Ada sekali saya terdengar dalam satu majlis tazkirah.
"Orang Islam sekarang kalau disuruh sembah berhala, dia akan marah sebab katanya, ini syirik. Tapi kalau berhala tadi diperbuat daripada emas, dan ianya dileburkan menjadi jongkong-jongkong. Dan apabila orang tadi lihat jongkong-jongkong tadi, lalu berbisik, kalau aku dapat emas ini aku boleh jadi kaya dan aku boleh buat itu dan ini. Sebenarnya, inipun adalah syirik."
Syirik yang dimaksudkan di sini ialah keyakinan terhadap wang, yakni ianya mampu memberi kesenangan serta faedah (dan begitu juga sebaliknya). Syirik jenis ini adalah satu ancaman terhadap iman kita, sebab dalam kehidupan masa sekarang, wang adalah sesuatu yang dikejar dan diagung-agungkan.
Kesempurnaan iman mengkehendaki kita mempunyai keyakinan penuh terhadap Allah SWT. Dalam Al-Quran Allah SWT memperingatkan kita berkali-kali tentang rezeki kurnianNya untuk sekian hamba-hambaNya termasuk manusia seperti kita. Hanya pada Allah terletak segala kesenangan serta kesusahan.
Di kalangan mereka yang tidak beriman, ada yang lansung tidak mempunyai keyakinan sebegini. Mereka kata semua duit mereka adala hasil usaha titik peluh mereka 100%. Atau mungkin nasib mereka baik. Tuhan tak ada kena mengena dalam perkara ini. Pemikiran sebegini telah membuahkan fahaman 'masa itu wang', yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam.
Tidak dinafikan, masa merupakan sesuatu yang sangat berharga. Bahkan dalam Islam, ada ulama yang berkata masa itu nyawa, yang bermaksud orang yang mensia-siakan masanya sesungguhnya mensia-siakan nyawanya atau hidupnya. Surah Al-Asr, surah yang terpendek dalam Al-Quran, turut mengandungi peringatan tentang masa dan golongan-golongan memperolehi keuntungan atau kerugian daripadanya.
Tetapi doktrin 'masa itu wang' merujuk kepada kehalobaan terhadap usaha mencari wang dan bahawa masa adalah modal untuk mencari dan membuat sebanyak mungkin kekayaan. Bagi mereka, setiap saat mesin tidak bergerak atau pekerja tidak membuat kerja adalah kerugian buat syarikat tersebut. Hasil daripada pemikiran sebegini adalah kilang-kilang serta kedai-kedai yang dibuka sepanjang hari dan malam, pekerja-pekerja yang dipecat jika bekerja tidak cukup pantas dan sikap tidak bertolak ansur terhadap sebarang kesilapan di tempat kerja. Segala-galanya untuk memastikankan keuntungan maksima mampu diraih.
Kebimbangan terhadap fahaman yang membahayakan ini bukan setakat mengancam akidah umat Islam, malah turut menimbulkan kebimbangan dalam penganut agama-agama lain. Ada yang menamakan fenomena ini sebagai 'agama wang', di mana wang dijadikan tempat pengabdian serta penyembahan. Segala saat berjaga mereka adalah mencari dan menambah wang yang ada. Dominasi sistem kewangan berasaskan faedah serta kapitalisme adalah dua sahaja contoh yang lahir daripada amalan 'agama wang'.
Islam tidak melihat harta sebagai sesuatu yang buruk. Harta adalah keperluan manusia untuk hidup. Mencari harta juga tidak ditegah, selagi ianya melalui cara yang halal. Apa yang ditegah ialah ketamakan dalam mencari harta, hingga melampaui apa yang digariskan oleh syarak. Menurut sebuah hadis riwayat Muslim, Baginda Rasulullah SAW bersaba yang bermaksud, "Apabila kamu diberi sesuatu harta tanpa kamu minta maka pergunakanlah (makanlah) dan sedekahlah sebahagiannya."
Para sahabat RA telah menunjukkan kepada kita bagaimana cara untuk kita mencari harta dengan cara yang diredhai Allah. Abdul Rahman bin Auf RA, ketika berhijrah ke Madinah, tidak mahu lansung menerima bantuan kewangan daripada kaum Ansar. Beliau sebaliknya meminta panduan untuk ke pasar Bani Qainuqa' dan berusaha sendiri untuk rezekinya melalui ikhtiar berniaga. Abdul Rahman bin Auf RA dianggap sebagai antara sahabat yang terkaya dan banyak menghabiskan hartanya di jalan Allah.
Abu Bakar as-Siddiq RA juga seorang peniaga besar. Beliau mempunyai kira-kira 8 buah gedung, tetapi demi untuk meninggikan agama Allah, kesemuanya gedung-gedung tadi dikorbannya tanpa sedikitpun rasa ragu. Demikianlah sifat pengorbanan yang ada pada diri para sahabat, sanggup untuk berpisah dengan harta kesayangan mereka demi untuk mendapatkan redha dan kasih daripada Allah SWT.
Mencari harta bagi orang Islam bukanlah sekadar untuk keselesaan hidup diri dan keluarga semata-mata tetapi untuk memajukan agama Islam serta membantu orang-orang lain yang kurang berkemampuan. Kesemua ini berasaskan iman terhadap Allah SWT sebagai pengurnia rezeki dan pemiliknya yang mutlak. Tugas kita adalah untuk menguruskannya dengan menurut kehendak Allah SWT serta RasulNya SAW. Semoga Allah memberikan kita taufik dan hidayah untuk membelanjakan rezeki pemberianNya ke arah yang diredhai.
Monolog...
12 years ago
0 comments:
Post a Comment