Pada hujung tahun selama dua tahun berturut-turut, saya bawakan senarai
5 Buku Ter..., yakni lima buah buku yang meninggalkan kesan mendalam pada diri saya pada tahun tersebut. Namun saya tidak mampu meneruskan 'tradisi' ini kerana masa saya sudah tidak sesenggang dahulu.
Oleh itu saya rangkumkan buku-buku yang seumpama dari tahun 2011 dalam senarai ini. Sebagai kompromi, saya pendekkan nama senarai tetapi saya panjangkan isinya daripada 5 kepada 10. Dan senarai ini dibawakan sekali harung, bukan dalam lima bahagian seperti sebelum ini. (Tiada lagi suspen!)
Inilah pilihan 10 buku dari 2011 saya.
Islam in Malaysia: Perceptions and Facts
Penulis: Ustaz Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (diterjemahkan oleh U-En Ng)
Penerbit: Matahari Books (2010)
343 halaman
Seseorang itu boleh dilabelkan sebagai kontroversial kerana sebab yang munasabah atau tidak munasabah. Atau kedua-duanya, seperti dalam kes Ustaz Dr. Mohd Asri dan tokoh-tokoh yang lantang menegur masyarakat. Harga yang perlu dibayar demi membawa masyarakat Islam ke arah pembaikan dan
relevancy. (
Entri asal.)
Liku-Liku Pencarian Nur Islam: Pengalaman Memeluk Islam di Barat
Penulis: Sulaiman Dufford (diterjemahkan oleh Noresah Baharom)
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia (2010)
248 halaman
Hadiah Hari Ulang Tahun Kelahiran daripada isteri tercinta. Buku ini akan membuatkan berfikir kita secara mendalam tentang apa yang perlu dilakukan untuk memajukan dakwah Islam dan membantu saudara baru. Berita pemelukan Islam oleh saudara baru selalu disambut dengan dengan gembira oleh penganut Islam sejak lahir, namun realiti yang didepani oleh saudara baru mungkin tidak seindah yang kita bayangkan.
The Creative Habit
Penulis: Twyla Twarp dan Mark Reiter
Penerbit: Simon and Schuster (2005)
256 halaman
Buku tentang kreativiti adakalanya dipenuhi teori-teori, atau saranan yang tidak jelas kaedahnya. Tidak dengan The Creative Habit. Ditulis oleh seorang koreografer ternama dari Broadway, buku ini menekankan kepada perbuatan yang menjana kreativiti, di samping menerangkan tulang dan daging yang membentuk sebuah karya kreatif. Banyak mengandungi rujukan kepada budaya dan seni Amerika, bersedialah untuk berulang kali mengGoogle dan mengWikipedia.
Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat
Penulis: Ustaz Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Penerbit: Utusan Publication Sdn Bhd (2010)
292 halaman
Koleksi kedua tulisan Ustaz Dr. Asri di ruangan Bicara Mufti selepas Mengemudi Bahtera Perubahan Minda (yang diterjemah menjadi Islam in Malaysia). Buku ini disudahi dengan catatan beliau semasa melepaskan jawatan mutfi.
Every Living Thing
Penulis: James Herriot
Penerbit: St. Martin's Griffin (2005)
352 halaman
Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sesuatu yang begitu menyentuh sanubari kita. Setiap perkara pasti berakhir. Begitulah juga siri semi-autobiografi doktor haiwan desa James Herriot, atau nama sebenar beliau Alf Wight, yang turut merakamkan cerita tentang pahit getir, suka duka para petani, penternak, dan pemilik haiwan di Yorkshire dan jalinan indah di antara makhluk-makhluk Allah yakni manusia, haiwan, dan alam. (
Entri asal.)
Insanely Great: The Life and Times of Macintosh, the Computer that Changed Everything
Penulis: Steven Levy
Penerbit: Penguin (2000)
336 halaman
Apple bukanlah Steve Jobs dan Steve Jobs bukanlah Apple. Apple terdiri di atas usaha Jobs, Steve Wozniak, dan ramai lagi individu, membentuk DNA syarikat yang sedang paling dicemburui saat ini. Cerita di sebalik kelahiran Apple Macintosh, komputer yang mengubah dunia.
Fun fact #1: Apple Macintosh adalah komputer pertama yang direka untuk dioperasikan mengguna tetikus.
Fun fact #2: Pada tahun 1984, tahun Macintosh dilancarkan, penulis dan teknologis John C. Dvorak melihat melihat tetikus Macintosh lalu berujar, "
tiada bukti ada orang yang akan mahu menggunakannya." Saya percaya Encik Dvorak kini telah menilai semula pendapat beliau tersebut. (
Entri asal.)
This Earth of Mankind
Penulis: Pramoedya Ananta Toer (diterjemahkan oleh Max Lane)
Penerbit: Penguin (1996)
368 halaman
Buku pertama di dalam tetralogi Buru. Raden Mas Minke, anak watan berpendidkan Belanda, bangkit mencabar penjajahan melalui pena dan pemikiran. Perkenalannya yang secara tidak diduga dengan Nyai Ontosoroh, wanita simpanan seorang hartawan Belanda, dan anak perempuannya Anneliesse, membuka pintu-pintu baru buat Minke, termasuklah pintu kepada tragedi. Pak Pramoedya sememangnya seorang
master storyteller. (
Entri asal.)
Bermula dan Berakhir
Penulis: Naguib Mahfouz (diterjemahkan oleh Shamsuddin Jaafar)
Penerbit:Dewan Bahasa dan Pustaka (1993)
622 halaman
Saya mula-mula tertarik dengan novel ini kerana Naguib Mahfouz. Tetapi usai membaca novel saya lebih berminat untuk mengetahui siapakah Shamsuddin Jaafar. Terjemahan beliau terasa begitu jati. Bagi saya plot novel ini biasa-biasa sahaja. Tentang orang miskin yang sudah jatuh kemudian ditimpa tangga dan tangga itu patah lalu menikam badannya, mengakibatkan kesakitan yang amat sangat dek luka yang dalam serta busuk bernanah, menyebabkan seluruh keluarganya menangis tidak berhenti-henti... Ya, ya, kasihan mereka ini. Pak Pramoedya dan Naguib Mahfouz kedua-duanya sama kepala, suka menyeksa watak-watak mereka hingga luluh jasad dan jiwa. Apapun, Shamsuddin Jaafar dan Max Lane, syabas buat Tuan berdua. (
Entri asal.)
The Story of The Qur'an: Its History and Place in Muslim Life
Penulis: Ingrid Mattson
Penerbit: Wiley-Blackwell (2007)
272 halaman
Tidak banyak buku akademik yang mudah dibaca dan difahami. The Story of The Qur'an adalah satu kelainan. Kali pertama saya melihat sejarah dan signifikasi Al-Quran dalam kehidupan orang Islam dari kaca mata seorang ahli akademik Barat, yang juga seorang Muslimah. (
Entri asal.)
Lessons of the Crusades and the Mongol Hordes: Salahuddin al-Ayyubi and his Successors
Penulis: Sheikh Syed Abul Hasan Nadwi (diterjemahkan oleh Mohiuddin Ahmad)
Penerbit: Islamic Book Trust (2007)
118 halaman
Abaikan muka J.W. yang ada pada kulit hadapan buku ini. Beliau tidak ada kena-mengena (secara lansung) dengan isi kandungan buku ini, iaitu mengenai dua
turning point yang penting dalam sejarah umat Islam. Naskhah yang nipis tetapi sarat dengan pengajaran. (
Entri asal.)
Mula-mula saya katakan 10 buku, tetapi tidak mungkin senarai ini akan lengkap tanpa buku ini.
Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri
Penulis: Pendita Za'ba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (2005)
103 halaman
Satu fenomena menyedihkan di kalangan sesetengah agamawan ialah menuduh orang lain yang berbeza pendapat atau aliran dengan bermacam-macam tuduhan, daripada bermasalah kepada sesat hingga ke kafir. Apa yang menimpa Pendita Za'ba, yang mana beliau disekat oleh Sultan Perak atas desakan golongan agamawan juga, wajib dijadikan pengajaran oleh kita semua. Janganlah kita menyebelahi satu pihak tanpa berfikir panjang. "Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.” Perintah Allah kepada kita dari Surah Al Israa ayat ke-36. (
Entri asal.)
Apakah buku-buku terbaik yang saudara saudari baca pada 2011? Bolehlah kita cadang-mencadang apa pula untuk kita baca 2012 ini.