Pages

Tuesday 12 June 2012

Pluto Jilid 1–8 (Tamat)

Pluto Jilid 1 (Sumber: SF Signal)

Saya pernah cerita sebelum ini tentang hadiah hari lahir termahal yang pernah saya belikan untuk diri sendiri, iaitu seluruh set manga berjudul Pluto edisi Bahasa Inggeris. Ada dua sebab kenapa saya telah borong kesemua lapan jilid sekali gus.

Pertama, kerana ia oleh Urasawa Noaki. Urasawa sebenarnya terkenal dengan karya yang berjilid-jilid panjang seperti Monster dan 22th Century Boys, yang tamat pada jilid ke-18 dan ke-22. Pluto hanya 8 jilid. Waktu saya mula-mula ke kedai, jilid pertama Pluto telah habis dijual. Lalu saya tempah senaskhah dan kira-kira dua minggu kemudian saya sambar kelapan-lapan jilid. Bimbang kalau akan ada jilid lain pula yang akan habis. Dan itu sebab kedua.

Keistimewaan Urasawa Naoki ialah beliau sangat cekap menulis cerita-cerita yang penuh dengan plot twist yang membuatkan pembaca tidak senang duduk. Semakin dekat kita dengan penghujung cerita, akan ada sesuatu yang Urasawa akan campakkan yang akan memesongkan jangkaan atau sangkaan kita tentang cerita itu. Satu lagi kelebihan Urasawa ialah keupayaan beliau dalam melahirkan rasa simpati terhadap watak-watak yang beliau perkenalkan, termasuklah watak jahat dan sampingan.

Pluto adalah penceritaan semula sebuah jalan cerita dalam siri Tetsuwan Atom (Astro Boy) berjudul Chijô Saidai no Robotto atau Robot yang Terkuat di Dunia. Tetsuwan Atom adalah karya Tezuka Osamu, yang juga dikenali sebagai Bapa Manga dan Anime.

Perbandingan di antara Chijô Saidai no Robotto (atas) dan Pluto (bawah). Sumber: du9

Dengan restu dan kerjasama dari anak mendiang Tezuka Osamu, Makoto, Urasawa mengadaptasi Chijô Saidai no Robotto dengan  memberikan watak-watak asal ciptaan Tezuka wajah dan bentuk yang lebih hampir dengan dunia yang kini. Hasilnya, sebuah cerita yang bukan sekadar menumpang kekuatan dari sumber asal tetapi mempunyai perspektif, persoalan, serta identitinya yang tersendiri.

Pluto mengambil tempat di sebuah dunia di mana manusia dan robot hidup di samping satu sama yang lain. Kehidupan harian manusia dipermudahkan dengan bantuan robot domestik. Keamanan turut dipantau oleh polis-polis robot khas. Kemajuan teknologi telah meningkatkan hubungan manusia-robot ke tahap yang hampir simbiotik.

Tidak seperti manusia, robot mempunyai jasad yang pelbagai bentuk. Ada yang kelihatan seperti kotak atau perabot bergerak, dan ada robot canggih yang begitu mirip dengan manusia dari segi rupa serta keupayaan intelek. Malah ada robot yang mempunyai pasangan hidup dan berkeluarga. Kekurangan mereka yang paling ketara ialah kemampuan untuk mengalami, memahami, dan mempamerkan emosi.

Salah sebuah robot canggih ini ialah Gesicht, seorang (sebuah?) detektif di Europol Jerman. Dia ditugaskn untuk menyiasat pembunuh misteri sebuah robot pemelihara hutan bernama Mont Blanc. Pemergian Mont Blanc yang juga simbol keamanan sejagat ditangisi ramai orang di seluruh dunia.

Pembunuhan itu disusuli beberapa kematian yang hampir serupa modus operandinya. Tiada kesan organik tubuh badan manusia seperti cap jari atau DNA yang ditemui di tempat kejadian. Hanya satu persamaan yang ada pada setiap pembunuhan; sepasang batang atau kayu atau dijumpai terpacak pada tepi kepala mangsa.

Apabila bukti dan petunjuk gagal menunjukkan sama ada pembunuh tersebut manusia atau robot, Gesicht ke Jepun untuk memohon bantuan dari seorang robot berteknologi tinggi bernama Atom. Atom mempunyai tubuh kanak-kanak dan cuba sedaya mungkin untuk hidup seperti seorang kanak-kanak normal. Inilah impiam Atom yang mungkin tidak akan tercapai.

Atom mengetahui satu rahsia yang menyayat
hati tentang Gesicht (sumber: Muttpop)

Mont Blanc, Gesicht, dan Atom tergolong di kalangan tujuh robot yang terhebat di dunia. Ketujuh-tujuh robot ini pernah terlibat dalam perang yang dikenali sebagai Konflik Asia Tengah ke-39. Selepas terbunuhnya tiga daripada tujuh robot yang dimaksudkan, Gesicht dan Atom percaya bahawa mereka bakal menjadi sasaran, dan kemungkinan besar pembunuh ini mempunyai kaitan rapat dengan konflik tersebut yang telah mengorbankan ribuan manusia dan robot.

Persoalan tentang perbandingan robot dan manusia, misalnya, menyebabkan saya terfikir. Dari satu segi, robot boleh dilihat sebagai abstraksi manusia. Saintis mungkin berjaya mencipta robot yang dapat mensimulasikan aspek fizikal manusia, namun cabaran besar masih menanti mereka di bidang emosi dan kognitif.

Bagaimana pula robot dapat mengimbangi fizikal dengan emosi? Pluto, robot pembunuhan dalam cerita ini, dikatakan mempunyai kekuatan luar biasa di samping emosi dendam yang bersemarak. Dendam ini menjadi sumber kekuatan Pluto. Manusia mampu menimbang dan memaafkan. Inilah pengaturcaraan tercanggih oleh pengaturcara teragung.

Sesuatu yang amat menarik untuk diamati idea bagaimana emosi boleh dikuantifikasikan sebagaimana berat atau ketinggian. Pluto sebagai sebuah manga sains fiksyen mengingatkan saya kepada firman Allah di dalam Surah At-Tin, tentang manusia selaku sebaik-baik kejadian. Dalam mencipta robot yang mirip-mirip manusia, aspek fizikal, emosi, dan intelek perlu disintesiskan dan diseimbangkan. Sejauh mana manusia telah sudah serta akan berjaya, hanya Yang Esa sahaja yang tahu.

Dan adakah saya akan buat sesuatu yang sebegini untuk hari-hari lahir akan datang, hanya Yang Esa sahaja yang tahu.

Pluto Jilid 8 (About.com Manga)

1 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Copyright 2009 introspector. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan