Pages

Tuesday, 22 April 2008

By the Sea


Apabila Rajab Syaaban, seorang bekas warga Tanzania dari Pulau Zanzibar tiba di UK, dia berpura-pura tak tahu berbahasa Inggeris. Tujuannya ke negara bekas penjajah itu ialah untuk menyelamatkan dirinya daripada ancaman bunuh dan memohon suaka politik.

Pihak yang menguruskan hal ehwalnya tiada pilihan selain daripada mencari seorang penterjemah, sebaik-baiknya seorang yang datang tempat yang sama. Orang yang mereka cari dan akhirnya jumpa ialah Latif Mahmud, seorang pensyarah dari London. Latif bersetuju untuk menolong.

Latif ada sebab tersendiri untuk menolong. Rajab Syaaban adalah nama ayah kandungnya. Dia ingin berjumpa dengan orang yang sudah mengambil nama ayahnya, yang juga mungkin orang yang dicari-carinya selama ini.

Jangkaan Latif ternyata benar. Dia merupakan saudara jauh Latif melalui perkahwinan. Seperti Rajab, Latif juga sudah meninggalkan Zanzibar, mutiara Lautan Hindi yang dari berkurun zaman dulu tak putus-putus dikunjungi pedagang dari serata dunia. Bertahun-tahun sebelum itu, beberapa peristiwa telah berlaku di desa mereka di Zanzibar yang menyebabkan keluarga Rajab Syaaban yang sebenar musnah. Latif percaya Rajab Syaaban palsu ini puncanya. Mereka berdua sebenarnya terkait dalam satu siri tragedi yang bermula puluhan tahun lampau di negara jauh dari pulau kampung halaman mereka.

Seperti yang tertera pada kulitnya, tema By the Sea ialah pemilikan. Tentang bagaimana pengkhianatan dan fitnah boleh memutuskan pertalian silaturahim antara ahli keluarga serta kepedihan menerima hakikat pahit mengenai orang yang dicintai.

Sebahagian besar kisah ini ialah mengenai bagaimana Latif dan Rajab (palsu) sama-sama mencari punca pangkal tragedi yang telah menimpa mereka berdua. Mereka bercerita tentang apa yang mereka tahu, faham dan sangka. Cerita mereka membawa para pembaca ke Tanzania, Jerman, Oman, UK, Iran dan, seperti yang saya ada sebut dulu, Tanah Melayu.

Watak-watak dalamnya ramai yang Muslim, jadi penulisnya Abdulrazak Gurnah banyak menyebut tentang solat, puasa serta membaca Al-Quran serta peristiwa seperti Israk Mikraj dan Aidilfitri kerana bagi ini semua perkara-perkara dalam hidup Muslimin. Saya rasa Abdulrazak tidak bercadang untuk menulis sebuah novel Islamik, tetapi lebih kepada novel yang berlatarbelakangkan Muslimin dan Islam. Tapi ini sekadar pendapat saya sahaja, belum tentu betul.

By the Sea berjaya menarik minat saya untuk meneroka buku-buku Abdulrazak yang lain. Adakah yang lain juga akan seindah (dan sepilu) yang ini?

Buku ini beberapa kali merujuk kepada cerpen Bartleby the Scrivener oleh Herman Melville, penulis Moby Dick. Jika berminat bolehlah membacanya di sini.

4 comments:

ieka said...

is this an english book or a malay book?

Anonymous said...

Bahasa Inggeris, Kak Ieka.

ieka said...

i thought i am younger than you?:P
baguslah tu, dah boleh translate book review sekarang.. :p

Anonymous said...

Belajar-belajar baru.

I notice that some ladies (well, I don't know if you're included) are a bit concerned when I called them Kak.

I call them Kak out of respect, not age. I was thinking if this bothers them so much, I ought to quit. Wallahu 'alam.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan