Pages

Wednesday 23 December 2009

HTML 5, CSS 3 dan kenangan membina laman web



Baru-baru HTML 5 dan CSS 3 telah diperkenalkan. Saya tidak pandai membuat analogi, tetapi percubaan terbaik saya untuk menggambarkan apakah Hypertext Markup Language (HTML) dan Cascading Style Sheets (CSS) dalam maksud yang kurang teknikal adalah: HTML ibarat isi dan tulang sesebuah laman web manakala CSS ibarat kulitnya. HTML digunakan untuk tujuan pengstrukturan laman web dan CSS digunakan untuk memberikannya rupa yang dikehendaki. Saya harap analogi ini tidak mengelirukan.

Semasa saya meneliti artikel-artikel yang membincangkan potensi serta kekurangan (buat masa ini) HTML 5 dan CSS 3, saya teringat pada zaman saya mula-mula belajar untuk membuat laman web. Percubaan pertama saya merupakan tugasan yang diberikan oleh tutor saya dalam subjek Multimedia. Ketika itu saya merujuk kepada dengan rakan saya, Ar. Bayangkan, saya seorang pelajar bidang komputer duduk berguru daripada seorang pelajar dari fakulti Bahasa Arab. Sebenarnya sesiapa pun yang boleh belajar untuk memanfaatkan Internet jika mempunyai minat dan kesanggupan untuk belajar.

Selepas 'ditauliah' oleh Ar, saya ke perpustakaan untuk mencari buku-buku berkaitan rekaan laman web. Saya telah meminjam dan menelaah beberapa buah buku dan mula berazam untuk membuat laman saya sendiri. Sasaran saya hanya sebuah laman web hanya sebuah laman web yang ringkas, memadai untuk saya bereksperimen menggunakan HTML dan CSS. Ketika HTML masih dalam versi 4.5 dan CSS pula versi 2.

Lama web pertama saya telah dimuat naik ke Geocities, sebuah perkhidmatan web hosting yang serba ringkas yang juga telah berhenti beroperasi pada tahun ini. Dengan kata lain, laman web saya yang ini sudah lenyap dari alam siber. (Salinannya yang asal pula telah lenyap akibat hard disk saya yang juga telah berhenti beroperasi.)

Pengalaman inijuga telah meyedarkan saya tentang pentingnya kandungan atau content. Apa gunanya sebuah laman web yang cantik pada luarannya tetapi lansung tidak mengandungi sebarang sebarang maklumat yang berguna? Tujuan utama orang mengunakan Internet adalah untuk mencari maklumat, bukan untuk mencuci mata dengan melihat laman web yang cantik-cantik. (Ya, saya sedar bahagian akhir ayat tadi boleh ditafsir dengan maksud lain.)

Ketika itu saya baru sahaja tamat pengajian pada peringkatan sarjana muda dan mula berfikir untuk bekerja. Namun perancangan Allah telah meletakkan saya di rumah di mana saya dan keluarga sibuk menguruskan arwah datuk saya yang sedang agak kritikal di hospital. Saya ke hospital pagi dan tengah hari, mengirimkan makanan kepada saudara yang menemani datuk dan menjemput mereka yang usai giliran meneman untuk pulang. Rutin ini memampukan saya mencuri-curi masa untuk eksperimen HTML dan CSS saya.

Pada masa yang sama, saya cuba untuk menulis kandungan untuk laman web saya yang kedua. Memandangkan kegilaan saya terhadap anime dan manga pada masa itu sedang melangit, saya memilih untuk menulis ulasan tentang beberapa siri yang saya telah atau sedang baca dan tonton. Namun tulisan saya yang paling panjang merupakan sebuah artikel mengenai kartunis Dato' Lat. Artikel yang termuat dalam dua muka surat laman web itu telah diilham oleh sebuah dokumentari tentang beliau yang disiarkan melalui Disovery Channel dan buku autobiografi beliau, Lat on Lat. Semasa saya kecil, ayah saya selalu membelikan saya buku-buku koleksi kartun beliau, antaranya Kampung Boy, Better Lat than Never, Mat Som dan Entahlah Emak. (Hingga kini saya masih mencari kedai yang menjual Town Boy). Sayang sekali ada di antara buku-buku ini yang hilang, kemungkinan besar tercicir semasa kami berpindah rumah.

Saya cuba untuk mencari laman web kedua saya, tetapi nampaknya laman web ini sudah tidak lagi wujud. Yang masih kekal bersama saya adalah ingatan pada saat-saat saya berkerut dahi kerana cuba memahami bagaimana HTML dan CSS berfungsi.

HTML 5 datang membawa perubahan-perubahan yang saya lihat sebagai amat memudahkan. Begitu juga CSS 3. Banyak perkara yang dulu terbatas oleh CSS 2 yang kini menjadi senang dengan adanya CSS 3. Ini termasuk kaedah yang lebih mudah untuk memuatkan video dan audio ke laman web menggunakan HTML 5.

Saya tidak bercadang untuk mengulas secara teknikal perubahan-perubahan ini. Cukuplah jika saya katakan bahawa untuk mempelajari rekaan laman web pada masa sekarang adalah lebih mudah berbanding dengan beberapa tahun yang lalu. Inilah realiti tentang pengetahuan teknologi; apa yang kita kuasai hari ini akan kelak digantikan dengan sesuatu yang baru dan lebih canggih. Kita hanya akan maju jika kita terus-menerus belajar untuk meningkatkan pengetahuan yang sudah ada.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan