Mrs. Dalloway. Saya mencapainya waktu zaman saya mencari karya-karya klasik. Ini lebih kurang satu tahun setengah yang lalu.
Tak lama sebelum itu saya ada terbaca sebuah artikel tentang 'fadhilat' membaca karya-karya klasik. Ujar penulisnya, pembaca karya sebegini biasanya mempunyai kesedaran sosial yang lebih tinggi berbanding orang lain. Karya klasik lama mendedahkan seseorang kepada keadaan sosial yang berlainan. Mereka dapat melihat bagaimana orang pada zaman lain hidup serta bagaimanakah keadaan sosio-budaya mereka.
Ada lagi kelebihan-kelebihan lain tapi saya dah lupa.
Saya pilih Mrs. Dalloway, oleh Virginia Woolf, sebab kedegilan saya untuk mendekati karya klasik lain yang lebih dikenali umum. Macam Shakespeare. Masa itu hati juga cenderung untuk mencuba Jane Austen. Tapi Woolf yang menang, sebab harganya RM8. (Austen RM12.)
Beberapa hari yang lalu saya mengambil Mrs. Dallway dari rak dan mula membaca. Hingga ke mukasurat 30 lebih. Dan saya berhenti. Saya patah balik ke mukasurat pertama. Baca perlahan-lahan.
Selepas beberapa percubaan, saya berhenti. Termenung.
Saya tak faham cerita ini. Saya selidik di Internet, mencari petunjuk.
Mengikut sumber yang dijumpai, Woolf menggunakan kaedah arus kesedaran (stream of consciousness) dalam menulis buku ini. Maksudnya, macam orang yang cuba mengingat sesuatu tapi ingatan bercampur-campur dengan ingatan tentang benda lain. Sekejap berada pada masa sekarang, sekejap lain secara tiba-tiba kembali ke masa silam.
Saya angkat bendera putih. Hari ini, Puan Woolf, saya tak berjaya menghadam karya Puan. Mungkin lain
Dalam hati saya ada sedikit rasa kecewa sebab gagal. Keupayaan intelek saya mungkin belum sampai ke tahap mereka-mereka yang mampu merasai kenikmatan karya-karya klasik. Perlu diusahakan lagi.
Namun, kekecewaan saya terubat sedikit. Masa saya memperolehi Mrs. Dalloway, saya turut membawa pulang buku ini.
Alhamdulillah, yang ini saya (kira) faham(lah jugak). Dubliners ialah sebuah eksperimen sastera, antologi cerpen-cerpen James Joyce yang berlatar belakangkan kehidupan masyarakat kota Dublin, Ireland.
Pengajaran yang dapat dari pengalaman ialah apabila membaca sesuatu, khususnya karya klasik, jangan paksa diri untuk faham. Lagipun ini sosio-budaya yang berlainan daripada sosio-budaya kita. Kefahaman akan datang perlahan-lahan. Bersamanya insya-Allah, kesedaran sosial yang lebih tinggi.
Dan kesedaran sosial tidak akan datang secara dipaksa-paksa. Sabar, Wak, sabar.
0 comments:
Post a Comment