Pages

Thursday, 9 February 2012

Travelog Minda Tajdid

Sumber: bukuonline2u
Buah tangan dari Ustaz Dr. Mohd Asri sentiasa saya nanti-nantikan. Buku-buku beliau sentiasa mengetuk pintu minda saya agar lebih terbuka, agar melihat isu-isu Islam dari persepsi yang baru dan segar. Hujah beliau diiringkan nas-nas dari Al-Quran dan Sunnah serta sari khazanah ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Taimiyyah, Hamka, dan lain-lain. Tiada pilih bulu dalam penulis Ustaz Dr. Asri; baik orang awam, para agamawan, mahu pun pemimpin peringkat tertinggi negara, semuanya menerima teguran beliau. Kerana ini beliau disenangi (serta dimarahi) ramai, hingga beliau dijemput ke majlis utama parti-parti politik negara kita sebagai tetamu dan pemerhati. Barangkali ramai lagi Ustaz yang menerima jemputan yang sama dan berdiam mengenainya. Sama ada ini menunjuk-nunjuk tentunya bukan untuk kita persoalkan. Saya lebih suka melihat ini sebagai keterbukaan orang politik dalam menerima kehadiran para agawaman, dan moga-moga pandangan mereka juga.

Buku ini mengandungi koleksi artikel Ustaz Dr. Mohd Asri yang ditulis selepas tamat tempoh perkhidmatan beliau sebagai Mufti Negeri Perlis Indera Kayangan. Beliau berjaya menerima peluang untuk menjalani sabbatikal akademik di UK, maka sebab inilah kulit depan buku ini berbunyi, "Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat." Artikel-artikel di dalam buku ini juga tersimpan di laman web rasmi beliau, Minda Tajdid.

Tahniah buat PTS kerana berjaya berkerjasama dengan Ustaz Dr. Mohd Asri untuk menerbitkan artikel-artikel beliau dalam bentuk buku hard copy.

Baru-baru saya ada terbaca tentang pertikaian penggunaan istilah "merekodkan" hadis oleh PTS di dalam buku-buku terbitan mereka, menggantikan istilah "meriwayatkan" hadis seperti biasa difahami umum oleh orang Islam. Saya kurang pasti mengapa PTS menggunakan istilah ini, tetapi saya percaya ini ada kaitan dengan strategi PTS untuk menarik golongan pembaca Muslim yang masih kurang dalam penghayatan agama Islam, serta golongan pembaca bukan Muslim. Secara rasional, istilah "merekod" lebih mudah difahami oleh mereka berbanding istilah "meriwayat." 

Namun, saya fikir pertukaran ini perlu dibincangkan kerana istilah yang berkaitan seperti perawi hadis, sanad, dan sebagainya bukan hanya melibatkan tugas merekod hadis. Para perawi hadis adalah individu yang mempunyai sifat-sifat tertentu, terutamanya akhlak dan peribadi yang terpuji, beramal soleh, dan mempunyai kekuatan memori yang tidak mengundang kesangsian. Sedangkan merekod boleh dilakukan oleh sesiapa pun, menggunakan media yang sedia ada. Dari segi ilmu hadis, meriwayat mempunyai makna yang lebih mendalam berbanding merekod. Untuk ini saya cadangkan agar pihak PTS menyediakan glosari untuk edisi ulang cetak buku ini bagi menerangkan tujuan serta makna istilah-istilah yang digunakan, yang secara lansung akan membantu golongan yang disebut untuk memahami kandungan buku dengan lebih baik. Matahari Books pun ada menyiapkan glosari bagi buku Islam in Malaysia.

Ini satu perkara teknikal yang tidak menjejaskan integriti kandungan buku. Sebahagian besar buku ini membicarakan isu-isu politik dan pentadbiran. Isu-isu yang pernah timbul tidak lama dahulu seperti polemik pelaksaan sistem hudud dan peralihan tampuk pemerintahan negara turut diberi perhatian. Malah satu salah artikel yang dimuatkan di dalam buku bertajuk, "Salam Untuk Perdana Menteri Baru." Ucapan tahniah dan takziah beliau hulurkan; tahniah atas perlantikan, dan takziah atas bebanan yang digalas. Satu nasihat relevan buat semua pemimpin, termasuklah para pemimpin keluarga. Kita ingatkan dengan kisah Khalifah Umar Abdul Al-aziz yang menangis selepas dilantik khalifah hingga basah janggutnya mengenangkan soalan yang bakal diajukan oleh Allah di akhirat kelak tentang rakyat di bawah pemerintahannya. Berapa ramai pengantin lelaki yang menangis kerana takutkan Allah selepas melafazkan, "Aku terima nikahnya..."

2 comments:

nahmy said...

assalamualaikum, once I went to PTS translation course dan ada diskus mengenai istilah2 yg spt tuan cerita tu. PTS memang mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka menggunakan istilah2 sedemikian & selalunya mereka dah berbincang terlebih dulu dgn penulis. apapun...mungkin tuan juga bole diskus dgn mereka ttg isu ni..

r.o.l. said...

Alaikum salam, nahmy. Terima kasih atas penerangan. Saya juga pernah ke kursus penterjemahan PTS. Saya membangkitkan perkara ini selaku seorang pembeli produk PTS. PTS ada banyak idea yang baik dan luar kotak. Dan ada juga idea mereka, yang pada pendapat saya, boleh dipertingkatkan dan diperbincangkan lebih lanjut.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan