Pages

Friday 5 June 2009

A Hundred and One Days


Buku tentang peperangan memang sukar untuk saya. Mungkin kerana isinya terlalu merenggut perasaan. Atau mungkin sukar bagi saya untuk membaca fakta hanya sebagai fakta.

Dalam A Hundred and One Days: A Baghdad Journal, wartawan dari Norway Åsne Seierstad (beliau fasih dalam sebilangan bahasa, melaporkan berita untuk beberapa negara serentak) membawa pembaca melalui saat-saat kejatuhan kerajaan Iraq Saddam Hussein pada 2003. Peristiwa yang berlaku diceritakan melalui kacamata tajam seorang wartawan yang jarang terlepas daripada menangkap sisi-sisi penghidupan serta manusia yang menjalaninya.

Perang Iraq ialah antara perang yang paling mengelirukan yang pernah berlaku. Lebih- lebih lagi buat rakyat Iraq sendiri. Negara tersebut sudah pun berada dalam keadaan ekonomi yang teruk sebelum dan selepas Perang Teluk 2000-2001. Pemerintahan Presiden Saddam menjadi sasaran kegemaran Amerika untuk beberapa tahun. Pada 2003, Amerika Syarikat, Britain dan beberapa negara penyokong lain mula menggerakkan tentera mereka ke bumi Iraq.

Saat getir ini telah menghimpunkan sejumlah wartawan dari serata dunia untuk membuat liputan. Seierstad sendiri tidak asing dengan zon-zon konflik sebegini. Secara tak lansung, beliau sendiri tersua dengan beberapa kenalan lama serta rakan sejawatan yang sama-sama pernah dikejar peluru di penjuru dunia yang lain sebelum ini.

Seierstad bekerja kuat untuk membawakan gambaran sebenar apa yang berlaku di Iraq. Saya agak terbuka dengan pandangan Seierstad kerana beliau melaporkan untuk media yang bukan AS atau Britain, yang sering kali berat seberat dalam penyampaian mereka. Seierstad sendiri meminta pembaca agar tidak melihat peristiwa ini dari perspektif media sebuah negara sahaja.

Tumpuan utama buku ini tentunya rakyat Iraq. Kehidupan mereka berubah dengan penaklukan ini. Secara umumnya penaklukan ini dilihat oleh mereka daripada dua aspek. Pertama, aspek maruah bangsa Iraq yang sedang diasak musuh yang cuba memerdekakan mereka daripada sebuah rejim yang sudah lama menindas mereka. Di bawah pemerintahan Presiden Saddam ramai rakyat negara tersebut dizalimi, diculik, diseksa dan juga dibunuh. Inilah antara modal yang dijaja oleh tentera penceroboh, perampas kerajaan mereka. Meskipun kerajaan ini sebuah kerajaan yang korup, mereka percaya merekalah yang patut menumbangkannya.

Segolongan lagi rakyat Iraq memilih untuk melihat penaklukan ini sebagai satu permulaan baru. Mungkin demokrasi akan lahir di Iraq, mengubah nasib serta corak pemerintahan negara pertemuan dua sungai purba ini, iaitu Tigris dan Euprates. Namun hingga ke hari ini, harapan ini masih belum terlaksana.

Membaca buku ini mengajar saya serba sedikit tentang dunia kewartawanan, khususnya yang melibatkan zon-zon berkonflik. Contohnya, sebahagian daripada wartawan ini memang berasal dari latarbelakang tentera atau pernah terlibat dalam sebarang peperangan. Pengalaman mereka menjadi aset terutamanya dalam saat-saat yang mengancam nyawa.

Satu perkara lagi ialah tentang penyebaran gambar-gambar kanak-kanak mangsa perang. Jarang sekali kita melihat gambar-gambar sebegini dalam media arus perdana. Antara sebabnya ialah ianya sering disekat. Sentimen yang dicetuskan oleh gambar-gambar sebegini begitu kuat, hingga syarikat penyiaran sering mengelak dari menyiarkannya. Mungkin ini satu bentuk sensorship, atau mungkin benar sentimen yang kuat akan mengakibatkan syarikat tadi terpaksa berhadapan dengan reaksi daripada pembaca. Seingat saya, gambar kanak-kanak Gaza yang malang sebelum ini banyaknya datang dari Internet, bukan daripada media-media utama seperti berita akhbar atau TV.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan