dah memang selamat sebab aku letak anak-anaknya dalam satu sangkar besar (utk keselamatan sebab anak2 kucing ni masih kecil). Tak lama kemudian anak-anak kucing yg. tinggal pun mati. Cuma seekor dari generasi sebelumnya yang hidup. Waktu itu usianya dah 2,3 tahun rasanya. Sebenarnya aku memang harap sangat kucing yang terakhir ini hidup lama bawah peliharaan aku sebab kucing ini memang istimewa sikit. Kucing ini cuma mengaku aku seorang saja tuan dia. Dia cuma akan datang kalau aku panggil. Kalau ahli keluarga aku yang lain panggil dia tak akan datang. Malahan duduk berhampiran dengan orang lain pun dia tak mahu. Yang paling kelakar sekali kalau dia nak bergerak dari satu tempat ke tempat lain, kalau ada ahli keluarga aku duduk di tengah-tengah perjalanan, si kucing ini akan ambil jalan yang jauh semata-mata sebab tak nak lalu berhampiran dengan orang yg. duduk di tengah jalan tersebut. Malang sekali kucing ni pun hidup dia tak lama. Dia mati pasal penyakit yang pelik. Perut dia jadi besar dan berat macam ada cecair dalamnya, sampai dia tak mampu nak guna kaki belakang dia. Aku tengok dia memang terseksa bila dia bergerak dengan menyeret badan dia dengan kaki depan sahaja. Sampailah terlintas dalam fikiran aku nak bunuh dia sebab aku memang sedih sangat tengok keadaan dia (agaknya ni pengaruh komik kot T_T). Masa tu memang aku tak mampu nak bawa dia ke klinik haiwan. Tak lama kemudian dia pun mati. Aku tak bela binatang untuk tempoh masa yang lama juga selepas tu, sampailah adik dan bapa aku bawa pulang 3 ekor kucing yang sekarang aku bela ni.

Sebenarnya aku ada banyak lagi cerita tapi lain kalilah. Agaknya org2 yg. baca pun dah boring haha.

r.o.l. said...

Sedih betul cerita kau dzul. Aku pun dulu terfikir, kalau binatang sakit sangat patut ke kita bunuh? Bila teringat bahawa nyawa ni milik Allah (antara sebab kita tak patut bunuh diri, kalau tak silap), memang kita kena serah pada Allah bab hidup mati makhlukNya. Dialah yang lebih bijaksana.

(Hari Merdeka ni mai KL dak?)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan