Ah, sedih, sedih. Dah berapa pos yang ditulis sempena Bulan Berbahasa, yang telah dirasmikan 16 haribulan lalu? 1, 2,.......3! Satu kalau ikutnya. Satu pemberitahuan (pos yang pertama) dan satu lagi promosi untuk jualan Gundam terpakai. Walau bagaimanapun, saya tetap mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang sudi mengambil bahagian.
Hari Merdeka pun dah berlalu, hampir-hampir ditenggelami oleh kemeriahan menyambut perkahwinan seorang artis ternama kesayangan ramai. Saya pula ada satu ujian pertengahan penggal sehari sebelum Merdeka, jadi dalam fikiran yang nampak kertas soalan yang berkibar-kibar. Sungguh tak berperikewarganegaraan saya ni.
Tarikh 31 Ogos lalu juga merupakan tarikh pelancaran saluran 75 Astro iaitu Animax. Ramai peminat-peminat anime seluruh Malaysia (yang ada Astro, atau ada kawan atau saudara yang ada Astro dan bagi mereka pilih saluran mana nak tengok kalau teringin) menyambut ketibaannya dengan gembira. Saya pun gembira juga, tapi mungkin tak segembira orang lain.
Sebelum Animax diperkenalkan, saluran AXN pernah menghidangkan siri-siri anime untuk beberapa dalam program hariannya. Antaranya
Shadow Skill,
Sakura Wars (siri 1),
Starship Girl Yamamoto Yohko,
Rave dan tentu sekali,
You're Under Arrest!. Tetapi selepas sahaja Animax disiarkan kali pertama di saluran satelit di negara-negara luar seperti Filipina dan Singapura, slot anime AXN telah dikurangkan kepada satu siri sahaja dan akhirnya ditamatkan sama sekali. Kejam sungguh mereka.
Kemudiannnya ada idea dari Astro untuk menayangkan Animax di saluran borak mereka, @15. Sebagai saluran borak melalui SMS, kebanyakan paparan saluran tersebut (kira-kira 4/6) adalah untuk memaparkan mesej-mesej yang telah penat-penat dihantar oleh pengirimnya untuk mereka-mereka yang turut sama berborak. Siri-siri dari Animax (kalau tak silap saya) kebanyakannya ditayangkan pada awal pagi. Animax yang ditayang dengan 2/6 skrin sahaja, dan mesej yang muncul tak putus-putus pada paparan selebihnya. Kekejaman mereka sekadar berganti wajah.
Dan akhirnya pada 31 Ogos 2006, peminat-peminat anime Malaysia telah dimerdekakan daripada kekejaman-kekejaman tadi, dengan kemunculan Animax melalui salurannya tersendiri. Tiada lagi mesej demi mesej berentetan, mendominasi pandangan serta ancaman slot yang semakin dikecilkan dari hari ke hari.
Tapi sejak Animax ke udara, saya baru menontonnya selama 1 jam. Itupun 2 episod
Honey and Clover musim 1 yang saya pernah tonton sebelum ni. Ada seorang kawan saya dari Shah Alam telah menghabiskan malam (dan siang) Merdeka bersama Animax.
Macam saya cakap tadi, saya tak segembira peminat anime yang lain. Sebabnya Animax merupakan saluran alih suara Bahasa Inggeris. Anime, bagi saya, kalau sudah dialih suara, akan kehilangan sedikit sebanyak keunikannya. Melainkan kita belum menontonnnya dalam Bahasa Jepun (tentulah dengan sari kata, pengetahuan saya tentang perkataan Bahasa Jepun hanyalah setakat sebutir dua). Ada sebabnya seseorang pelakon suara atau
seiyū itu dipilih untuk memainkan seseorang watak dalam sesuatu cerita oleh pengarah dan produsernya. Dan melalui proses alih suara, pelakon suara yang sesuai mungkin tidak berjaya ditemui dan mereka mengambil sesiapa yang berkemahiran, dan bukan semestinya mempunyai suara yang padan dengan watak tersebut.
Tapi ada juga masa di mana alih suara dilakukan dengan berjaya dan 'spot-on'. Contohnya pemilihan Billy Crudup (Almost Famous, Big Fish) untuk memainkan watak Putera Ashitaka dalam versi edaran Disney filem anime
Mononoke Hime (Princess Mononoke). Tapi ini projek berbajet besar, sedangkan siri anime biasa tak mempunyai kelebihan kewangan sebanyak ini. Cuma apa yang saya nak kata, saya bukan anti-alih suara tapi biarlah suara pelakon yang dipilih itu kena dengan personaliti sesuatu watak, dan mampu membawanya dengan baik.
Saya rasa saya patut berhenti di sini. Kerja-kerja sekolah saya sedang memanggil-manggil di meja dan di komputer.
Suara-suara yang enggan didiamkan, nampaknya.